Thursday, June 24, 2010

Siapalah aku tanpa Lakawa

Naufal Zafran Bin Mustapa Bin Lakawa Bin LasaHabu


30 tahun lalu di sebuah pelusuk kampung di kawasan Pensiangan, lahirlah dua bayi lelaki pada waktu dan masa yang sama. Seorang diberikan nama Harris dan seorang lagi Mustapa.

Kata pacik aku, nama itu dipilih kerana pada tahun 1980, ada dua pemimpin hebat di Sabah yang sering bertikam lidah demi perjuangan. Seorang adalah presiden Parti Berjaya, Datuk Harris Salleh yang juga Ketua Menteri Sabah ke-6. Sementara seorang lagi ialah Tun Dato Mustapha Datu Harun iaitu Presiden USNO yang juga Ketua Menteri Sabah ke-3.

Ini bermakna, nama aku dipilih bersempena dengan nama tokoh hebat di Sabah dan mungkin juga aku boleh berbangga kerana memiliki nama itu.

Namun, jauh disudut hati, aku merasakan bahawa nama ayah aku iaitu Lakawa sebenarnya telah memberi kekuatan paling maksimum kepada nama Mustapa. Dengan rasa rendah diri, aku juga merasakan yang aku ni bukanlah siapa-siapa jika hanya dikenali sebagai Mustapa. Tapi, kehidupan dan pengaruh diriku akan diketahui dengan nama Mustapa Lakawa.

Sejak zaman sekolah lagi, kawan-kawan dan guru-guru (terutamanya guru semenanjung) akan mengingati aku dengan nama Lakawa. Begitu juga ketika berada di universiti, pensyarah yang hanya ku temui seminggu sekali masih mampu mengingatiku hanya kerana pengaruh dan kekuatan nama pada Lakawa.

Aku ada satu kisah yang membuktikan kenyataan ini. Ketika berada dalam kelas kuliah Kenegaraan yang dihadiri hampir 300 pelajar, pensyarah dengan lantang bersuara.."Mana Lakawa, adakah dia datang hari ini..."

Memasuki alam perkerjaan, nama Lakawa juga memberi kelebihan kepada aku untuk dikenali. Kalau ada masalah di bahagian sumber manusia ataupun kewangan, aku hanya perlu menyebut nama penuh aku, Mustapa Lakawa untuk memudahkan pegawai mengenali diriku.

Itulah penangan seorang lelaki bernama Lakawa. Bukan hanya menjaga dan membesarkan ku, malah asbab kepada nama ayah yang luar biasa itu, aku mudah dikenali.

Aku masih ingat, ayah bukanlah jenis lelaki yang suka memaksa. Dia tidak pernah memaksa aku untuk belajar, juga tidak pernah memaksa aku untuk mengaji. Apa yang ayah pantau adalah rambut ku.

"Kalau mau jadi pelumba lari, rambut depan mana boleh panjang...mari sini potong sikit," kata ayahku.

Memang dari kecil lagi tabiat aku suka simpan rambut panjang. Orang kata bikin rimas, tapi bagi aku ia cukup selesa.

Ayah bukanlah orang mewah tetapi hanya bekerja sebagai buruh (penebang pokok di hutan) selama hampir 30 tahun sehinggalah kini menjadi seorang pekebun kecil. Sejak dari kecil lagi, ayahku memang selalu tidak berada di sini ibuku dan kami adik beradik. Dunia ayahku adalah dihutan tebal. Aku bangga dengan ayahku.

Ayah juga adalah seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab. Biarpun tidak berpendapatan besar, tapi ayah mampu menjaga beberapa keluarga dan anak-anak. Arwah ibu sendiri adalah isteri ketiga bagi ayahku. Dan walaupun tidak lagi tinggal bersama dua lagi isterinya, ayah tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai suami.

Kini, dengan kudrat yang tidak lagi seberapa, ayah masih mahu meneruskan kerja-kerjanya sebagai pekebun kecil-kecilan. Sekalipun berbumbung matahari, ayah tidak mengeluh. Setiap peluh yang jatuh ke tanah, ayah anggap sebagai satu pencuci dosa demi usahanya mencari rezeki yang halal.

Sesungguhnya, aku cukup berbangga memiliki seorang ayah yang cukup sempurna. Ketinggian ayah diimbangi dengan ketinggian penghormatannya pada orang lain.

Dengan lagak berjalan perlahan-lahan, ayah akan sentiasa mengukir senyuman pada setiap orang yang ditemui. Ada orang memanggil ayah sebagai "bapa mia", ada yang menegur sebagai "pacik Kawa", dan ada yang suka bermanja-manja dengan menyapa "pacik panjang"...

Bagi kami lapan beradik, ayah adalah ayah dan apapun yang orang gelar tentang ayah, ayah tetap kebanggaan kami. Kerana ayah, emak melahirkan kami. Kerana ayah juga, aku sampai ke tahap ini dan kerana ayah, aku boleh menitiskan air mata.

Dengan doa anakmu yang kerdil ini, aku berdoa pada Allah semoga ayah terus diberi kesihatan yang baik dan sentiasa diberi perlindungan.

Selamat Hari Bapa buat Lakawa LasaHabu.....ikhlas dari anakmu Mustapa Lakawa.


LELAKI SABAH: Syurga itu berada di telapak kaki ibu, tetapi perjalanan ke syurga boleh ditemui dengan menjadi seorang anak lelaki, suami, ayah dan pemimpin yang baik. Semoga ayah panjang umur dan diberikan kesihatan yang baik. AMIN


AYAH bukanlah seorang yang garang, tapi kami sentiasa hormati ayah


ADAKAH aku akan mengikut jejak
langkah ayah yang memiliki isteri-isteri?

3 comments:

  1. MAMPUKAH aku mengikut jejak
    langkah ayah yang memiliki isteri-isteri?
    MAMPU KOT..HEHE

    cuba ceritakan sikit asal usul nama lakawa ni?
    unik.jarang org nama ni..
    mesti ada asal usulnya...

    ReplyDelete
  2. Mesti ita membara dgr ayat terakhir tu...

    ReplyDelete
  3. Alida: hahahaha....aku rasa confirm satu bulan aku tidak dibenarkan balik Bangi...

    Wan: Untuk 'menyedapkan' lagi suasana, maka aku tukar perkataan 'MAMPUKAH' dengan 'ADAKAH'.....
    Pasal nama tu, aku akan cari apa maksud sebenarnya?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...