Tuesday, December 15, 2009

Aku, mereka dan sesuatu....



LIMA tahun aku mengabdikan diri di meja sukan. Dalam tempoh itu juga, aku telah melalui pelbagai suka dan duka, sama ada aku terima secara paksa mahupun rela.

Aku tahu, aku bukanlah siapa-siapa untuk menentukan sesuatu dan aku juga tahu, aku tidak punya kuasa untuk mengubah sesuatu.

Apa yang ada dalam diri aku hanya sikap untuk berubah, menjadikan sesuatu itu lebih baik daripada sebelumnya dan menjadikan hari-hari itu lebih indah daripada hari sebelumnya.

Kini, nyawa aku di meja sukan sudah berakhir. Berakhir tandanya putuslah 'hubungan' aku dengan watak-watak indah yang selama ini aku minati. Aku tidak mengenali mereka dari dalam, tetapi aku kagum dan sanjungi peribadi 7 sang juara ini.



1. DIDIER DROGBA
JARANG sekali kaki bola yang meminati mamat Ivory Coast ini. Tapi, aku anggap Drogba adalah jantung kepada Chelsea dan lakonannya di atas padang memberi inspirasi kepada aku untuk turut berlakon menjadi Lelaki Sabah.



2. RAFAEL NADAL
ISTERI aku pernah kata, budak Sepanyol ni sombong dan tidak suka senyum. Malah, tabiatnya memegang 'punggung' sebelum melaku servis menimbulkan rasa tidak senang di kalangan peminat tenis. Siapalah Nadal tanpa tanah liat dan aku hormati wataknya sebagai "Matador Tangan Kiri'.



3. FERNANDO ALONSO
MUKA berpetak-petak dan suka melompat parti. Tapi aku minat dgn mamat ni kerana dia seorang yang 'pendengki' dan tidak puas dengan sesuatu di litar Formula Satu. Itu peribadi sebenar yang ada dalam diri Lelaki Sabah ini.



4. USIAN BOLT
SOMBONG, berlagak dan bertabiat. Namun, ia tidak mengapa kerana Bolt bijak mengemparkan suasana terutamanya sebelum memulakan perlumbaan. Perkara inilah yang tidak ada pada Asafa Powell dan Tyson Gay, tetapi ada sedikit pada Lelaki Sabah.



5. ANA IVANOVIC
DIA belum begitu dikenali ketika aku meletakkan gambarnya sebagai 'Screen Saver' di komputer opis. Kini, Ivanovic adalah ratu di gelanggang tenis dan wajah Serbia Melayunya belum pernah aku lihat di wajah wanita Malaysia.



6. HERNAN CRESPO
AKU hanyalah budak sekolah ketika zaman kegemilangan Lelaki Argentina ini. Paling aku suka adalah lagaknya selepas menjaringkan gol. Mengangkat tangan kanannya sambil mengeluarkan jari telunjuknya ke langit tanda kesyukuran kepada Tuhan.



7. JOSE MOURINHO
AKU ada persamaan dengan lelaki ini. Zaman kegemilangannya bersama Chelsea pada tahun 2005 dan 2006 merupakan zaman kegemilangan aku sebagai wartawan sukan. Serius ketika berkerja dan pelawak ketika santai. Mourinho adalah idolaku.



LELAKI SABAH: Aku akan rindu untuk menulis tentang Chelsea, keagungan Chelsea dan kejayaan Chelsea....

Thursday, December 3, 2009

Puduraya Tidak Pernah Mati




Puduraya sentiasa menanti tetamunya

PUDURAYA. Nama keramat yang perlu diingat oleh setiap penghuni setia Kuala Lumpur. Di sinilah segala-galanya bermula. Dari pertemuan yang diatur dengan begitu rapi sehinggalah kepada perpisahan yang ditamatkan dengan indah sekali.

Semuanya berlaku tanpa henti. Di setiap sudut isi perut Puduraya tersimpan 1001 kisah. Si ayah dengan setia menanti kehadiran si anak. Si suami pula tetap sabar menghitung detik pertemuan dengan si isteri.

Di sini juga terjalinnya hubungan istimewa. Hubungan yang kadang kala di akhiri dengan perpisahan. Air mata si gadis dengan tenang mengalir di pipi dan lambaian tangan si lelaki menjadi hadiah terakhir. Semuanya berlaku di Puduraya.

Aku sendiri cukup memahami naluri bangunan bernama Puduraya. Walaupun ada yang memandang Puduraya sebagai tempat 'hitam', namun dari sisi lain, Puduraya adalah segala-galanya.

Paling penting, Puduraya tidak pernah lokek untuk membenarkan aku berkongsi kehidupan di 'rumah tetamunya'. Dan aku yakin, Puduraya juga cukup matang untuk membenarkan setiap insan menghampirinya.


Puduraya jadi tumpuan pelbagai bangsa Malaysia

1. Puduraya dan masyarakat
PUDURAYA tidak pernah mati. Sejak hentian ini dibuka pada 1976 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn, Puduraya terus bernyawa sehingga kini. Dari utara ke selatan, Puduraya telah berkorban demi keselesaan setiap tetamunya.

Melayu, Cina dan India adalah penghuni tetap Puduraya. Pelancong asing pula menjadikan hentian ini sebagai 'check point' untuk ke destinasi lain. Mereka beratur, bersesak dan berebut di bangunan yang sama. Mereka makan, berehat dan tidur di kerusi yang sama.

Si kaya mungkin memilih untuk menaiki bas lima bintang, dan si miskin pula tetap sabar menggunakan perkhidmatan asas. Ada pun yang merungut, itu adalah asam garam di Puduraya kerana apa yang penting, Puduraya tidak pernah mati.


Musim perayaan menjadikan Puduraya destinasi paling sibuk di Kuala Lumpur

2. Puduraya dan perayaan

AIDILFITRI, Deepavali dan Tahun Baru Cina. Setiap kali tibanya detik ini, Puduraya mula tersenyum. Secara tradisinya, di waktu inilah Puduraya akan dilawati. Dari pekerja kerajaan sehinggalah kepada pekerja kilang, dari pelajar sekolah sehinggalah kepada mahasiswa universiti, semuanya menuju ke destinasi yang sama.

Tujuan mereka hanya satu iaitu untuk kembali ke halaman masing-masing. Puduraya akan menjadi rumah kedua dan Puduraya juga akan menjadi bangunan terakhir yang ditinggalkan sebelum Kuala Lumpur menjadi sepi.


Antara pencari rezeki di Puduraya

3. Puduraya dan rezeki
SI pemandu teksi ligat mencari penumpangnya dan si penjual air pula tenang menanti pelanggannya. Si peminta sedekah juga nekad korbankan maruahnya untuk sesuap nasi dan si pencopet memberanikan diri mencari mangsanya.

Semuanya berlaku dalam satu masa dan semuanya juga berlaku di lokasi yang sama iaitu Puduraya. Sesungguhnya, Puduraya telah dianggap sebagai syurga rezeki. Telah banyak perut yang dikenyangkan sejak kewujudan Puduraya.


Terima kasih Puduraya
SEKALIPUN dihambat bunyi bising dan kesesakan yang melampau, Puduraya tidak pernah menangis. Tiada keselesaan bertaraf lima bintang di sini dan tiada kemudahan secanggih KL Central, namun Puduraya terus bernyawa sehingga kini. Aku percaya, semua orang akan berkata TERIMA KASIH PUDURAYA....


SEJARAH PUDURAYA
- Hentian Puduraya merupakan terminal bas di Kuala Lumpur, Malaysia.

- Hentian ini dibuka pada 1976 oleh Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.

- Stesen bas ini digunakan oleh bas ekspres untuk perkhidmatan bagi seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk Negara Thai dan Singapura.

- Pengendali Hentian Puduraya ialah dibawah UDA Holdings Bhd , sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

Friday, October 30, 2009

Labuan: Duniaku, Syurgaku, Wilayahku



Labuan pernah dikenali dengan nama Pulau Victoria dan Pulau Maeda

SENJA kian berlabuh dan kelihatan sekumpulan anak-anak kecil terpaku melihat keindahan mentari ciptaan Tuhan. Sambil menanti kepulangan sang nelayan, si anak kecil pun berlari-lari anak merentasi titian kayu menuju ke Kampung Air.

Di sudut lain pula, sekumpulan golongan cerdik pandai terus memeras otak di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan. Tidak mengira waktu dan situasi, golongan ini tetap nekad dengan matlamat mereka mencari segulung ijazah demi masa depan yang cerah.

Tidak jauh dari syurga ilmu itu, kelihatan kelompok pelabur asing sedang sibuk berurusniaga. Tujuan mereka adalah mencari keuntungan hasil daripada keistimewaan yang dimiliki Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa (IOFC) atau kini dikenali dengan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC).

Semuanya berlaku pada detik yang sama. Dan biarpun berbeza cara, si anak kecil, golongan cerdik pandai dan pelabur asing ini tetap berpijak di tanah yang sama dan berteduh di langit yang sama.

Dunia mereka hanya satu dan wilayah mereka juga satu. Mereka bersatu atas nama Wilayah Persekutuan Labuan.

Kampung Air miliki keistimewaan tersendiri.


Universiti Malaysia Sabah Kampung Antarabangsa Labuan menjadi tumpuan golongan cerdik pandai mencari ilmu.


Apa yang pasti, pulau indah berkeluasan 98 kilometer persegi ini menyimpan 1001 sejarah. Sejarah yang mungkin tidak terfikir oleh generasi masa kini.

Di sinilah keringat daripada pelbagai bangsa mengalir. Siapa sangka, Labuan yang didiami oleh majoriti orang Melayu dari suku kaum Kedayan dan Brunei ini telah diktiraf sebagai wilayah persekutuan kedua di Malaysia selepas Kuala Lumpur pada 1 Februari 1984.

Sejak detik itu, Labuan melalui transformasi yang cukup ketara. Dari sebuah pulau yang tidak berpenghuni yang dijadikan tapak operasi menentang lanun pada 1846, Labuan kini boleh bermegah dengan status sebagai destinasi perdagangan terhebat di rantau ini menerusi pengiktirafannya sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa pada Oktober 1990.

Mengikut sejarah, Labuan mempunyai pelabuhan yang dalam dan besar, yang merupakan punca asal namanya iaitu "Pelabuhan" atau "Labuhan".

Ia pada asalnya adalah sebahagian daripada jajahan Kesultanan Brunei, sebelum diserahkan kepada British pada 1846 untuk menjadi Tanah Jajahan Mahkota British. Ketika itu, Labuan dikenali dengan nama Pulau Victoria.

Kemudiannya pada 1890, ia digabungkan dengan Borneo Utara. Namun, pada 1 Januari 1906, Labuan telah diserahkan kembali kepada British dan menjadi sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat pada 30 Oktober 1906 bersama-sama Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

Pada Disember 1941 hingga Jun 1945, Labuan telah diperintah oleh Jepun. Labuan telah ditukar namanya menjadi Pulau Maeda sempena nama Komander tentera Jepun di Borneo ketika itu, Marquis Toshinari Maeda.

Selepas pengunduran Jepun dan pentadbiran tentera British tamat, Labuan digabungkan ke dalam Borneo Utara pada 1946. Seterusnya pada 1963, ia bersama-sama Sabah bergabung ke dalam Malaysia sebelum menjadi Wilayah Persekutuan Labuan pada 1 Februari 1984.

Perjalanan dan perjuangan anak tempatan ke atas pulau ini cukup panjang dan kini ia telah membuahkan hasilnya. Tiada lagi penjajahan dan tiada lagi peperangan.

Apa yang tinggal kini adalah peninggalan sejarah silam seperti Taman Damai. Di lokasi inilah menyaksikan Jepun menyerah kalah kepada British. Dan disini jugalah kubur askar asing yang terkorban semasa berperang dengan tentera Jepun disemadikan.

Taman Damai menyimpan 1001 sejarah Labuan.


Pesisir pantai Labuan yang indah juga telah melalui kemodenan. Jika dahulunya, ia dibanjiri dengan bot-bot nelayan, kini Labuan terkenal dengan aktiviti sukan laut peringkat antarabangsa. Pelbagai aktiviti diperkenalkan seperti pertandingan memancing laut dalam, jet ski dan kayak mengelilingi pulau.

Semuanya cukup indah untuk diceritakan. Keunikkan budaya masyarakatnya sehinggalah kepada keaslian bahasa pertuturannya. Di sebalik kemodenan yang ada, masih tersimpan juga rasa rendah diri masyarakatnya sebagai masyarakat berbudaya.

Maka, tidak hairanlah mengapa si anak-anak kecil, golongan cerdik pandai dan para pelabur asing cukup gembira menamatkan hari yang penuh bermakna di pulau ini. Kerana bagi mereka, Labuan adalah duniaku, syurgaku dan wilayahku.



Friday, October 9, 2009

Putih ke Hijau

TIADA lagi 'jersi' putih yang akan dipakai Robert Kubica pada perlumbaan Formula Satu (F1) tahun depan.

Malah, sejak kelmarin juga, pemandu kelahiran Krakow, Poland itu telah mula mengukur 'jersi' baru berwarna hijau kuning bagi mencerminkan dirinya sebagai pemandu pasukan Renault.

Kubica akan menggantikan tempat juara dunia dua kali, Fernando Alonso di Renault. Alonso sebelum itu terlebih dahulu menukar 'jersi' apabila bersetuju menyertai pasukan Ferrari berkuat kuasa tahun depan.

Bersama Renault, Kubica yang juga pemenang GP Kanada 2008 bakal digandingkan dengan pemandu Perancis, Romain Grosjean.

Namun, spekulasi masih bertiup kencang apabila ramai pemerhati F1 meramalkan pemandu veteran Jerman, Nick Heidfeld akan mengikut jejak langkah Kubica dengan menyertai Renault.


Lelaki Poland seronok bergambar bersama Lelaki Sabah

Wednesday, September 16, 2009

Badak bernafas dalam lumpur

INGAT lagi nama ini, Mohd. Amri Yahyah dan Juan Manuel Aristegui.
Dua pemain inilah yang pernah melenyapkan impian Sabah untuk bergelar juara Piala Malaysia.

Amri, pemain yang menjaringkan dua gol ketika Malaysia tewas 2-3 kepada Manchester United Julai lalu menjadi watak kepada kejayaan Selangor menewaskan Sabah 1-0 pada final Piala Malaysia 2002. Aristegui, pemain kelahiran Argentina pula mencipta sejarah penuh gemilang apabila meledak hatrik ketika pasukan berstatus kelab, MPPJ membelasah skuad Badak 3-0 pada final Piala Malaysia 2003.

Namun, sejak detik itu, Sabah yang tiga kali melangkah ke final Piala Malaysia termasuk pada edisi 1996 terus tenggelam dilanda gelora Laut China Selatan. Malah, skuad Badak turut tersingkir awal pada kempen Piala FA dan tenggelam dalam persaingan kelas B, Liga Perdana musim ini.

Bagi persaingan Piala Malaysia yang bakal membuka tirainya selepas Aidilfitri ini, tiada apa yang boleh dijanjikan selain menyelamatkan maruah Badak daripada terus bernafas dalam lumpur. Baca disini..

Rakyat Sabah dihadiahkan bonus cuti sehari hasil kejayaan skuad Badak muncul juara Piala FA 2005 dengan menewaskan Pahang 3-1


Zainizam Marjan, adik kepada bekas kapten Malaysia, Matlan Marjan

Tuesday, September 15, 2009

Bintang lahir di Flushing Meadows..

Lelaki Argentina dipuncak kemasyhuran

DARIPADA lima rakan yang ku tanya mengenai pertemuan Juan Martin Del Potro vs Roger Federer kelmarin, empat daripadanya memilih Federer untuk bergelar juara Terbuka Amerika Syarikat. Namun, hanya seorang yang memilih Del Potro dan orang itu adalah Azizul Fahmi.

Del Potro, pemain kelahiran Tandil, Argentina muncul juara Terbuka Amerika Syarikat selepas menumbangkan juara lima kali, Federer 3-6, 7-6, 4-6, 7-6, 6-2 pada perlawanan akhir di New York kelmarin. Ia merupakan kejayaan penuh bersejarah buat rakan karib Mauro Camoranesi itu yang bakal menyambut hari jadinya yang ke-21 pada hari raya keempat minggu depan.

Selain membawa pulang wang tunai berjumlah $AS1.6 juta, Del Potro turut membawa pulang status berikut;
  • Pemain bukan Eropah pertama yang menjuarai gelaran Grand Slam sejak Gaston Gaudio (Argentina) muncul juara Terbuka Perancis 2004.
  • Pemain lelaki kedua dari benua Amerika Selatan yang muncul juara Terbuka Amerika Syarikat sejak Guillermo Vilas (Argentina) melakukannya pada tahun 1977.
  • Pemain Argentina pertama yang berjaya menewaskan Federer pada Terbuka Amerika Syarikat selepas David Nalbandian.
  • Pemain pertama yang berjaya menewaskan Federer pada perlawanan akhir Grand Slam selepas Rafael Nadal.
  • Pemain pertama yang berjaya menewaskan Federer dan Nadal dalam satu kejohanan Grand Slam yang sama.

Sunday, September 6, 2009

Jadilah yang terbaik...Naufal

Lelaki Sabah Junior yang ada cita-cita tinggi


BUAT tahun kedua berturut-turut, anakku, Naufal Zafran menyambut hari jadinya di bulan penuh keberkatan, bulan Ramadan.
Dan buat tahun kedua juga, Naufal yang lahir di Teluk Intan pada 6 September 2007 telah mula mengerti apa itu makna kehidupan.

Kehidupan bagi anak kecil seperti Naufal pastinya kenakalan dan kemanjaan. Dua perkara yang sering menggangu emosi kita sebagai orang tuanya. Aku berkongsi kegembiraan bila melihat Naufal ketawa kerana aku tahu anak kecil sepertinya sentiasa jujur dengan apa yang dilakukan. Namun, aku juga pastinya berkongsi kesedihan bila melihat Naufal menangis.

Tahun depan, Insyallah Naufal sekali lagi akan menyambut hari jadinya di bulan Ramadan. Dan setiap kali itu juga, aku berharap dan berdoa kepada Allah agar suatu hari nanti, Naufal akan menjadi insan sebaik dan semulia bulan ini.Selamat Hari Jadi Naufal.......

Saturday, September 5, 2009

Salah Chelsea atau silap FA

KELMARIN, bumbung Stamford Bridge bergegar lagi. Bukan kerana perangai buruk Didier Drogba dan bukan juga kerana sikap 'buaya darat' pemiliknya, Roman Abramovich.

Kali ini, ia melibatkan pemain muda berusia 18 tahun kelahiran Perancis, Gael Kakuta. Angkara pembelian Kakuta yang dianggap FIFA sebagai 'pembelian terlarang', Chelsea dilarang daripada membeli sebarang pemain sepanjang tempoh dua
musim (setahun).

Namun, tanpa disedari, hukuman ke atas Chelsea itu secara tidak langsung telah mengancam pasukan Big Four, kerana perkara sama juga telah dilakukan kelab terbabit.

Bukan rahsia lagi andai kelab-kelab besar Liga Perdana England memancing pemain muda dari pelusuk dunia. Dibanding kelab dari negara lain, mereka memiliki kuasa ekoran peraturan pelik FA England yang memperbolehkan kelab memancing pemain berusia di bawah 17 tahun.

Sebelum ini, Lazio menyalahkan Manchester United angkara p
enghijrahan sensasi muda Itali, Federico Macheda ke Old Trafford. United juga turut berdepan tentangan AS Roma ekoran pembelian pemain muda mereka, Davide Petrucci.

Pengerusi Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge tanpa berselindung pernah menuduh pengurus Arsenal, Arsene Wenger sebagai penculik selepas pelatih kelahiran Perancis itu membeli Cesc Fabregas dari Barcelona ketika pemain itu baru berusia 15 tahun.

Melihat sejarah, kelab The Gunners juga pernah dikutuk keras kerana memberikan kontrak profesional kepada bintang Barcelona, Fran Merida, ketika pemain itu berusia 17 tahun. Bagi FA, ia tidak melanggar peraturan, namun Persekutuan Bola Sepak Sepanyol telah menentukan kontrak maksimum adalah pada usia 18 tahun.

Isu sama dialami Liverpool apabila kelab The Reds itu b
erdepan kecaman Borussia Dortmund kerana memancing bek kiri Jerman B-19, Christopher Buchtmann.

Persoalannya, siapa yang bersalah dalam hal ini? Adakah
Chelsea seharusnya dipersalahkah atau FA perlu melihat kepada kehadiran 'budak hingusan' ini di England.

Gael Kakuta

Federico Macheda

Christopher Buchtmann

Cesc Fabregas

ARSENAL : Vito Mannone (Atalanta), Fran Merida (Barcelona), Francis Coquelin (Laval), Pedro (Figueirense), Sead Hajrovic (Grasshoppers), Ignasi Miquel (Cornella), Nacer Barazite (NEC Nijmegen), Oghuzan Ozyakup (AZ Alkmaar).

CHELSEA: Gael Kakuta (Lens), Jeffrey Bruma (Feyenoord), Patrick van Aanholt (PSV), Miroslav Stoch (FC Nitra), Philipp Prosenik (Rapid Vienna).

LIVERPOOL: Damien Plessis (Lyon), Daniel Ayala (Seville), Christopher Buchtmann (Dortmund), Gerardo Bruna (Real Madrid), Francisco Duran (Malaga), Daniel Pacheco (Barcelona), Martin Hansen (Brondby), Nikola Saric (Herfolge), Vincent Weijl (AZ Alkmaar).

MAN UNITED: Fabio da Silva (Fluminense), Rafael da Silva (Fluminense), Federico Macheda (Lazio), Ron-Robert Zieler (FC Koln), Davide Petrucci (Roma), Magnus Eikrem (Molde), Rodrigo Possebon (Internacional), Paul Pogba (Le Havre).

Thursday, September 3, 2009

Kisah Radio dan Keningau fm

20 tahun lalu, malam2 aku banyak dihabiskan oleh stesen radio ini, Radio Muzik (kini Muzik fm) dan Radio Sabah (kini Sabah fm). Radio Muzik kerana adanya segmen Pilihan Bersama dan individu ini, Isma Halil Hamzah. Radio Sabah pula menjadi satu-satunya saluran buat aku dan rakan-rakan untuk mendapatkan liputan bola sepak Semi Pro secara langsung...

Kini, semuanya sudah berubah..anak-anak moden Keningau juga sudah berubah. Semuanya gara-gara adanya Keningau fm dan radio baru....

Ini buktinya....

Sairin Terkejut..bangga rakyat beli radio dengar Keningau Fm

KENINGAU: Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah, Datuk Sairin Karno berkata, beliau terkejut dan bangga apabila mendapati rakyatnnya berpusu-pusu membeli set radio, hanya kerana mahu mendengar siaran Radio Malaysia Keningau FM.

“Ini menunjukkan rakyat memerlukan maklumat,” jelasnnya semasa memberi reaksi mengenai keghairahan penduduk Keningau membeli set radio sejak kebelakangan ini.

Sairin yang merupakan Ketua Umno Bahagian Keningau berkata, Radio Malaysia Keningau FM amat penting kepada rakyat di kawasan pedalaman.

“Stesen ini adalah maruah dan mercu tanda rakyat Pedalaman, khususnnya Bandar Keningau sebagai pusatnya,” tegasnya.

Sairin ditemui di sini ketika menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Biro Agama Umno Bahagian Keningau.

Akhbar ini pada Ahad menerbitkan artikel mengenai gelagat penduduk yang sanggup berbelanja besar, semata-mata untuk mendapatkan set radio untuk mendengar siaran stesen itu.

Kebanyakan pendengar stesen itu terdiri daripada penduduk luar Bandar, yang bekerja sebagai penoreh getah, petani, pekebun dan rakyat biasa, yang merupakan sebahagian daripada 400,000 pendengar siaran itu di sini.

Statistik menunjukkan siaran Bahasa Dusun berada di carta teratas kerana mempunyai jumlah pendengar yang paling ramai, disusuli Melayu dan Murut.

Perkembangan terbaru itu mendorong Sairin yang juga Wakil Rakyat Liawan, memohon kepada kerajaan melalui Kementerian Penerangan supaya memberi keutamaan kepada stesen itu.

“Dengan sambutan rakyat yang luar biasa seperti ini, tidak ada sebab kenapa kerajaan tidak boleh mempertimbangkan penambahan waktu siaran stesen itu,” kata Sairin dan menambah, stesen itu perlu bersiaran setiap hari sebagai saluran maklumat kepada rakyat.

Menjawab satu soalan, pembantu menteri itu berkata, pihaknnya telah menyediakan tapak seluas 20 ekar untuk menempatkan bangunan stesen Radio Keningau FM.

“Rakyat Keningau benar-benar komited dan memerlukan stesen itu beroperasi setiap hari,” katannya. - Sabah Times

Sunday, August 30, 2009

MERDEKA..MERDEKA...MERDEKA

Atas desakan dua rakan setugas aku, maka blog yang asalnya 'terbiar' ini diaktifkan balik...
Harap juga, kemerdekaan yang ke-52 ini akan memberi lebih banyak kebebasan kepada saya untuk berkongsi sesuatu...

Tuesday, March 3, 2009

Mimpi Ferguson atau tuah United

Ketika ini, anak buah Fergie masih merasai nikmat selaku sang juara hasil kehebatan Ben Foster selain nasib malang Mark Hughes pada Piala Liga di Wembley, pagi Isnin lalu.

Dalam nada girang, Fergie, watak kepada keagungan Red Devils melaungkan keyakinan untuk membolot lima kejuaraan dalam satu musim, impian yang belum pernah diraih mana-mana kelab di dunia termasuk Kedah.

Lupakah Fergie akan kebangkitan Chelsea dalam EPL, kegarangan Barca dan Real Madrid di pentas Champions League dan kejutan kelab kerdil di lapangan Piala FA.

Atau Fergie mula mengumpul koleksi buku percaturannya untuk meninggalkan Old Trafford hujung musim ini, pemergian yang akan dikenang anak cucu aku yang mungkin menjadi fanatik Red Devils 20 tahun lagi.

Permulaan sebuah empayar

Ini alternatif aku untuk kongsi cerita-cerita bola dari pentas tempatan ke arena antarabangsa. Perjuangan ini baru tapi boleh dijadikan pengetahuan bagi mereka yang berminat. Selamat

Selamat

Masuk padang jangan lupa pakai kasut bola.
Kurang bakat jangan malu tendang bola.
Minat punya pasal, kita boleh kongsi bola.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...