Friday, January 22, 2010

Apabila anak rindukan emak

Tiada lagi ku dengar kidungmu
Tiada lagi derai tawamu
Hanya kesepian
Yang kian mencengkam
Jiwaku
Malam-malam dingin membeku
Hari-hari kian kelabu
Dalam doa kudus
Ku sebut nama mu
Cinta ku
Oh sayang
Damailah Kau di sana
Di sisi Tuhan yang Esa


Sangat indah apabila dapat berjalan bersama emak. Berkongsi cerita dan pengalaman antara seorang emak dan anak. Gambar ini adalah gambar terakhir aku bersama emak pada Disember 2005.


HARI itu pada tanggal 19 Julai 2006, semuanya berjalan seperti biasa. Tiada apa yang pelik dalam kehidupan aku. Aku pergi ke pejabat dengan gembira dan aku balik juga dengan gembira.

Pada malamnya sekitar jam 3 pagi, aku cuba lelapkan mata. Memikirkan apa yang berlaku hari itu dan memikirkan rasa rindu aku dengan keluarga di kampung. Ahh..inilah perasaan sama aku rasai sejak mula aku merantau di bumi Semenanjung ini pada tahun 1999.

Siangnya, ketika aku masih diulit mimpi, aku tiba-tiba mendapat sms dari adikku. Dalam sms itu, mengatakan yang emak pengsan ketika sedang bersiap-siap ke kebun. Aku mula risau dan aku cuba membalasnya. Dua kali aku berbalas sms, dan jawapan terakhir yang aku dapat mengatakan emak tak apa-apa. Pengsan sebab keletihan kata mereka.

Tapi, sebagai anak yang dibesarkan dengan segala kasih sayang seorang emak, aku tetap merasakan sesuatu. Aku cuba menelefon ke kampung, tapi tiada seorangpun yang menjawab. Aku cuba tenangkan hati dan tidak memikirkan apa-apa.

Jam 3 petang, aku pergi ke MSN untuk satu temubual bersama atlet lawan pedang, Ivy James. semuanya berjalan lancar sehinggalah aku mendapat panggilan telefon daripada abangku. Dalam nada keras, abangku mengarahkan aku mencari kakak dan dua adikku di Klang dan segera kembali ke Sabah.

Ahhh..apa sudah jadi. Apa yang sebenarnya berlaku kepada emak. Aku mula memikir benda yang tak patut difikirkan. Ampunkan aku mak...dalam hatiku berulang kali.

Malam itu, aku, kakakku dan dua adikku berangkat pulang ke Sabah dengan penerbangan MAS. Dalam kapal, hanya ada sepuluh penumpang dan kami pula masing-masing melayan diri. Cuba memikirkan apa yang berlaku kepada emak dan cuba untuk memohon keampunan andai kami tidak kesempatan.

Jam 2 pagi, kami sampai juga di Hospital Keningau. Apa yang kami disajikan, adalah tubuh emak yang masih bernafas dalam keadaan tidak sedar. Tanpa membuang masa, aku dan kakak ku cuba membisikan sesuatu ke telinga emak, dengan harapan emak akan sedar.

Aku tau, emak terlalu rindukan kami dan aku tau emak dengar bisikan kami. Tapi, emak tiada kudrat untuk membuka matanya. Untuk melihat empat anaknya yang baru balik.

Pagi itu juga, aku bertemu doktor yang merawat emak, dan doktor memaklumkan yang emak perlu dihantar ke Hospital Kota Kinabalu. Kata doktor, emak terlalu kritikal dan perlu diperiksa oleh pakar.

Jantungku jadi lemah. Segala tenaga yang ku bina selama 26 tahun ketika itu bagaikan hilang. Adakah emak akan tinggalkan kami?

Ayahku yang sejak dari kelmarin tidak bersuara tiba-tiba berkata sesuatu kepadaku.

"Tapa, kamu saja yang pegi KK ya. Sebab doktor cakap satu orang jak boleh ikut," kata ayahku.

Aku tidak memikirkan panjang sebab aku tau ini adalah tanggungjawab aku. Aku menemankan emak di dalam kereta ambulans sepanjang perjalanan ke KK. Tapi, hati aku sayu melihat tubuh emak yang tidak bermaya. Dua jam perjalanan menuju ke KK, akhirnya kami sampai. Tapi aku kesian, sepanjang berada di hospital itu, tubuh emak yang masih bernafas seperti tidak dihargai. Hanya diletakkan di sisi bilik selepas doktor menjalani pemeriksaan.

Tanpa sebarang jawapan, doktor seolah-olah membiarkan aku bertanya sendiri. Seperti takut memberitahu akan keadaan sebenar emakku.

Lantas, aku pun bertanya dan hanya satu yang doktor katakan kepadaku, "emakmu sangat kritikal dan kamu pulanglah ke Keningau selagi masih sempat."

Aku bagaikan orang gila. Baju kerja yang ku pakai ketika pergi ke MSN kelmarin masih berada di tubuhku. Sudah dua hari rupanya aku tidak tanggalkan baju itu.

Tanpa memikirkan apa-apa, aku menuju ke kaki emak. Memegang kuat dan menciumnya.

"Mak, jangan tinggalkan mus..jangan tinggalkan adik-adik mus..Siapa mahu jaga kami mak...." aku menangis sekuatnya. Tiada lagi kejantanan aku ketika itu.

Sepanjang perjalanan menuju ke Keningau, aku hanya memegang tangan emak. Tangan wanita yang telah menjadikan aku manusia. Tangan wanita yang pernah mencubitku dan tangan wanita yang pernah memulas telingaku...

Sepanjang itu juga aku mengenang segala pengorbanan emak kepadaku. Hanya air mata yang mampu menceritakan kesedihan aku ketika itu.

Sampai sahaja di Keningau, aku maklumkan kepada keluarga yang emak tidak boleh diselamatkan lagi. Pendarahan otak yang emak hadapi terlalu serius dan sangat kritikal.

Akhirnya, kami adik beradik sepakat untuk membawa tubuh emak yang masih bernafas ke rumah. Walaupun kami tahu emak akan pergi buat selama-lamanya, tapi kami mahu melihat emak menghembuskan nafas terakhirnya di rumah..

Jam 12.45 pagi pada tanggal 21 Julai 2006, emak menghembuskan nafas terakhirnya. Aku yang berada disisi emak sempat melihat air mata terakhir emak sebelum nyawanya diserahkan kepada Allah. Al-Fatihah buat ibunda tercinta, Sannung Pawakka..


Keluarga bahagia kami hilang serinya dengan pemergian emak. Inilah kenangan terindah lima adik perempuanku ketika menyambut Aidilifitri bersama emak dan ayah pada tahun 2001.


Sejujurnya, aku bukan mahu mengenang kisah sedih ini. Tetapi episod sedih yang menimpa keluarga Utusan baru-baru ini dengan perginyaAllayhyarham Nazudeen Mahmud menghadap Ilahi mengingatkan aku kepada kisah emak.

Dan setiap kali aku mendengar berita sedih tentang kematian, aku akan terbayangkan wajah emak. Terbayangkan kesedihan emak yang aku tinggalkan semata-mata untuk sesuap nasi.

Al-Fatihah buat semua yang telah meninggalkan kita. Moga mereka ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. AMIN.


Wanita inilah yang menjaga kehidupan aku sejak pemergian emak.

Saturday, January 16, 2010

Antara Kemanusian dan Tanggungjawab

Setiap manusia mempunyai tujuan masing-masing

DUA minggu berada di Terengganu, aku sudah mula merasai rentak mainan masyarakat Timur. Rupanya, rentak di sini tidak banyak bezanya dengan rentak di negeri kelahiran aku iaitu Sabah.

Semuanya direncanakan dengan tersusun. Dari si ibu sampailah di anak, semuanya bernafas dengan tujuan masing-masing. Tahu tanggungjawab dan tahu apa yang perlu di lakukan. Aku memang senang dengan cara ini. Tidak seperti di Kuala Lumpur, semuanya hadir tanpa diduga dan siapa lambat, dia akan jadi mangsa. Tapi secara jujur, I LOVE KL....

Untuk bicara kali ini, tidak banyak yang ingin aku katakan kerana secara peribadinya, aku masih tidak layak untuk membuat sebarang penilaian. Bahkan, bilik tempat aku tidur pun masih gagal aku atur dengan baik. Kehidupan aku buat masa ini adalah kerja dan bersukan..

Minggu ini juga, aku telah 'terjerat' dalam satu persimpangan. Persimpangan yang memang aku telah jangka akan menimpa aku. Mungkin yang bergelar otai dan telah lama bertugas di biro, ia adalah asam garam kehidupan.

Tapi bagi aku, seorang anak kampung yang lahir dari keluarga sederhana dan hidup dan persekitaran kekampungan, persimpangan ini begitu penting.


SITUASI 1 (Kemanusian)
- KEMATIAN cukup menyedihkan dan memang sukar untuk diterima mana-mana insan bernama manusia. Tidak kira dengan cara apa kematian itu berlaku, jasad yang terbaring itu mampu membuatkan manusia menangis.
Aku menumpang sedih dengan kisah yang menimpa seorang lelaki. Asbab kepada temuramah yang aku buat dgnnya, dia kini berada dalam kesedihan. Bukan sedih dgn kisah yang menimpanya, tapi sedih dengan paparan yang aku tulis. Katanya, aku tidak menepati janji dan sanggup dedahkan perkara itu. Pendek kata, aku telah gadai 'Kemanusian' aku demi sebuah cerita.


Setiap yang hidup pasti akan mati

SITUASI 2 (Tanggungjawab)
- AKU berkerja untuk sesuap nasi. Bukan untuk perut aku sendiri, tetapi untuk perut bini aku, anak aku, ayah aku, adik-adik aku dan saudara aku. Jadi, aku akan berkerja atas dasar tanggungjawab mengikut acuan aku sendiri.
Selagi mana aku boleh buat, aku akan buat kerana aku tahu aku diberikan gaji untuk mencari story. Dengan cara apa aku dapatkan story, itu aku kena fikir sendiri.
Berbalik kepada kisah sang suami tadi, aku bukanlah berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak semata-mata untuk mendapatkan story. Tapi, apa yang aku buat ini adalah atas dasar tanggungjawab aku sebagai pekerja. Pekerja yang diberi gaji untuk mengisi perut bini, anak, ayah, adik dan saudara aku.


Lelaki Sabah yang tidak lagi mempunyai ibu


LELAKI SABAH berkata:,
Kesedihan sang suami itu mengingatkan aku kepada arwah ibuku. Sampai sekarang, aku sendiri tidak mendapat hitam putih mengenai punca kematian ibuku. Walhal, akulah manusia yang bertanggungjawab mengisi dan menandatangani borang untuk membolehkan ibuku di bawah pulang ke rumah dalam keadaan bernyawa. Sebagai anak, aku dan adik-adikku lebih sanggup melihat ibuku menghembuskan nafas terakhirnya di rumah kesayangannya.

Ada orang kata, ibuku mengalami pendarahan otak dan ada yang kata, ibuku ada penyakit kancer. Bagaimanapun, dengan cara apapun ibuku meninggal, itu adalah ketentuan Allah dan kami redha dengan ketentuan itu. Sekurang-kurangnya, aku telah melepasi dua persimpangan iaitu ANTARA KEMANUSIAN DAN TANGGUNGJAWAB.....

Friday, January 8, 2010

Berakhirnya Minggu Suai Kenal....

Dunia tempat aku mencari rezeki, Terengganu Darul Iman


PEJAM celik pejam celik...sudah genap satu minggu aku bertugas di Terengganu. Minggu yang aku anggap sebagai minggu suai kenal. Aku berjalan pasti berteman. Kalau bukan Manirah, Bro Veron yang akan bawa aku. Kalau bukan Siti (Utusan), Azlan dan Pojie yang akan pimpin aku.

Semua mereka adalah mentor aku sejak aku tiba di sini pada 31 Disember lalu. Maklumlah, Terengganu atau lebih tepat lagi, Kuala Terengganu ini bukanlah kecil. Bandar tempat aku tinggal ini merupakan bandaraya pesisir laut pertama di Malaysia. Hebat kan...

Sepanjang satu minggu ini juga, aku lalui kehidupan yang cukup pantas. Aku sudah merasai pelbagai makanan di pelbagai tempat. Aku sudah singgah di beberapa kedai yang mana bakal menjadi kedai wajib aku.

Pertamanya adalah di stesen petronas dekat bulatan menuju ke balai polis. Keduanya adalah kedai makan yang betul-betul terletak di bawah pejabat aku. Ketiganya, kedai dobi apek di Kampung Bukit Bayas. Keempat Giant Kuala Terenggau dan kelima pastinya TER, iaitu tempat di mana terletaknya gelanggang badminton tempat aku bermain.

Satu minggu ini akan menjadi minggu yang indah bagi aku. Aku keluar masuk balai polis, naik turun hotel primula, ada masa singgah kejap di padang stadium. Semua itu aku buat untuk kerja. Kerja aku adalah mencari story..tidak kira besar atau kecil, aku mesti cari juga.

Orang kata, duduk biro memang best, dan aku akui memang best. Itu untuk satu minggu ini dan berdasarkan naluri aku, aku jangkakan aku akan kekal di sini untuk tempoh yang lama. Tiga tahun, lima tahun, tujuh tahun...oooooooooo, aku pun tak tau...

Ikut surat syarikat, aku di hantar ke sini atas jawatan Penolong Ketua Biro, tetapi dalam hati aku, aku sentiasa letakkan diri aku sebagai wartawan kerana aku begitu dahagakan untuk keluar mencari story sambil lepak-lepak hisap rokok.

Aku mau cerita sikit pasal kehidupan aku di pejabat. Aku telah diberikan sebuah meja secara bersendirian dan diletakkan di sudut pejabat. Ahhh...merasa juga aku ada meja sendiri. Dua meter di hadapan aku tempat duduk Fauzi, iaitu jurugambar kosmo! yang aku panggil sebagai Pojie. Di sebelahnya adalah ORANG KUAT aku iaitu Manirah.

Aku mahu crita sikit pasal Manirah. Dia ni seorang wanita Kelantan yang cool, tenang dan cekap ketika membuat kerja. Aku seronok ada 'pekerja' sepertinya. Dia sentiasa anggap aku sebagai bos, tapi aku pula sentiasa anggap dia sebagai kawan. Kerja kami satu saja, makan di kedai Mak Moh.

Sebelah Manirah ada satu dinding. Di dinding tu pulak ada sebuah kertas yang tertulis Republik Of Kosmo...Di sebelah dinding tu duduknya budak Kedah yang bernama Irman. Depan Irman ialah Siti (minah ni antara geng aku kalau mau pi makan)..dan di depan Siti adalah my BRO..iaitu Radhuan Hassan..kalau bro ni tiada di opis..aku jadi sunyi. Sampai satu tahap, aku anggap bro ni sebagai nyawa aku di Terengganu

Kerja kami ialah makan kopo lekor dan minum air klapa dekat masjid putih. Pi esaimen sama-sama, balik esaimen sama-sama. Merokok sama-sama dan cerita pasal awek pun sama-sama. (Terima kasih bro...itu ayat wajib Veron)..

Hampir terlupa, di sebelah satu sudut lagi terletaknya meja roommate aku, Azlan yang juga jurugambar Utusan. Di depannya adalah Azam iaitu pekerja di pejabat ini dan tiga meter dari Azam, adalah tempat duduk Kak Jah (tulang belakang pejabat).

Siapa lagi yang tiada....ooooo, ada satu lagi tapi tempatnya spesel sikit sebab di dalam bilik khas. Di sinilah duduknya Ketua Biro Terengganu yang aku panggil sebagai bos Chek Wan...

Ok...kita keluar dari pejabat. Ini cerita pasal rakan-rakan baru aku.Paling glamor pastinya Haji Hamid, iaitu stringer Berita Harian. Haji ni boleh digelar sebagai OCPD bagi media Terengganu...

Aku gembira jugak sebab aku dah boleh 'kamching' ngan Haji. Dalam sehari, aku akan jumpa haji sampai tiga kali. Paling best, haji Hamid pun buat sukan so kami memang sealiran.

Selain haji..aku juga sudah 'kamching' dengan beberapa repoter di sini terutamanya Bernama dan Sinar Harian..antaranya, Mek Jah dan Wan (serai wangi), bro Fendy ngan bro Shahrom (geng merokok), kak Samsiah (bernama), Saidatul, Ayu, Huda, Ruby, Azmi (Sinar Harian), Kak Ayu (NST), Suraya (BH) dan beberapa lagi nama lain.

Satu saja yang aku ingin katakan pada mereka adalah Terima Kasih kerana sudi menerima dan menjadikan aku sebagai kawan..

Apa lagi aku mau crita...Ahhh..rasanya cukuplah dulu sebab aku baru seminggu dan apa yang aku luahkan ini adalah isi hati dan gambaran aku tentang dunia Terengganu..

Banyak yang aku belum sentuh terutamanya tentang makanan, tentang jalan yang pernah membuatkan aku sesat, tetap awek-awek di sini yang gebu, tentang percakapan dan loghat yang aku tidak faham dan tentang diri aku (bilik aku, rumah aku, motor aku)...

Seperti kata M.Nasir dan kumpulannya, Kembara dalam lagu Impian Anak Jalanan...

Ku tinggalkan kampung halaman (Keningau & Bangi),
Ku tinggalkan semua yang ku sayang (Noranita & Naufal),
Demi masa depan yang cemerlang,
Semoga aku diberi pedoman..

Apa yang pasti, satu minggu ini akan menjadi penanda aras kepada minggu, bulan dan tahun seterusnya dan di sinilah bermulanya perjalanan seorang insan yang bernama Lelaki Sabah...

"YA ALLAH, BERIKANLAH PERLINDUNGAN DAN PERMUDAHKANLAH SEGALA URUSANKU UNTUK MENCARI REZEKIMU YANG HALAL"


Byline pertama aku di Terengganu, cerita pasal Tun Dr. Mahathir
berkenaan isu Kalimah Allah



Tiket bas Sani Ekspress yang membawa aku ke Terengganu pada malam 31 Disember 2009.


Ada orang panggil Doorgifts, ada pulak panggil Goodies Bag dan aku panggil paper bag. Inilah cenderhati pertama yang aku dapat ketika membuat liputan di satu majlis sejak aku bergelar wartawan Terengganu

Sunday, January 3, 2010

Gedung ilmu di Kota Raya



Jadilah insan yang bijak mencari ilmu


CENDIAKAWAN pernah kata, "Janganlah beratkan mulut untuk bertanya tentang ilmu, janganlah pekakkan telinga untuk mendengar tentang ilmu, janganlah simpulkan tangan untuk menulis tentang ilmu dan janganlah rapatkan kaki daripada berjalan mencari ilmu."

Di Kuala Lumpur, kita perlu berubah. Kita akan sesat jika malu bertanya. Kita akan bosan jika asyik pekakkan telinga. Kita juga akan tersisih jika terus simpulkan tangan dan kita akan ketinggalan jika terus rapatkan kaki.

Berjalanlah di Kuala Lumpur dengan niat mencari ilmu. Dan yakinlah, kita tidak sesekali akan sesat, bosan, tersisih dan ketinggalan jika ilmu penuh di dada.

Dalam diri aku, aku bukanlah siapa-siapa bagi Kuala Lumpur. Aku bukan anak jati wilayah ini, sebaliknya aku hanyalah 'penumpang' yang telah diberi peluang untuk merasai nikmat ibu kota bernama Kuala Lumpur.

Tidak sukar sebenarnya untuk mencari ilmu di Kuala Lumpur. Segala-galanya telah disediakan. Jika memiliki sedikit kepintaran, belajarlah di Universiti Malaya. Tapi jika tidak dan hanya memiliki sedikit wang, maka Dewan Bahasa dan Pustaka boleh jadikan sajian.

Mencari kelainan dan tidak mahu terlalu statik, maka luangkan masa berada di Muzium Negara. Andai bosan dan mahukan ketenangan minda, maka Perpustakaan Negara adalah jawapan sebenar.

Empat nama gagah ini akan terus berada di Kuala Lumpur. 'Mereka' tidak akan pergi dan akan kekal menemani Kuala Lumpur sampai bila-bila.

Ayuh...teruskanlah perjalanan kita dan jangan sesekali memberi ruang kepada orang lain mengambil langkah kita.

Negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menyampaikan wacana perdana pada Konvensyen Mahasiswa Melayu 2010 di Universiti Malayasia Terengganu baru-baru ini ada meninggalkan secebis nasihat buat semua penghuni Malaysia.

Kata Tun, ubahlah persepsi kita dan ubahkan cara hidup kita. Sekali melangkah, janganlah undur kebelakang dan jangan sesekali membenarkan orang lain mengambil laluan kita.

Namun, apa sekalipun yang diucapkan Tun, intipati utamanya dan asas bicaranya adalah tentang ilmu.

Dalam konteks ini, maka Universiti Malaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Muzium Negara dan Perpustakaan Negara adalah gedung-gedung wajib yang perlu dikunjungi setiap daripada kita. Tujuannya sangat jelas iaitu untuk mencari sesuatu yang digelar ILMU. Dan janganlah kita bimbang, kerana semua itu ada di Kuala Lumpur.


1. UNIVERSITI MALAYA

Universiti Malaya miliki prestij tersendiri

- Ditubuhkan pada tahun 1949 hasil daripada gabungan dua kolej di Singapura iaitu Kolej Perubatan King Edward VII (1905) dan Koleh Raffles (1929).
- Merupakan universiti pertama yang ditubuhkan di Malaysia dan terletak di Jalan Pantai Baru, Lembah Pantai Kuala Lumpur.
- Ilmu Punca Kemajuan adalah moto bagi Universiti Malaya.
- Mempunyai dua buah akademi, 12 fakulti dan 4 institut. Turut memounyai 15 kolej kediaman di dalam dan luar kampus.
- Antara alumni UM ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Adnan Yakoob, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.
-Antara profesor Emeritus yang terkenal di UM ialah Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.


2. MUZIUM NEGARA

Sejarah Malaysia tersimpan di Muzim Negara

- Merupakan salah sebuah bangunan yang unik di Malaysia dengan seni binanya adalah bercirikan bangunan Istana Melayu tradisional negeri Terengganu.
- Mula dibuka secara rasmi pada 31 Ogos 1963.
- Terletak di Jalan Damansara, Kuala Lumpur.
- Muzium ini memuatkan banyak barangan bersejarah mengenai Malaysia.
- Terdapat juga banyak galeri yang mempamerkan cara kehidupan orang-orang di Malaysia, misalnya, orang Melayu bangsawan, kebudayaan Cina dan India, barang-barang seni, tembikar, kegiatan ekonomi, flora dan fauna di Malaysia.


3. PERPUSTAKAAN NEGARA

Lokasi wajib bagi setiap warga Kuala Lumpur

- Dibina pada tahun 1956
- Terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
- Tempat paling sesuai untuk mendapatkan maklumat selain bahan bacaan berilmiah
- Setiap negeri di Malaysia turut mempunyai perpustakaan negeri masing-masing.
- Waktu perkhidmatan umum adalah dari 10 pagi hingga 7 petang pada setiap hari Selasa hingga Sabtu.


4. DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

DBP perjuangkan bahasa kebangsaan

- Nama asal Dewan Bahasa dan Pustaka ialah Balai Pustaka dan ditubuhkan pada 22 Jun 1956.
- Terletak di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur
- Tujuan penubuhan adalah untuk menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
- Dewan Bahasa dan Pustaka turut mempunyai pejabatnya di negara Brunei selain Sabah dan Sarawak.
- Menyediakan perkhidmatan yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu selain menyediakan dan menerbitkan pelbagai buku ilmiah serta rujukan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...