DUNIA sudah bergolak. Memaksa manusia-manusia hipokrit mencari kebenaran. Kebenaran yang dicari hanya dunia. Umpama makan daging saudara sendiri.
Dunia memang sudah bergolak. Sanggup matikan nyawa kaum sendiri. Dihina, difitnah....diajak segreombolan hamba. Berperang atas prinsip. Prinsip pemimpin bersikap binatang.
Memang dua kali lima. Si binatang mencanang seluruh dunia. Taburkan harta kaburi anak-anak kelaparan. Di belakang tabir, rencana disusun. Cukupkah harta haram yang telah diberikan.
Juga dua kali lima. Si haiwan terus megah melawan. Dipasang tembok tanda kekuatan. Menangkis serangan si binatang durjana. Konon atas dasar perjuangan. Jual maruah demi kemegahan.
Wahai binatang dan haiwan. Cukup-cukuplah berperang bodoh. Lihatlah hamba-hambamu. Menderita, terseksa dan menangis darah. Kasihani mereka. Tolong mereka dan bela mereka.
Lupakan soal ego. Matikan semua kesombongan. Beringatlah, nyawa kamu sangat terhad. Jangan sampai mayatmu dipijak. Lebih hina dari seorang binatang.
BANGKITLAH dan laungkanlah semangat anak Adam. Jangan hanya tahu berdengkur dan bermain madah. Itu semua budaya manusia-manusia kerdil. Manusia yang tidak pernah pergunakan akal serta kudrat. Asbab dunia kamu yang kecil, ketamadunan kamu telah hilang.
Bicara mungkin keras. Nada juga panas. Tapi aku bercakap soal kejujuran. Soal pengalaman. Aku benci manusia yang suka ketawa kosong. Suka bersekongkol dengan perempuan jalang.
Sedarlah, dunia ini bukanlah kegembiraan. Dunia ini juga bukanlah kemewahan. Wahai manusia dayus, hidupmu sebenarnya telah dikongkong. Dikuasai kejahilan pasukan berkuasa miterial.
Jadi......belajarlah erti susah. Belajarlah erti merantau. Sejarah keturunanmu sudah membuktikan. Hidup tidak akan diubah tanpa kesusahan.
(Pesan buat semua anak berdarah perantau)
LELAKI SABAH : Selawat dan Salam buat junjungan Nabi tercinta, Muhammad s.a.w. Salam Maulidur Rasul.
MENDUNG itu lebih banyak nikmatnya. Menutupi sinaran panas dari menembusi kulit si petualang. Dia hanya tahu bercakap. Bijak bermadah. Hebat berlakon. Sisi pakaiannya mahal. Kulit badannya mulus. Ditemani si betina gempal. Berjalan ibarat manusia sempurna.
Tapi jujur, aku suka sangat lihat manusia ini. Permainannya cukup teratur. Disusun setiap rangkap mengikut hukum. Semuanya demi kuasa. Demi wang dan demi kemusnahan hambanya.
Senyumannya juga palsu, gerak badannya dipaksa. Bahkan, niatnya pasti sudah jauh terpesong.
Ahhhh....kau memang binatang. Dan kau lebih jijik dari binatang. Kau perlu ingat. Kuasamu itu bukan milikmu. Hartamu itu bukan milikmu. Milikmu hanyalah sepotongnya nyawa. Yang dipinjamkan dari Tuhan.
Sedarlah. Cukup-cukuplah. Manusia perlukan keadilan. Perlu pertimbangan yang ikhlas. Usah dimatikan semangat manusia. Sekali kau senyum, sejuta rakyatmu menangis. Sekali kau bersuara, sejuta rakyatmu menderita.
Kami mahu pulang. Mahu keluar dari kepompong ini. Terima kasih buatmu sang pemusnah. Matikan saja demokrasi itu, dan julanglah semangat republikan. Itu mungkin kemahuanmu.
LELAKI SABAH : Dunia ini akan bergoncang setiap kali manusia sepertimu menari.
RESAH dalam hati hanya Tuhan yang satu. Tuhan juga tahu nasib yang belum berlaku. Sebagai manusia, aku sedar akan hakikat hukum karma. Juga percaya kepada Qada dan Qadar.
2012 sudah memulakan agenda. Berlari meninggalkan manusia-manusia yang kelaparan dunia. Tidurlah jika itu yang terbaik. Dan bangkitlah jika hidupmu mahu diubah.
Tahun ini adalah fasa penting bagi aku. Di mana segala penentuan akan berlaku. Soal aku berjaya atau tidak, aku sudah berusaha.
Doa aku ringkas, mohon pada Ilahi agar aku diberikan cukup kekuatan untuk hadapinya. Sebagai seorang hamba kepadaNya. Sebagai seorang isteri kepadanya dan sebagai seorang bapa kepadanya.
Moga saja, darah perantau yang ada dalam diri aku akan kekal. Untuk mencari rezeki di tempat orang. Diselamatkan dunia dan akhirat. - Amin
LELAKI SABAH: Jangan bercakap soal kesusahan kerana Tuhan telah berikan kamu nyawa.
SEPTEMBER bulan yang diindah. Bulan yang cukup bernyawa dengan pelbagai nilai gembira.
Diawalnya aku bersuka ria. Bersama dua insan tersayang menyambut Syawal. Perjalanan jauh Bangi-Kuala Terengganu menghiasi hari-hari awal Aidilfitri kami. Hidup umpama perantau dan menikmati kehidupan dengan rasa syukur.
Paling indah pastinya 6 September. Tarikh dimana lahirnya zuriat terindah ciptaan Tuhan. Naufal Zafran namanya. Dia berdiri, berlari, bak orang dewasa yang semakin ligat. Setiap percakapan mula disusun dengan gerak badan menampakkan kesungguhan.
Tahun ini tahun keempatnya bersama kami. Terima kasih Allah kerana penjagaanmu kepada zuriat kami. Buat isteri, Noranita Awang..inilah nyawa kita. Peliharalah sebaiknya seperti mana kita dipelihara oleh orang tua kita.
Tuhan. Aku sekali lagi berdoa, moga di tahun ini diberi lebih banyak rezeki dan perlindungan buat kami bertiga. Juga buat keluarga terdekat, sanak saudara, rakan-rakan seperjuangan dan seluruh umat manusia. Peliharalah kami sehingga nyawa kami kembali kepadamu.
1 tahun
2 tahun
3 tahun
Alhamdulillah... Sekarang sudah 4 tahun.
LELAKI SABAH: Salam Lebaran. Salam Hari Lahir dan Salam Hari Malaysia.
HUJAN rintik-rintik malam itu. Orang lain bersujud dengan badan yang suci, sedangkan aku berlari-lari mengejar duniawi. Orang kata, aku sudah lupa. Sudah lupa apa itu ibadah. Sudah lupa apa makna agama.
Aku juga sedar, Ramadan hanya sekali dalam setahun. Lalu, aku begitu takut untuk tinggalkan dosa di bulan ini. Takut aku gagal mendapatkan sesuatu dari bulan ini.
Aku hanya mampu menahan lapar dan dahaga. Dalamanku makin kotor. Permainanku makin menjadi-jadi. Aku sesekali sujud, meminta agar sezarah ibadah yang aku lakukan di bulan ini diterima Allah.
Aku pasti rindukan Ramadan. Moga sahaja Allah pertemukan aku dengan Ramadan yang lain. Dengan harapan, detik itu aku menjadi manusia sebenar. Yang tahu apa itu ibadah, apa itu agama.
Syawal. Hadir dengan cara berbeza. Di situlah detik kegembiraan seorang manusia. Di maafkan segala dosa sesama manusia. Di situ juga wujudkan keinsafan. Betapa perlunya ikatan kasih sayang untuk meraikan Syawal.
Aku mahu habiskan masa bersama mereka. Cukuplah dunia yang aku kejar selama ini. Biarlah aku rebahkan semua tenagaku untuk mereka berdua. Isteri dan Anakku.
Kesempurnaan aku bukan pada harta. Bukan juga pada kebendaan. Kesempurnaan aku adalah bertiga. Aku, dia dan dia. Biarlah kami bersama selamanya. Bergembira di hari mulia dengan cara kami. Doakan kebahagian itu akan kekal.
Seribu kemaafan dari aku dan keluargaku. Buat semua umat bernama manusia. Yang zahir hinggalah yang batin. Ikhlaskan setiap pemberian. Moga Allah merahmati semua manusia di dunia ini. Salam Aidilfitri.
Gembira dan menangis adalah kehidupan kami.
LELAKI SABAH: Kemaafan itu lebih indah dari segalanya.
PETANG yang sunyi. Letih, sakit badan, tension dan tak ader mood. Tanda manusia mula bermain emosi. Semua yang disajikan tidak dipandang, jauh sekali mendapat perhatian.
Bersabarlah. Bulan Ramadan akan hadir juga. Letih akan menjadi segar. Tiada lagi sakit badan dan tension akan hilang begitu sahaja. Cuma....jaga sahaja mood itu agar Ramadan menjadi indah.
Aku. Buat kesekian kalinya akan menjadi aku. Berpuasa tunggal umpama si bujang telajak. Tiada erti sahur dan jauh sekali menikmati keselesaan berbuka. Apa yang penting, aku sempat berniat untuk berpuasa. Dan berbuka mengikut tempoh. Moga sahaja aku dapat menghabiskan Ramadan ini untuk melihat Syawal yang baru.
Buat isteri yang sabar menjadi 'ibu tunggal', bersabarlah kerana kebahagian sebenar terletak dalam hati. Buat anak yang semakin mengerti, jagalah ibumu seperti mana dia menjagamu.
Kawan-kawan kalian, Ramadan ini bukan semata-mata berpuasa. Inilah detik untuk kita berbaik dan menjernihkan mana-mana yang keruh. Kita berpuasa di alam yang sama dan kita berbuka di waktu yang sama.
Bezanya, kita mempunyai niat yang tidak sama. Di pihak aku, aku terlalu kotor dan biarlah aku dengan cara aku. Moga sahaja, kita sama-sama diberikan pahala. Pahala yang boleh membantu kita untuk berjumpa di dunia sana. Insyallah.
LELAKI SABAH: Yang lapar bukannya perut dan yang haus bukannya tekak. Salam Ramadan buat semua.
MALAM ini malam Nisfu Sya'ban. Malam penuh pengampunan. Dijadikan malam ini buat kita semua. Terutamanya aku sebagai insan kotor.
Aku cukup lemah untuk hidup. Cukup lemah untuk memikirkan semuanya. Semangatku kadang kala hilang, seperti enggan lagi berkawan dengan aku.
Mungkin saja, aku sudah bosan. Atau aku perlu berputus asa dengan apa yang aku kejar. Semua orang ada kehidupannya. Tapi kehidupan yang aku lalui penuh lakonan. Siapa aku dan siapa yang tahu pasal aku?
13 Julai sudah berlalu. Titipkan salam buat semua keluarga dan rakan yang menghulurkan doa. Moga saja apa yang diucapkan itu diterima Allah.
Jujur aku katakan, aku bukanlah manusia yang suka meminta-minta. Jauh sekali untuk dilayan seistimewa orang lain. Cukup bagiku kepercayaan dari orang yang aku sayang. Perhatian dari orang yang aku sayang dan kasih sayang dari orang yang aku sayang.
Iya..mulutku kadang kala bacul. Perangaiku kadang kala umpama pengkhianat. Malah, hatiku busuk dan suka mendengki. Itu kelemahan aku. Dan itu dosa yang perlu aku tanggung.
Tapi percayalah. Hidupku penuh pendirian dan semangatku juga cukup terhad. Buat mereka yang sering dipaksa, hanya kesabaran yang aku minta. Bila mana semangat itu hilang, aku akan pergi juga.
Hari ini, kita masih boleh bernafas. Diizinkan Tuhan, kita akan terus bernafas. Satu udara di bumi Tuhan. Masa itu akan tiba dan pendirian itu juga akan bersuara. Waktu itu, aku lupakan semangatku buat seketika, kerana aku juga manusia biasa.
Berdirilah dengan kehidupan asal masing-masing. Ketawa dan bersedihlah mengikut naluri masing-masing. Kerana apa, kerana dunia aku bukan di sini.
JANGAN biarkan dia jadi sepertiku
Lelaki Sabah: Selendang itu boleh jadi tuala, tapi tuala itu tidak mungkin menjadi baju.
AKU HAMPIR TERLUPA BAHWA JULAI SUDAH BERMULA BULAN PENUH MAKNA ANTARA AKU, DIA DAN MEREKA
DI SINI SEMUA ADA SUKA DUKA DAN JUGA GEMBIRA DI SINI SEMUA PENUH BERMAKNA CERITA AKHIRAT DAN JUGA DUNIA CERITA JASAD MAHUPUN NYAWA
AKU LAHIR DI BULAN INI TANGGAL 13 TAHUN MASIHI SUDAH DEWASA PENUH BERISI LUAR DALAM AKU TEROKAI JUMPA MANUSIA YANG INDAH BERSERI
TAPI SAYANG DI BULAN INI AKU TELAH HILANG PERGINYA IBU DI USIA MATANG TINGGALKAN KAMI DI WAKTU TENANG MALAM SIANG AKAN DIKENANG IBU...KAMI AKAN SENTIASA SAYANG
JUGA DI BULAN INI AKU HILANG LAGI SEKALI SEMANGAT, KEPERCAYAAN PENUH HAKIKI DARI MANUSIA DIHUJUNG BUMI BUKAN SEKALI, TAPI BERKALI-KALI MANUSIA PERGI SELEPAS DIKHIANATI TINGGAL AKU MENANGIS SENDIRI ANGKARA PERBUATAN PENUH KEJI SILAP SIAPA TANYALAH HATI JANGAN KESALI JANGAN TANGISI HIDUP KOSONG BERMULA HARI INI
TUHAN BERIKAN SEDIKIT REZEKI JUGA HIDAYAH UNTUK BERBUDI AKU PASRAH DENGAN UJIAN INI SEMUA DITENTUKAN OLEH ILAHI
TAPI.... DOAKU TAK PUTUS MALAM DAN PAGI MOGA ADA PELUANG SEKALI UNTUK JADI MANUSIA SEJATI