Friday, June 25, 2010

Cerita Si Jebat dan Kasturi

TIDAK semua orang dapat rasakan apa yang pernah kami lalui
sebagai Jebat dan Kasturi di zaman moden.


INI cerita bukan cerita aku. Tapi cerita tentang seorang kawan yang dekat dengan aku. Kawan yang selalu berkongsi kisah suka dan duka. Tidak kira siang ataupun malam. Di kereta mahupun di rumah. Semuanya dikongsi.

Pendek kata, cerita ini adalah cerita tentang pengalaman.Pengalaman aku dengan kawan aku.

Kisahnya bermula pada 2 Ogos 2004, di sebuah sudut pejabat yang masih segar dengan bau-bau warna dan perabot barunya. Seorang dari Borneo dan seorang dari Utara. Dalam bahasa pasar, seorang mamat Keningau, dan seorang lagi mamat Taiping.

"Abg bawa kereta ke, nanti boleh tumpangkan ke ke LRT Chan Sow Lin", itu permintaan pertama aku pada kawan aku. (ingat ya...ini adalah benda pertama yang aku minta tolong dari dia).

Dengan bahasa rasminya, kawan aku menjawab, "ok, tiada masalah".

Beberapa hari selepas tarikh 2 Ogos 2004, kami ditemukan lagi. Kali ini dalam satu meja iaitu Meja Sukan. Secara kebetulannya pulak, kami duduk bersebelahan. Aku duduk di tepi sekali, kawan aku di tengah dan di sebelahnya adalah Editor Sukan ketika ini.

Orang kata, sukan adalah berpasukan. Maka kami di Meja Sukan mengamalkan semangat berpasukan. Kalau dalam bola sepak, aku dan kawan aku adalah benteng pertahanan yang kental. Dan kalau dalam acara badminton, kami adalah pasangan beregu yang berbahaya.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun. Kami lalui bersama-sama. Di pejabat, kami berhubung sebagai rakan pejabat...Selepas pejabat, kami berhubung sebagai kawan dan di kawasan kediaman, kami adalah jiran.

Segala masalah dikongsi bersama. Dia pernah pinjam duit aku dan begitu juga aku. Dia pernah tumpang kereta aku dan begitu juga dengan aku. Dia juga pernah tumpang motor aku, tapi aku tidak pernah tengok dia bawa motor.

Kami juga pernah duduk sehotel. Kami pernah tinggal sebilik dan kami pernah tidur bersebelahan. Orang di pejabat kata, kami ini geng keras. Seorang sebagai fidder (pengumpan), sementara seorang lagi sebagai killer (pembunuh).

Bagaimanapun, pada 1 Januari 2010, iaitu selepas lebih 5 tahun berkerja bersama, kami dipisahkan. Aku membawa diri ke Timur sementara dia terus berada di Tembok Besar. Namun, itu bukanlah pemisah, kerana walaupun kami berlainan kelab, namun kami tetap mewakili pasukan kebangsaan yang sama.

Akan tetapi, sejak dua tiga bulan ini, pemberontakan telah berlaku. Ada kawan yang menggelarnya pemberontakan Si Jebat. Ada juga yang menggelarnya Pejuangan Si Seladang.

"Perjuangan aku sudah bermula, dan aku tidak sesekali akan mengalah. Aku akan bongkar semuanya sehingga ke lubang cacing." katanya penuh semangat.

Aku tidak banyak membantah, malah boleh dianggap sebagai 'tink tank' kepada perjuangan si Jebat ini. Maknanya, aku adalah Kasturi.

Kami merencana percaturan dengan segala bentuk usaha. Dari sekecil-kecil isu hinggalah isu antarabangsa. Dari cerita di kedai E, sampailah ke jalan Brickfield. Perjuangan ini tetap berjalan.

Namun, sehingga kini aku masih menanti. Menanti adakah perjuangan ini akan berjaya. Bukan apa, di atas kertas, memang misi kami sukar kerana kami hanyalah golongan bawahan. Golongan kerdil yang bersenjatakan keris dan tembok untuk menentang kuasa nuklear. Semuanya demi keadilan.

Keadilan kami bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk semua. Dan misi kami bukan misi peribadi, tetapi misi semua.

Akan tetapi, andainya aku gugur sebelum perjuangan ini berjaya, maka aku hanya boleh tinggalkan pesanan ini buat kawan aku...

"Hang fikirkan yang terbaik untuk diri hang kerana kemenangan akan tetap bersama orang yang benar."


LELAKI SABAH : Suka melihat perubahan yang dilakukan oleh manusia-manusia kerdil yang mempunyai perjuangan yang besar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...