Tuesday, July 13, 2010

30 Tahun Mencari Cinta

AKU adalah anak buruh yang hanya tahu erti kesusahan


SEPATUTNYA, pada malam 13 Julai ini, aku bercadang untuk tidur awal. Pertamanya, sebab aku sangat keletihan selepas dua hari terpaksa berjaga malam gara-gara kehebatan Diego Forlan dan aksi lincah Xavi Hernandez serta Andres Iniesta. Keduanya, sebab pada pagi keesokannya, aku perlu bangun awal kerana ada satu kes yang perlu diberi liputan di Mahkamah Syariah, Kuala Terengganu.

Aku tidak pasti apa kes yang perlu aku hadiri pagi esok, namun andai merujuk kepada info yang diberikan oleh rakan-rakanku, ia berkaitan dengan tuntutan ganti rugi dan pampasan daripada seorang ayah kepada anaknya. Kebetulan pulak, nama ayah tu ialah Mustapa)

Pelikkan. Tapi begitulah lumrah kehidupan manusia. Apa sahaja boleh berlaku dan tiada apa yang mustahil.

Bagi aku sendiri, pada usia yang kini baru menjangkau 30 tahun, aku seperti disedarkan bahawa tidak semua apa yang kita hajati akan tercapai. Aku sendiri tidak pasti warna-warni kehidupanku pada masa akan datang. pada ketika anak sulungku, Naufal Zafran sudah dewasa dan sudah tahu apa itu kehidupan.

Maka, pada malam yang cukup tenang dan indah ini, aku mahu meluangkan masa untuk mengimbas kembali detik-detik kehidupanku sejak 30 tahun lalu. Aku bukanlah siapa-siapa untuk diketahui umum, tapi dengan niat yang satu, aku hanya berharap agar anakku dapat mengetahui kehidupan sebenar ayahnya. Dapat mengetahui susah payah yang telah dilalui oleh ayahnya sepanjang 30 tahun hidup di dunia ini.

1980 : Aku dilahirkan oleh pasangan suami isteri yang bekerja sebagai buruh di sebuah hospital kecil di daerah Keningau.

1981 : Sebagai anak ketiga yang juga anak bongsu ketika itu, aku banyak menghabiskan zaman bayiku di sebuah penempatan buruh di Pensiangan, sebuah pekan kecil tanpa bekalan api dan air yang baik.

1982 : Aku masih tidak mengerti apa itu kesusahan, dan duniaku hanyalah melihat pokok kayu balak serta mendengar bunyi jentera-jentera berat.

1983 : Mataku mula celik dan seperti kanak-kanak lain, aku mula merasai apa itu erti berjalan dan meminta-minta.

1984 : Seingat aku, pada tahun ini ayah serta arwah ibuku mula berhijrah ke pekan untuk membina rumah di sebuah penempatan di Kampung Limbawan, Keningau.

1985 : Aku mula diajar tentang ilmu, di ajar tentang membaca ABC, mengira 123 dan mengaji Al-Quran. Aku mula mengenal apa itu ilmu.

1986 : Tidak seperti kakak serta abangku, aku sedikit bertuah kerana diberi peluang untuk memasuki Tadika St Francis Xavier, tapak permulaan kepada aku untuk mendapatkan ilmu secara rasmi.

Bagaimanapun, aku bukanlah anak yang mudah dipujuk, diarah dan mendengar cakap kerana aku tidak akan memasuki kelas Tadika andai ibu atau ayahku tidak berada di sisi tingkap.

1987 - 1992 : Aku meneruskan persekolahan di SK St Francis Xavier, iaitu sekolah yang separa kerajaan dan separa swasta. Ikut sejarah, sekolah ini pada asalnya adalah sebuah sekolah untuk para paderi menyampaikan dakwah. Maka tidak hairahlah mengapa guru besarnya dahulu kebanyakkannya adalah orang putih yang juga paderi gereja.

Namun, itu tidak bermakna aku berdepan masalah untuk mendapatkan ilmu. Malah, sejak dari darjah 1 hingga 6, aku berjaya menyelitkan diri untuk sama-sama menuntut ilmu dengan murid lain. Secara kebetulan, aku bermula di darjah 1 kuning, dan berakhir di darjah 6 kuning. Rumah sukan yang aku wakili juga adalah rumah kuning. Kasut sekolahku juga sentiasa berwarna kuning kerana aku perlu melalui kawasan berlompak dan semak samun sebelum sampai ke sekolah.

Sepanjang berada di sekolah ini, aku wajib membawa bekalan dan isinya pasti nasi goreng ataupun pisang goreng. Rakan seperjuanganku adalah Jusman Jamal, Arnel Abdullah, Muharram Sahabudin, Nolly, Mohd. Shukri, Rizal Abdullah, Dane Cahillap. Armando Ragas, Irfin Manan dan ramai lagi.

Keputusan UPSR ku, cukup-cukup makan, tapi yang terbaik di Kampung Limbawan.

1992-1997 : Secara tradisinya, setiap murid yang bersekolah di SK St Francis Xavier akan diterima masuk ke SM St Francis Xavier. Begitu juga dengan aku.

Di sekolah ini, aku mula kenal siapa pelajar kaya dan siapa pelajar miskin. Dan aku akui aku boleh dikategorikan sebagai pelajar miskin. Bezanya boleh dilihat kepada pakaian yang bersterika. Guna uniform subsidi atau beli di kedai pakaian. Kasut subsidi atau kasut kedai. Makan kantin atau beli di tepi jalan.

Pada detik ini juga, aku mula mengesan sesuatu dalam diri aku iaitu kepetahan bercakap. Aku bukanlah dari kelas yang bijak-bijak, tapi aku hanya disenaraikan dalam kelas separa bijak. Tapi, kelebihanku sebagai pemimpin yang petah bercakap banyak memberi peluang kepadaku untuk maju ke hadapan.

Sosial - Ya aku memang pelajar sosial. Pada tahun-tahun inilah aku mula mengenal apa itu merokok. Aku mula mengikut karenah kawan-kawanku untuk sama-sama bersosial. Lari dari kelas pada ketika guru Bahasa Inggeris akan masuk mengajar. Conteng diding tandas untuk lepas geram. Ikut kawan-kawan untuk bergaduh dengan budak lain. Malah, ketika berada dalam Tingkatan 3, kelasku pernah 'diistiharkan' sebagai kelas paling teruk. Kami akan diperintah menyanyikan lagu Negaraku di tepi padang pada setiap pagi. Malah, kelas kami juga pernah diboikot oleh guru-guru sehinggakan kami pernah disumpah tidak akan lulus dalam PMR.

Namun, Tuhan itu adil. Tuhan tahu apa yang direncanakan. Maka aku dan rakan-rakan lain tetap berjaya teruskan persekolahan sehingga ke Tingkatan 5. Bezanya, kami dipisah-pisahkan. Aku berada di Tingkatan 5 Melati dan dilantik sebagai ketua kelas (permulaan kepada kepimpinan sebenar Lelaki Sabah). Aku juga mengetuai pasukan Dikir Barat Keningau, mengetuai Persatuan Pelajar Islam, mengetuai Kadet Putera dan mengetui Kelab Syarahan.

Cinta - Memang best untuk diingat. Aku jarang benar dedahkan rahsia ini. Tapi aku mesti jujur kerana semua itu sudah tinggal kenangan. Aku mula jatuh cinta dengan seorang atlet sekolah, Kathlen Patrick sejak di Tingkatan 3, namun cintaku tidak berbalas. Aku pernah disukai oleh seorang pelajar Cina, tapi darjat membuatkan aku malu untuk menerimanya. Begitu juga dengan seorang pelajar junior (orang kaya) yang sentiasa berikan aku coklat setiap kali bertemu. Cintanya itu aku tolak.

Secara rasminya, aku mula bercinta pada seorang gadis dari sekolah berhampiran. Namanya, Fazilawati. Tapi, cinta kami tidak panjang kerana masing-masing tidak ikhlas, masing-masing ada pendirian.

Keputusan SPM ku, bolehlah untuk dibanggakan dan yang pasti, aku itu adalah keputusan terbaik di kampungku.

1998-1999 : Aku teruskan persekolahan di SMK Gunsanad dalam Tingkatan 6. Kali ini sedikit berbeza, kerana seluruh pelajar dari daerah Keningau (yang terbaik) akan ditempatkan di sekolah ini.

Nasib aku, aku ditempatkan dalam kelas Pra U 1 (kelas paling pandai beb) dan mengambil jurusan Ekonomi. Di sini, aku mula bercinta dengan seorang junior bernama Ismawati. Memang hebat cinta kami sampai dating di tepi sungai. Masalahnya, keluarga wanita ini sedikit berbeza. Terlalu tegas. Maka aku banyak meminta bantuan daripada seorang wanita, Noranita Awang yang juga rakan sekelasku. Dia menjadi orang tengah untuk aku berjumpa dengan Ismawati.

Sebagai ketua kelas, aku disanjung. Di hormati malah mempunyai ramai kawan. Tapi, dalam sanjungan itu, aku sedikit tertekan kerana latar belakangku dari keluarga miskin gagal mengimbangi kehidupan sosialku sebagai pelajar berpengaruh di sekolah. Jadi, insan yang banyak membantuku, sekali lagi Noranita Awang. Siapa Noranita Awang, dialah isteri tersayangku.

Keputusan STPM ku, wow, meletup siot dan seperti biasa, ia adalah keputusan terbaik di kampungku dan paling penting, aku menjadi anak Bugis pertama dari Keningau yang diterima masuk ke Universiti.

2000-2003 : Banyak sebenarnya halangan sebelum aku sampai ke UKM. Semuanya cukup sulit untuk diceritakan dan hanya Noranita Awang yang mengetahuinya.

Berada di UKM, aku mula merencanakan percaturan hidupku. Aku perlu bersaing dan perlu berubah. Aku perlu lupakan seketika statusku sebagai anak kampung kerana aku tahu aku perlu berdiri sama tinggi dengan pelajar lain.

Nasib menyebelahiku, kerana aku diberi kepercayaan untuk menjadi YDP Persatuan Pelajar Sabah UKM. Aku juga dilantik sebagai Exco di Kolej Aminuddin Baki walaupun akhirnya aku menolaknya. Dengan watak 'rockers' dan berambut panjang, aku juga dipilih sebagai Bendahari Markas Siswa Islam Sabah Semenanjung Malaysia, sekali gus melanggar tradisi sebagai satu-satunya pemimpin yang tidak berkopiah dan suka memakai jeans menyertai persatuan itu.

Aku mengambil jurusan sejarah di Fakuti Sains Sosial dan Kemasyarakatan dan diakhirnya, aku berjaya tamatkan pengajian mengikut tempoh yang ditetapkan. Noranita Awang pula yang ketika itu belajar dalam bidang pendidikan di UUM, terpaksa menyambung untuk satu semester lagi.

Cinta - Pada ketika aku sedang menjalinkan hubungan dengan Noranita Awang, aku sebenarnya masih terjerat dengan cinta wanita lain. Kalau secara rasminya, ada seorang sahaja iaitu wanita dari Pulau Pinang (3 bulan sahaja). Dan kalau tidak rasmi, aku rasa jumlahnya boleh dijadikan satu team bola sepak.

Cuti - Setiap kali cuti sementer, aku tidak pernah balik Sabah. Aku akan kerja di mana-mana sahaja. Aku pernah kerja kilang, pernah kerja sebagai tukang kira kereta (banci kereta) dan pernah kerja di kedai runcit dan mesin fotostate.

2004 : Sambil menunggu konvokesyen, aku sempat bekerja di Pejabat Pos Kajang sebagai 'teller' dalam beberapa bulan dan diberikan gaji yang bagi aku cukup untuk aku kirim ke kampung dan kirim kepada Noranita Awang.

2004-2009 : Tahun ini juga aku telah diterima bekerja sebagai wartawan di Kumpulan Utusan dan ditempatkan di akhbar Kosmo. Aku boleh berbangga kerana aku adalah generasi pertama kepada penerbitan Kosmo. Aku ditempatkan di meja sukan bersama-sama wartawan hebat seperti Azizul Fahmi, Norzasruddin, Wan Fakhrul, Shahril Nizam dan sri kandi, Radiah Saori.

Sepanjang berada di meja sukan, aku telah belajar apa itu kehidupan sebenar. Aku telah jumpa pelbagai ragam manusia dan telah lalui pelbagai kepayahan untuk mencari berita. Penulisan aku juga pernah diiktiraf apabila aku memenangi anugerah penulisan sukan terbaik yang dianjurkan Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada tahun 2005.

Julai 2006 : Tahun ini adalah tahun kesedihan buat aku. Pada tahun ini, aku telah kehilangan ibu tercinta, Sannung Pawakka yang akhirnya kembali menghadap Ilahi. Semangatku tiba-tiba hilang kerana aku belum sempat memberikan sesuatu yang telah aku janjikan kepada ibuku. Aku sedih, sedih, dan terus sedih sampailah ke saat ini. Setiap kali Julai menjelma, aku akan jadi sedih. Al-Fatihah buat ibu tersayang.

Disember 2006 : Seperti yang dijadualkan, aku telah menamatkan zaman bujangku bersama rakan kelasku, Noranita Awang. Hubungan yang terjalin sejak tahun 1999 aku akhiri hanya dengan sekali lafaz. Istimewanya, aku telah memecahkan tradisi apabila mengahwini seorang gadis dari luar bangsaku. Gadis yang mempunyai darah campuran Bajau dan Cina.

September 2007 : Hidupku mula sempurna. Pada bulan ini, Allah telah memberikan rezeki paling besar kepadaku iaitu insan bernama Naufal Zafran. Seluruh keluarga bergembira kerana bayi hasil campuran Bugis-Bajau telah lahir ke dunia ini di Hospital Teluk Intan.

Julai 2010 : Aku terus dengan kehidupan ku. Bekerja di Kumpulan Utusan dan masih mendapat gaji dari Kumpulan Utusan. Isteriku seperti biasa meneruskan amanahnya sebagai Guru di SMK Bandar Baru Sungai Long. Naufal pula mula belajar erti kehidupan. Mula belajar untuk tidak memakai pampers dan mula belajar untuk tidak menjadi manja. Aku sayangkan Naufal.

Aku juga seharusnya berterima kasih kepada Kumpulan Utusan kerana memberikan peluang kepada ku untuk terus berada di sini. Diberikan amanah yang cukup besar untuk mewakili Kosmo di Terengganu. Dengan peluang ini, aku juga dapat berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan yang baru. Yang sentiasa berkongsi kesusahan untuk mendapatkan berita. Berkongsi maklumat dan berkongsi kegembiraan. Terima kasih buat seluruh warga media Terengganu.

Ermmm...begitulah ceritanya. Kehidupan 30 tahun memang penuh dengan cerita. Cerita sedih, cerita gembira dan cerita kenangan. Dan seperti biasa, aku terus berdoa kepada Allah agar aku diberi peluang untuk berada di dunianya. Untuk merakam setiap apa yang telah aku lalui dan untuk berkongsi kehidupan dengan insan-insan lain.

Aku patut bersyukur dan aku juga patut banyak beringat. Bersyukur kerana diberikan rezeki, diberikan kesihatan, diberikan kemudahan dan diberikan keluarga, adik beradik dan kawan-kawan yang sangat baik. Namun, aku juga perlu beringat akan dosa-dosa yang telah aku lakukan sepanjang 30 tahun ini. Moga aku menjadi matang dan boleh berfikir tentang sesuatu yang perlu aku lakukan. AMPUNKAN SEGALA DOSAKU YA ALLAH.


LELAKI SABAH : 30 tahun aku mencari kehidupan ini dan aku telah mula menemuinya. 30 tahun juga aku perlukan untuk melalui kehidupan ini dan aku mula mengerti tentangnya. Aku perlu terus berjalan dan perlu mencari sesuatu yang baru agar aku menjadi lebih baik dari sebelumnya.


DUA insan istimewa dalam hidupku. Ayahku,Lakawa LasaHabu
dan arwah ibuku, Sannung Pawakka.


KELUARGAKU tercipta dari kasih sayang dan cinta antara dua bangsa

Friday, July 9, 2010

Cerita Dari Penjara

TDAK semua insan dapat merasai kehidupan penjara - Gambar Hiasan


HARI ini hari Jumaat. Hari untuk aku berehat. Hari untuk aku melayan perasaan lebih-lebih lagi selepas balik dari Penjara Marang.

Aku tersenyum girang. Alangkah nikmatnya ruang yang diberikan oleh Allah kepadaku. Aku dapat melakukan apa sahaja. Aku boleh baring, aku boleh duduk dan aku boleh berjalan. Kepenatan yang akui rasai sejak beberapa minggu lalu bagaikan hilang sekelip mata.

Namun, selepas hampir sejam melayan perasaan, aku mula kebosanan. Tanpa isteri dan anak yang dirindui, kebosanan itu semakin tinggi. Otak fikiranku meronta-ronta untuk mencari kebebasan di luar sana. Akan tetapi, kudrat serta tenagaku begitu keletihan untuk melakukannya.

Maka aku mula terfikir sesuatu, terkenang cerita-cerita yang ku perolehi di penjara tadi. Mungkin lebih baik aku coretkan dan jadikannya sebuah cerita. Cerita yang mungkin dekat dengan aku dan cerita yang mungkin menjadi kenangan aku.

Begini ceritanya...

"Ya, aku bersalah dalam hal ini. Aku yang mulakan semuanya. Aku tidak tahu menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Aku egois dan aku sombong. Aku wajar terima hukuman ini," luah hati lelaki itu.

Dengan muka kesedihan, lelaki itu duduk termenung sambil melihat lampu neon yang berada di hadapannya. Hatinya berkata, lampu seperti inilah yang menjadi saksi kepada hubungannya dengan seorang wanita. Katanya, lampu itu juga telah merakam segala yang berlaku antara dirinya dan seorang wanita.

Aku faham perasaan lelaki itu. Aku perlahankan rentak percakapan ku agar dia boleh ceritakan apa sebenarnya yang berlaku. Aku tidak mahu dia berada dalam tekanan atau rasa bersalah dengan keputusan yang telah dibuat olehnya.

Maka, si lelaki itu pun mula bercerita.

"Malam itu sungguh tenang. Aku telah berjanji kepadanya untuk menuju ke satu destinasi yang sangat indah bagi kami. Aku menantinya dengan tenang dan selepas bertemu, kami mulakan perjalanan.

Kami bercerita, mengusik dan mengenang setiap inci perhubungan kami. Dengan kasih sayang yang ada, kami menjadi sangat ikhlas. Ikhlas dalam setiap apa yang kami lakukan. Namun, perjalanan itu tidak lama dan kami harus berpisah. Sebelum dia meninggalkan aku, aku sempat menitipkan nasihat..."take care ya, hati-hati kalau berjalan," kata lelaki itu dengan perlahan.

Aku pun berlalu pergi dalam hati yang penuh hiba. Bilakah lagi semua ini akan berlaku. Aku rindukan kenangan ini.

Hari pun terus berlalu. Maka aku sekali lagi bertemu dengannya. Kami lalui perkara yang sama dan berada di destinasi yang sama. Di akhirnya, perkara sama aku ucapkan..."take care ya, jaga diri bebaik,"..

Jujur aku kata, aku cukup bangga dapat menitipkan nasihat itu. Ditujukan buat seorang insan yang sangat istimewa. Dalam doa, dalam perbualan dan dalam segala-galanya, aku akan buat perkara yang sama. Selama hampir 10 tahun aku lakukannya.

Kami pernah berjanji akan jaga hubungan ini dengan baik. Biar apa yang berlaku, kami akan jaga ia sampai ke akhir hayat.

Namun, apa yang kami janjikan itu tiba-tiba gagal ditepati. Tidak tahu di mana silapnya. Apa yang aku tahu, ia berakhir hanya disebabkan perkara kecil. Ketika itu, dia telah ditimpa masalah yang baginya satu masalah yang sukar untuk diterima.

Aku cuba menjadi wira untuk mengetahui apakah masalahnya. Aku juga telah memberi sedikit teguran kepadanya. Namun, niatku itu telah disalahtafsir. Dianggap sebagai satu kritikan tidak berasas dan menjatuhkan air mukanya. Dan akhirnya, segala bentuk rasa tidak puas hati diungkit semula yang mana telah membawa kepada pertengkaran.

Perbicaraan kami tidak lagi sebagai kekasih. Tetapi perbicaraan kami hanya untuk mencari kesalahan. Dia menganggap aku sebagai lelaki yang tidak tahu menolong, lelaki yang tidak pandai memberi sokongan. Baginya juga, aku hanya lelaki yang suka mengkritik.

Aku cuba pertahankan namun ia semakin memuncak. Segala bentuk ketidakpuasahan hati tiba-tiba ditimbulkan. Sebagai lelaki, aku rasa tercabar. Memang aku bukan lelaki yang baik, tapi aku telah lakukan apa yang sepatutnya aku lakukan.

Emosi terus bergelora dan segala bentuk pertimbangan sudah dilupakan. Dia terus dengan pendiriannya dan menganggap aku sebagai seorang yang tidak tahu menjaga hati.

Tanpa memikirkan apa-apa, aku terus bertindak demi mempertahankan kedudukanku. Walaupun dalam hati, aku tahu aku akan menjadi mangsa kepada keputusan itu.

Aku terus hilang pertimbangan dan akhirnya, aku telah melakukan sesuatu yang memang tidak boleh dimaafkan. Aku telah membunuhnya. Membunuh insan yang aku sayangi. Membunuh hubungan yang sekian lama terjalin. Membunuh segala-galanya.

Aku tergaman seketika. Terkejut dan mula berfikir. Namun, nasi sudah menjadi bubur, terlajak perahu boleh ditarik, terlajak kata buruk padahnya. Aku mula menyesal dan menangis tanpa henti. Aku telah kehilangan seseorang. Kehilangan yang sukar untuk aku terima.

Begitupun, di saat-saat terakhirnya, aku sempat ucapkan sesuatu. Ucapan yang mungkin mampu menahan nyawanya daripada pergi..."aku tidak pernah sebut nama orang lain dalam doa, melainkan nama kamu...dan kalaulah kamu boleh dihidupkan semula, maka aku akan jaga kamu dengan baik...sebab aku begitu mengasihi kamu........"


TAMAT

Begitulah ceritanya. Ahhhhh....hilanglah sikit kebosanan aku. Tapi, aku sendiri pening dengan apa yang aku ceritakan ni. Tak tahu dimana plotnya, tak tahu di mana klimaksnya...Sangat pening....apapun, aku tetap gembira kerana aku sudah tunaikan kewajipan aku untuk merakam setiap apa yang telah aku lalui.


LELAKI SABAH: Benda kecil boleh jadi besar dan benda yang besar boleh diselesaikan dengan cara yang cukup kecil.

LELAKi itu telah menerima pembalasannya

Friday, July 2, 2010

Jangan kau pergi Julai

AKU masih mengharapkan sesuatu
yang boleh mengubah keseluruhan hidup aku


BULAN ini bulan Julai. Bulan istimewa dalam hidupku, keluargaku serta kerjayaku.Dalam bulan ini, ada beberapa perkara yang ingin aku ceritakan. Bukan cerita penting, tapi cerita tentang diriku, keluargaku dan kerjayaku.

Aku boleh katakan yang bulan Julai adalah bulan aku. Bulan bagi Lelaki Sabah macam aku. Aku banyak melalui pengalaman indah dalam bulan ini sebab ia adalah bulan ketujuh dan ada tujuh benda ajaib dalam hidup aku.

Sebelum itu, aku mahu cerita sikit pasal bulan Julai.
"Julai adalah bulan ketujuh dalam sebuah tahun dalam kalendar Gregory dan merupakan salah satu bulan yang mempunyai 31 hari. Bulan ini dinamakan Julai kerana Julius Caesar dilahirkan pada bulan ini. Sebelumnya, ia dipanggil Quintilis, yang bererti kelima dalam bahasa Latin, kerana pada asalnya kalendar Rom bermula pada bulan Mac. Julai bermula pada hari yang sama dengan Januari pada tahun lompat dan bulan April setiap tahun." - sumber Wikipedia

Bagaimanapun, untuk tulisan kali ini, aku lebih berminat bercerita tentang kerjaya aku. Kerjaya yang telah memberi rezeki kepada aku, isteri aku dan anak aku. Dari kerjaya ini juga aku berikan sedikit buat adik-adik aku serta ayah aku. Itu rezeki aku sebagai wartawan.

6 tahun lalu, pada bulan Julai 2004, hidup aku telah berubah. Di bulan itu, aku menerima tawaran untuk mengikuti temuduga dan dibulan itu juga aku diterima sebagai kakitangan Utusan walaupun tidak rasmi.

"Balik ni, jumpa ngan bos awak dan bagi surat berhenti kerja. Pastu, tunggu je panggilan daripada sumber manusia," kata salah seorang penemuduga sejurus selesai menemuduga aku.

Kini, selepas enam tahun berlalu, aku masih lagi berada di sini. Masih mencari rezeki mengikut acuan aku di sini. Masih mencari rezeki untuk anak dan isteri aku. Untuk kehidupan aku dan untuk mengubah kehidupan aku.

Pada Julai 2010 ini, kehidupan aku sudah pun berubah. Tempoh enam bulan di Terengganu telah mengubah hidup aku. Bukan pada fizikal, bukan pada perangai dan bukan pada kedudukan. Sesuatu telah berubah hanya kerana aku berada di sini.

Tempoh enam bulan aku lalui dengan penuh ketelitian. "Benarkah rezeki aku di sini.." Itu persoalan yang terus bermain dalam fikiran aku. "Ya..di sini lah rezeki aku...dan aku perlu terus berada di sini.."

Dunia aku sepanjang 6 bulan di sini cukup ringkas. Kerja, lepak, bersukan dan berinternet. Siang aku akan kerja + lepak. Malam aku bersukan + internet. 24 jam aku lalui dengan singkat sekali. Mengantuk pada hari Isnin masih aku rasa sehingga ke hari Jumaat. Kepenatan hari Selasa masih aku rasa sehingga ke hari Sabtu.

Duniaku sudah berubah. Itulah yang aku katakan sudah berubah. Ia benar-benar berubah di bulan Julai. Bulan yang penuh istimewa dalam hidup aku.

Hakikatnya, aku juga perlu berubah kerana aku sudah ada bos baru. Bos yang mungkin akan mengubah diri aku. Mungkin sahaja aku akan berubah menjadi seniman, atau menjadi olahragawan. Tidak kisahlah, aku tetap aku dan aku adalah wartawan.

Julai baru bermula, dan akan bergerak mengikut rentak bulan Julai. Ini bermakna, aku telah memasuki fasa kedua dalam kerjaya aku di Terengganu. Jadi, aku juga perlu bergera. Perkara remeh perlu aku ketepikan segera kerana ada banyak lagi benda penting yang perlu aku lakukan.

Aku ada isteri yang perlu aku ingati dan aku ada anak yang perlu aku rindui. Aku tidak boleh lagi hidup seperti dulu. Perlu lebih matang dan perlu lebih bertanggungjawab. Bukan apa, selepas ini, aku mungkin tidak boleh lagi berbangga dengan angka 2, tapi aku perlu akur yang aku bakal memperoleh angka 3 di bulan Julai ini.

DUNIA aku cukup kecil untuk aku kongsi dengan orang lain


LELAKI SABAH : Aku pernah mengecapi sesuatu yang indah sebagai wartawan pada bulan Julai. Dan sampai bila-bila pun, aku akan simpan kenangan itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...