Tuesday, December 15, 2009

Aku, mereka dan sesuatu....



LIMA tahun aku mengabdikan diri di meja sukan. Dalam tempoh itu juga, aku telah melalui pelbagai suka dan duka, sama ada aku terima secara paksa mahupun rela.

Aku tahu, aku bukanlah siapa-siapa untuk menentukan sesuatu dan aku juga tahu, aku tidak punya kuasa untuk mengubah sesuatu.

Apa yang ada dalam diri aku hanya sikap untuk berubah, menjadikan sesuatu itu lebih baik daripada sebelumnya dan menjadikan hari-hari itu lebih indah daripada hari sebelumnya.

Kini, nyawa aku di meja sukan sudah berakhir. Berakhir tandanya putuslah 'hubungan' aku dengan watak-watak indah yang selama ini aku minati. Aku tidak mengenali mereka dari dalam, tetapi aku kagum dan sanjungi peribadi 7 sang juara ini.



1. DIDIER DROGBA
JARANG sekali kaki bola yang meminati mamat Ivory Coast ini. Tapi, aku anggap Drogba adalah jantung kepada Chelsea dan lakonannya di atas padang memberi inspirasi kepada aku untuk turut berlakon menjadi Lelaki Sabah.



2. RAFAEL NADAL
ISTERI aku pernah kata, budak Sepanyol ni sombong dan tidak suka senyum. Malah, tabiatnya memegang 'punggung' sebelum melaku servis menimbulkan rasa tidak senang di kalangan peminat tenis. Siapalah Nadal tanpa tanah liat dan aku hormati wataknya sebagai "Matador Tangan Kiri'.



3. FERNANDO ALONSO
MUKA berpetak-petak dan suka melompat parti. Tapi aku minat dgn mamat ni kerana dia seorang yang 'pendengki' dan tidak puas dengan sesuatu di litar Formula Satu. Itu peribadi sebenar yang ada dalam diri Lelaki Sabah ini.



4. USIAN BOLT
SOMBONG, berlagak dan bertabiat. Namun, ia tidak mengapa kerana Bolt bijak mengemparkan suasana terutamanya sebelum memulakan perlumbaan. Perkara inilah yang tidak ada pada Asafa Powell dan Tyson Gay, tetapi ada sedikit pada Lelaki Sabah.



5. ANA IVANOVIC
DIA belum begitu dikenali ketika aku meletakkan gambarnya sebagai 'Screen Saver' di komputer opis. Kini, Ivanovic adalah ratu di gelanggang tenis dan wajah Serbia Melayunya belum pernah aku lihat di wajah wanita Malaysia.



6. HERNAN CRESPO
AKU hanyalah budak sekolah ketika zaman kegemilangan Lelaki Argentina ini. Paling aku suka adalah lagaknya selepas menjaringkan gol. Mengangkat tangan kanannya sambil mengeluarkan jari telunjuknya ke langit tanda kesyukuran kepada Tuhan.



7. JOSE MOURINHO
AKU ada persamaan dengan lelaki ini. Zaman kegemilangannya bersama Chelsea pada tahun 2005 dan 2006 merupakan zaman kegemilangan aku sebagai wartawan sukan. Serius ketika berkerja dan pelawak ketika santai. Mourinho adalah idolaku.



LELAKI SABAH: Aku akan rindu untuk menulis tentang Chelsea, keagungan Chelsea dan kejayaan Chelsea....

Thursday, December 3, 2009

Puduraya Tidak Pernah Mati




Puduraya sentiasa menanti tetamunya

PUDURAYA. Nama keramat yang perlu diingat oleh setiap penghuni setia Kuala Lumpur. Di sinilah segala-galanya bermula. Dari pertemuan yang diatur dengan begitu rapi sehinggalah kepada perpisahan yang ditamatkan dengan indah sekali.

Semuanya berlaku tanpa henti. Di setiap sudut isi perut Puduraya tersimpan 1001 kisah. Si ayah dengan setia menanti kehadiran si anak. Si suami pula tetap sabar menghitung detik pertemuan dengan si isteri.

Di sini juga terjalinnya hubungan istimewa. Hubungan yang kadang kala di akhiri dengan perpisahan. Air mata si gadis dengan tenang mengalir di pipi dan lambaian tangan si lelaki menjadi hadiah terakhir. Semuanya berlaku di Puduraya.

Aku sendiri cukup memahami naluri bangunan bernama Puduraya. Walaupun ada yang memandang Puduraya sebagai tempat 'hitam', namun dari sisi lain, Puduraya adalah segala-galanya.

Paling penting, Puduraya tidak pernah lokek untuk membenarkan aku berkongsi kehidupan di 'rumah tetamunya'. Dan aku yakin, Puduraya juga cukup matang untuk membenarkan setiap insan menghampirinya.


Puduraya jadi tumpuan pelbagai bangsa Malaysia

1. Puduraya dan masyarakat
PUDURAYA tidak pernah mati. Sejak hentian ini dibuka pada 1976 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn, Puduraya terus bernyawa sehingga kini. Dari utara ke selatan, Puduraya telah berkorban demi keselesaan setiap tetamunya.

Melayu, Cina dan India adalah penghuni tetap Puduraya. Pelancong asing pula menjadikan hentian ini sebagai 'check point' untuk ke destinasi lain. Mereka beratur, bersesak dan berebut di bangunan yang sama. Mereka makan, berehat dan tidur di kerusi yang sama.

Si kaya mungkin memilih untuk menaiki bas lima bintang, dan si miskin pula tetap sabar menggunakan perkhidmatan asas. Ada pun yang merungut, itu adalah asam garam di Puduraya kerana apa yang penting, Puduraya tidak pernah mati.


Musim perayaan menjadikan Puduraya destinasi paling sibuk di Kuala Lumpur

2. Puduraya dan perayaan

AIDILFITRI, Deepavali dan Tahun Baru Cina. Setiap kali tibanya detik ini, Puduraya mula tersenyum. Secara tradisinya, di waktu inilah Puduraya akan dilawati. Dari pekerja kerajaan sehinggalah kepada pekerja kilang, dari pelajar sekolah sehinggalah kepada mahasiswa universiti, semuanya menuju ke destinasi yang sama.

Tujuan mereka hanya satu iaitu untuk kembali ke halaman masing-masing. Puduraya akan menjadi rumah kedua dan Puduraya juga akan menjadi bangunan terakhir yang ditinggalkan sebelum Kuala Lumpur menjadi sepi.


Antara pencari rezeki di Puduraya

3. Puduraya dan rezeki
SI pemandu teksi ligat mencari penumpangnya dan si penjual air pula tenang menanti pelanggannya. Si peminta sedekah juga nekad korbankan maruahnya untuk sesuap nasi dan si pencopet memberanikan diri mencari mangsanya.

Semuanya berlaku dalam satu masa dan semuanya juga berlaku di lokasi yang sama iaitu Puduraya. Sesungguhnya, Puduraya telah dianggap sebagai syurga rezeki. Telah banyak perut yang dikenyangkan sejak kewujudan Puduraya.


Terima kasih Puduraya
SEKALIPUN dihambat bunyi bising dan kesesakan yang melampau, Puduraya tidak pernah menangis. Tiada keselesaan bertaraf lima bintang di sini dan tiada kemudahan secanggih KL Central, namun Puduraya terus bernyawa sehingga kini. Aku percaya, semua orang akan berkata TERIMA KASIH PUDURAYA....


SEJARAH PUDURAYA
- Hentian Puduraya merupakan terminal bas di Kuala Lumpur, Malaysia.

- Hentian ini dibuka pada 1976 oleh Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.

- Stesen bas ini digunakan oleh bas ekspres untuk perkhidmatan bagi seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk Negara Thai dan Singapura.

- Pengendali Hentian Puduraya ialah dibawah UDA Holdings Bhd , sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...