Friday, June 25, 2010

Cerita Si Jebat dan Kasturi

TIDAK semua orang dapat rasakan apa yang pernah kami lalui
sebagai Jebat dan Kasturi di zaman moden.


INI cerita bukan cerita aku. Tapi cerita tentang seorang kawan yang dekat dengan aku. Kawan yang selalu berkongsi kisah suka dan duka. Tidak kira siang ataupun malam. Di kereta mahupun di rumah. Semuanya dikongsi.

Pendek kata, cerita ini adalah cerita tentang pengalaman.Pengalaman aku dengan kawan aku.

Kisahnya bermula pada 2 Ogos 2004, di sebuah sudut pejabat yang masih segar dengan bau-bau warna dan perabot barunya. Seorang dari Borneo dan seorang dari Utara. Dalam bahasa pasar, seorang mamat Keningau, dan seorang lagi mamat Taiping.

"Abg bawa kereta ke, nanti boleh tumpangkan ke ke LRT Chan Sow Lin", itu permintaan pertama aku pada kawan aku. (ingat ya...ini adalah benda pertama yang aku minta tolong dari dia).

Dengan bahasa rasminya, kawan aku menjawab, "ok, tiada masalah".

Beberapa hari selepas tarikh 2 Ogos 2004, kami ditemukan lagi. Kali ini dalam satu meja iaitu Meja Sukan. Secara kebetulannya pulak, kami duduk bersebelahan. Aku duduk di tepi sekali, kawan aku di tengah dan di sebelahnya adalah Editor Sukan ketika ini.

Orang kata, sukan adalah berpasukan. Maka kami di Meja Sukan mengamalkan semangat berpasukan. Kalau dalam bola sepak, aku dan kawan aku adalah benteng pertahanan yang kental. Dan kalau dalam acara badminton, kami adalah pasangan beregu yang berbahaya.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun. Kami lalui bersama-sama. Di pejabat, kami berhubung sebagai rakan pejabat...Selepas pejabat, kami berhubung sebagai kawan dan di kawasan kediaman, kami adalah jiran.

Segala masalah dikongsi bersama. Dia pernah pinjam duit aku dan begitu juga aku. Dia pernah tumpang kereta aku dan begitu juga dengan aku. Dia juga pernah tumpang motor aku, tapi aku tidak pernah tengok dia bawa motor.

Kami juga pernah duduk sehotel. Kami pernah tinggal sebilik dan kami pernah tidur bersebelahan. Orang di pejabat kata, kami ini geng keras. Seorang sebagai fidder (pengumpan), sementara seorang lagi sebagai killer (pembunuh).

Bagaimanapun, pada 1 Januari 2010, iaitu selepas lebih 5 tahun berkerja bersama, kami dipisahkan. Aku membawa diri ke Timur sementara dia terus berada di Tembok Besar. Namun, itu bukanlah pemisah, kerana walaupun kami berlainan kelab, namun kami tetap mewakili pasukan kebangsaan yang sama.

Akan tetapi, sejak dua tiga bulan ini, pemberontakan telah berlaku. Ada kawan yang menggelarnya pemberontakan Si Jebat. Ada juga yang menggelarnya Pejuangan Si Seladang.

"Perjuangan aku sudah bermula, dan aku tidak sesekali akan mengalah. Aku akan bongkar semuanya sehingga ke lubang cacing." katanya penuh semangat.

Aku tidak banyak membantah, malah boleh dianggap sebagai 'tink tank' kepada perjuangan si Jebat ini. Maknanya, aku adalah Kasturi.

Kami merencana percaturan dengan segala bentuk usaha. Dari sekecil-kecil isu hinggalah isu antarabangsa. Dari cerita di kedai E, sampailah ke jalan Brickfield. Perjuangan ini tetap berjalan.

Namun, sehingga kini aku masih menanti. Menanti adakah perjuangan ini akan berjaya. Bukan apa, di atas kertas, memang misi kami sukar kerana kami hanyalah golongan bawahan. Golongan kerdil yang bersenjatakan keris dan tembok untuk menentang kuasa nuklear. Semuanya demi keadilan.

Keadilan kami bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk semua. Dan misi kami bukan misi peribadi, tetapi misi semua.

Akan tetapi, andainya aku gugur sebelum perjuangan ini berjaya, maka aku hanya boleh tinggalkan pesanan ini buat kawan aku...

"Hang fikirkan yang terbaik untuk diri hang kerana kemenangan akan tetap bersama orang yang benar."


LELAKI SABAH : Suka melihat perubahan yang dilakukan oleh manusia-manusia kerdil yang mempunyai perjuangan yang besar.

Thursday, June 24, 2010

Siapalah aku tanpa Lakawa

Naufal Zafran Bin Mustapa Bin Lakawa Bin LasaHabu


30 tahun lalu di sebuah pelusuk kampung di kawasan Pensiangan, lahirlah dua bayi lelaki pada waktu dan masa yang sama. Seorang diberikan nama Harris dan seorang lagi Mustapa.

Kata pacik aku, nama itu dipilih kerana pada tahun 1980, ada dua pemimpin hebat di Sabah yang sering bertikam lidah demi perjuangan. Seorang adalah presiden Parti Berjaya, Datuk Harris Salleh yang juga Ketua Menteri Sabah ke-6. Sementara seorang lagi ialah Tun Dato Mustapha Datu Harun iaitu Presiden USNO yang juga Ketua Menteri Sabah ke-3.

Ini bermakna, nama aku dipilih bersempena dengan nama tokoh hebat di Sabah dan mungkin juga aku boleh berbangga kerana memiliki nama itu.

Namun, jauh disudut hati, aku merasakan bahawa nama ayah aku iaitu Lakawa sebenarnya telah memberi kekuatan paling maksimum kepada nama Mustapa. Dengan rasa rendah diri, aku juga merasakan yang aku ni bukanlah siapa-siapa jika hanya dikenali sebagai Mustapa. Tapi, kehidupan dan pengaruh diriku akan diketahui dengan nama Mustapa Lakawa.

Sejak zaman sekolah lagi, kawan-kawan dan guru-guru (terutamanya guru semenanjung) akan mengingati aku dengan nama Lakawa. Begitu juga ketika berada di universiti, pensyarah yang hanya ku temui seminggu sekali masih mampu mengingatiku hanya kerana pengaruh dan kekuatan nama pada Lakawa.

Aku ada satu kisah yang membuktikan kenyataan ini. Ketika berada dalam kelas kuliah Kenegaraan yang dihadiri hampir 300 pelajar, pensyarah dengan lantang bersuara.."Mana Lakawa, adakah dia datang hari ini..."

Memasuki alam perkerjaan, nama Lakawa juga memberi kelebihan kepada aku untuk dikenali. Kalau ada masalah di bahagian sumber manusia ataupun kewangan, aku hanya perlu menyebut nama penuh aku, Mustapa Lakawa untuk memudahkan pegawai mengenali diriku.

Itulah penangan seorang lelaki bernama Lakawa. Bukan hanya menjaga dan membesarkan ku, malah asbab kepada nama ayah yang luar biasa itu, aku mudah dikenali.

Aku masih ingat, ayah bukanlah jenis lelaki yang suka memaksa. Dia tidak pernah memaksa aku untuk belajar, juga tidak pernah memaksa aku untuk mengaji. Apa yang ayah pantau adalah rambut ku.

"Kalau mau jadi pelumba lari, rambut depan mana boleh panjang...mari sini potong sikit," kata ayahku.

Memang dari kecil lagi tabiat aku suka simpan rambut panjang. Orang kata bikin rimas, tapi bagi aku ia cukup selesa.

Ayah bukanlah orang mewah tetapi hanya bekerja sebagai buruh (penebang pokok di hutan) selama hampir 30 tahun sehinggalah kini menjadi seorang pekebun kecil. Sejak dari kecil lagi, ayahku memang selalu tidak berada di sini ibuku dan kami adik beradik. Dunia ayahku adalah dihutan tebal. Aku bangga dengan ayahku.

Ayah juga adalah seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab. Biarpun tidak berpendapatan besar, tapi ayah mampu menjaga beberapa keluarga dan anak-anak. Arwah ibu sendiri adalah isteri ketiga bagi ayahku. Dan walaupun tidak lagi tinggal bersama dua lagi isterinya, ayah tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai suami.

Kini, dengan kudrat yang tidak lagi seberapa, ayah masih mahu meneruskan kerja-kerjanya sebagai pekebun kecil-kecilan. Sekalipun berbumbung matahari, ayah tidak mengeluh. Setiap peluh yang jatuh ke tanah, ayah anggap sebagai satu pencuci dosa demi usahanya mencari rezeki yang halal.

Sesungguhnya, aku cukup berbangga memiliki seorang ayah yang cukup sempurna. Ketinggian ayah diimbangi dengan ketinggian penghormatannya pada orang lain.

Dengan lagak berjalan perlahan-lahan, ayah akan sentiasa mengukir senyuman pada setiap orang yang ditemui. Ada orang memanggil ayah sebagai "bapa mia", ada yang menegur sebagai "pacik Kawa", dan ada yang suka bermanja-manja dengan menyapa "pacik panjang"...

Bagi kami lapan beradik, ayah adalah ayah dan apapun yang orang gelar tentang ayah, ayah tetap kebanggaan kami. Kerana ayah, emak melahirkan kami. Kerana ayah juga, aku sampai ke tahap ini dan kerana ayah, aku boleh menitiskan air mata.

Dengan doa anakmu yang kerdil ini, aku berdoa pada Allah semoga ayah terus diberi kesihatan yang baik dan sentiasa diberi perlindungan.

Selamat Hari Bapa buat Lakawa LasaHabu.....ikhlas dari anakmu Mustapa Lakawa.


LELAKI SABAH: Syurga itu berada di telapak kaki ibu, tetapi perjalanan ke syurga boleh ditemui dengan menjadi seorang anak lelaki, suami, ayah dan pemimpin yang baik. Semoga ayah panjang umur dan diberikan kesihatan yang baik. AMIN


AYAH bukanlah seorang yang garang, tapi kami sentiasa hormati ayah


ADAKAH aku akan mengikut jejak
langkah ayah yang memiliki isteri-isteri?

Monday, June 21, 2010

Kami dan sesuatu (Siri Akhir)

TERIMA kasih Blog4FT dan AirAsia yang merealisasikan
impian menjadi kenyataan



Filem: Hentian ini
Hero: Mus, Zul, Wan
Heroin: Eta, Alida, Waziha
Pelakon pembantu: Naufal, Danish dan Adriana
Lokasi : KK, Kundasang, Ranau
Pengangkutan: Unser Merah


HARI TERAKHIR

TIADA perancangan khas dibuat pada hari terakhir melainkan menghabiskan saki-baki masa yang ada di Sabah sebelum dua keluarga berlepas balik ke Semenanjung Malaysia. Pagi itu juga lebih banyak dihabiskan dengan berehat bersama-sama keluarga sebelum lawatan rasmi ke Pasar Filipin di buat.

7-8 pagi (Sempelang Restoran) : Macam biasa, Sempelang akan menjadi restoran rasmi bagi kami dan pagi itu kami bersarapan di kedai ini. Aku sedikit terkejut kerana Wan dan Zul telah 'mengorder' resepi yang sama seperti sebelum ini iaitu 'soto campur'. Kata Zul, "alang-alang dah sampai sini, makan puas-puaslah"...hahahha

8-12 th (Pasar Filipina) : Sepatutnya kunjungan kami ke tempat ini dibuat pada hari pertama lagi tetapi memandangkan jadual yang terlalu padat, maka kami memilih untuk datang ke pasar Filipin pada hari terakhir.

Seperti biasa, Zul dan keluarganya giat mencari sesuatu untuk dibawa balik ke Semenanjung, sementara Wan pula sibuk mencari baju 'spare' gara-gara baju yang dipakainya telah dirosakkan oleh Adriana.

"Bos, handphone baru bos..boleh dapat murah ni.. spek dan jam tangan pun ada", kata seorang penjual jalanan kepada Zul....Mamat Taiping tu tidak menjawab tetapi hanya menggunakan bahasa isyarat sebagai menolak tawaran penjual tu.

"Kalau spek ngan jam itu boleh terima lah, ini handphone pun siap dijual lagitu..handphone hebat tu, bukan calang-calan," kata Zul ketika memulakan pemanduan untuk kembali ke hotel...

12-1 ptg (Deeleton) : Selepas dua hari Zul memandu unser, aku akhirnya mengambil alih tugasnya. Bukan apa, aku rasa itulah satu cara dan tanda penghormatan aku kepadanya yang bakal kembali ke Semenanjung.

Sebelum ini, aku bukan tak nak bawa, tapi aku saja nak bagi 'feel' dan 'cabaran' kepada mamat Taiping itu untuk sama-sama merasai percutian ini.

2 ptg (Airport) : Aku turut serta ke airport untuk mengiringi kepulangan Zul dan Wan sekeluarga. Isteri dan anakku pula aku singgahkan di rumah kakaknya. Hampir sejam juga akan menemani mereka di airport sebelum aku meminta diri untuk balik ke Keningau.

Tapi, sebelum pemergian tu, aku langsung tidak bersalaman dengan Zul kerana dia mempunyai niat lain.
"Tak payah lah yop," kata aku...
"Alah, bagi kat nopal je..lupa nak bagi tadi," jawabnya.

Sampai ke sudah aku tak amik, tetapi ketika aku mahu bersalaman dengan Wan, mamat Taiping tu sempat datang kepadaku dan memasukkan sesuatu di kocek seluar belakangku. Insiden itu juga mengakhiri peggembaraan singkat kami di Sabah yang penuh dengan segala macam kisah. Mungkin tidak seindah yang digambarkan, tapi sekurang-kurangnya ia adalah satu lagi pengalaman indah yang dicipta bersama sahabat-sahabat. Paling penting, aku, Zul dan Wan saling memahami dan sentiasa berkongsi 'duit' setiap kali kami selesai makan.


ADRIANA keletihan mendaki Gunung Kinabalu


NAUFAL buat perangai sebelum tidur


DANISH dengan gajet hebat pemberian ayahnya

Saturday, June 19, 2010

Kami dan sesuatu (Siri 2)

TIGA keluarga kecil di kaki Gunung Kinabalu


Filem: Hentian ini
Hero: Mus, Zul, Wan
Heroin: Eta, Alida, Waziha
Pelakon pembantu: Naufal, Danish dan Adriana
Lokasi : KK, Kundasang, Ranau
Pengangkutan: Unser Merah


306, 308 dan 309 adalah nombor bilik kami. Sebaris je semuanya dan terletak di tingkat 3. Pagi 6 Jun 2010, dalam keadaan masih mengantuk, aku dapat sms daripada penghuni bilik 308 (Zul) yang berbunyi.."Jam brapa kita nak gerak"....

Hakikatnya, setiap pergerakkan kami akan dimulakan oleh Zul sebelum diperhalusi oleh aku dan seterusnya di sokong oleh Wan. Maka pagi itu, kami bergerak awal ke pantai Tanjung Aru untuk menebus kekecewaan pada petang sebelumnya. Aktivitinya sudah pasti mandi laut...


HARI KEDUA

6.30-8 pagi (Pantai Tanjung Aru) : Ketibaan kami di Tanjung Aru sedikit misteri kerana tiada satupun kelibat manusia di pantai itu. Malah, pekerja paking pun belum lagi datang untuk berkerja. Ini bermakna, kami adalah orang pertama yang tiba di pantai itu dan mungkin juga menjadi pengunjung paling 'bersemangat' sejak kewujudan Tanjung Aru.

Anak Zul, Danish siap berpakaian renang berwarna pink kehitam-hitaman, sementara Naufal pakai baju biasa. Adriana pula tampil memukau dengan imej dan wataknya sebagai seorang gadis. Hampir satu jam berjuang di pesisir pantai, kami pun bergerak balik ke Deeleton.

8-9 pagi (Sempelang Restoran) : Zul dan Wan mencuba 'soto campur' dan aku hanya menikmati soto ayam. Pasangan masing-masing macam biasa sibuk melayan anak kecil dengan hidangan biasa iaitu mee goreng dan nasi goreng. Perbincangan di meja restoran ini adalah kepada misi utama kami, iaitu 'menawan' Gunung Kinabalu.

9 pagi (Deeleton) : Sebelum bergerak, aku sempat minta maaf pada Zul dan Wan. Aku kata kat mereka.."Aku ni nama je orang sabah, tapi jalan kat sini langsung aku tak tau"..

Maka perjalanan kami pagi itu mendapat bantuan daripada rakan lamaku yang hanya memberi petunjuk menerusi panggilan telefon. Zul seperti biasa, akan mendengar setiap arahan yang aku berikan. Bandar Tuaran menjadi 'point' kepada perjalanan kami ke Kundasang.

10 pagi (Tuaran) : Ketika melalui jalan ini dan terlihat papan tanda "Ranau"...Zul mula bersuara dengan beberapa kali menyebut nama Azira AF..katanya, "Aku datang ke sini kerana Adira"....Namun, impian itu tidak berpanjangan apabila kehebatan pemanduan Zul ke atas Unser Merah mula teruji.

10.30 pagi (Kaki bukit Kundasang) : Dengan menggunakan kereta besar yang menggunakan kuasa Auto dan dipenuhi dengan sembilan penumpang, memang ia satu cabaran kepada Zul. Tapi dengan ego, mamat Taiping ni selamber meneruskan perjalanannya dengan menikmati cerita-cerita panas dan pemandangan indah.

11.30 pagi (Taman Negara Kinabalu) : Selepas mendaki hampir satu jam, akhirnya kami sampai di Taman Negara Kinabalu, iaitu taman yang menempatkan Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara. Cuma sedikit malang bagi kami apabila kelibat Kinabalu tidak kelihatan kerana diseliputi oleh kabus tebal. Namun, semangat Kinabalu tetap bersama kami apabila Aku, Zul dan Wan sedia menyahut cabaran untuk 'bergambar' di pintu pendakian.

Sebelum itu, insiden mencari paking di Pondok Timpohon sedikit menimbulkan kekecohan apabila kebanyakkan pemandu mahu menunjukkan kemahiran masing-masing termasuklah Zul. Akibatnya, punggung van seorang pemandu pelancong terlanggar tembok semantar Unser Merah gagah mencari paking.

12-1 petang (Mesilau) : Kami meneruskan perjalanan ke sebuah tempat misteri bernama Mesilau. Percayalah, perjalanan ke lokasi ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kemahiran, kesabaran dan sedikit ketenangan untuk melalui kawasan berbukit. Sedang asyik menuju ke Mesilau, Wan mula membuka cerita dengan berkata.."Aku dapat sms daripada...."

Sms itu menjadi topik hangat kami sepanjang perjalanan ke Mesilau sehingga terlupa kesukaran yang dihadapi. Sepanjang perjalanan, kami sempat mencuci mata di Lembu Tenusu Mesilau Dairy Farm. Persoalannya..apa yang ada di Mesilau, "Tepuk dada tanya selera kerana Zul sendiri tidak tahu apa yang ada di sana..Misteri

1-3 petang (Poring) : Dari Mesilau, kami menuju ke Poring iaitu lokasi perkelahan yang dikatakan mempunyai air panas semulajadi. Perjalanan ke Poring tidaklah sukar sangat tetapi sangat jauh bagi sesetengah orang. Sampai ke sana, kami disajikan oleh wanita-wanita yang berpakaian separuh bogel sehingga menyebabkan naluri kami tergugat.

Maka, untuk menghilangkan kepenatan, maka aku, Wan dan Zul sempat merendam kaki di kolam air panas. Setidak-tidaknya, dapat juga kami merasa air panas Poring.

3-4 petang (Ranau) : Ada adegan yang tidak ingin kita lihat di bandar ini. Ketika kami sedang mencari tempat untuk makan petang, pemandu@Zul telah membuat onar dengan melakukan pusingan 360 jam di 'roundabot' Ranau. Satu tindakan yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana orang Ranau. "hahahahaha....baru orang Ranau tahu siapa aku, kalau Adira AF tahu, mesti dia bangga"...kata Zul dengan bongkaknya.

Selepas meninjau beberapa restoran, akhirnya kami memilih untuk makan di sebuah kedai mamak sederhana. Peliknya, resepi kami semua sama iaitu Nasi Goreng Ayam. Memandangkan semua kelaparan, maka hidangan itu habis dalam tempoh kurang setengah jam.

5 petang (Taman Negara) : Gagal melihat Kinabalu pada sebelah paginya, maka kami memasuki semula Taman Negara untuk melihat Kinabalu pada sebelah petang. Malang lagi apabila Kinabalu masih tidak muncul. Tapi bagi aku dan Zul, kelibat sepasang lelaki Cina dan wanita Cina serta anak perempuannya yang bergambar di dataran memberi sedikit kecerian. Begitu juga dengan 'ranjer wanita' berpakaian hijau yang menarik perhatian kami.

7 malam (Stesen Petronas Tuaran) : Sepanjang perjalanan balik, kami sempat menikmati kabus di waktu petang, iaitu fenomena yang dianggap Zul sebagai indah. Kami berhenti seketika di stesen hanya untuk mengisi minyak sebanyak RM15. Kata Zul, "Tak ya membazir isi banyak-banyak"...Katanya lagi, "memang kat Sabah pekerja pam wanitanya mesra-mesra ke"...

8 malam (Deeleton) : Sehari berjalan, maka anak dan bini kami pun keletihan. Tapi bagi kami, perjalanan sebenar masih belum selesai. Semuanya bermula dengan pampers Naufal.

9 malam (Centre Point) : Malam ini aku jadi jurutera. Wan jadi kontraktor dan Zul mula jual minyak dengan Bacolod City dan Manilanya. Tempoh yang diberikan hanya 60 minit. "Aku lebih konfident kalau disini banding di sana..." kata yang keluar daripada mulut seorang rakan kami...

10 malam (Pasar Malam) : Aku memang dah plan nak bawa dorang makan ikan bakar di Pasar Malam. Kami menempah satu meja dan aku, Wan dan Zul pun memilih hidangan. Satu ekor ikan jenahak besar, beberapa ekor sotong dan beberapa ekor udang. Semuanya di bakar termasuk kepak ayam.

Cara makannya juga unik. Kami hanya disediakan beberapa biji cili lada, garam, beberapa ulas limau dan kicap. Semuanya digaulkan dan menjadi perencah kepada hidangan berbakar tadi. Hampir sejam makan, kami tersenyum puas kerana hajat makan ikan bakar tercapai.

12 malam (Kota Kinabalu) : Memandangkan ini malam terakhir kami, maka aku sempat bawa dua rakan-rakan ku berserta keluarga masing-masing jalan-jalan di bandar Kota Kinabalu. Menuju ke 'Putrajaya Sabah', melalui UMS dan u-turn di One Borneo sebelum kembali ke Deeleton.

1 malam (Sempelang) : Selepas diasak dengan pujukan, Wan gagal mendapat pelepasan daripada majikannya untuk menyertai aku dan Zul. Pada asalnya, program yang dirancang cukup berbahaya, tetapi selepas mengambil kira faktor korum yang tak mencukupi selain cuaca hujan, maka kami berdua hanya lepak di Sempelang dengan ditemani oleh Alex Raja Lawak...

(Terkejut tengok orang jual handset di Pasar Filipin dalam Siri 3).


NAUFAL bukan anak laut


DANISH teruja yang teramat sangat


ADRIANA stedy tak pakai baju


KELUARGA Wan


KELUARGA Zul


KELUARGA Aku


SEMANGAT je tidak mencukupi


SUSU hanya diperah pukul 3 petang @ Mesilau Dairy Farm


MESILAU yang penuh misteri


RENDAM kaki @ Poring


INILAH tempat yang dirasakan cukup mewah untuk makan ikan bakar




Wednesday, June 16, 2010

Kami dan sesuatu (Siri 1)

Memori tercipta di Kota Kinabalu


Filem: Hentian ini
Hero: Mus, Zul, Wan
Heroin: Eta, Alida, Waziha
Pelakon pembantu: Naufal, Danish dan Adriana
Lokasi : KK, Kundasang, Ranau
Pengangkutan: Unser Merah

"Hang kat mana, aku dah sampai ni..kita check in masing-masing lah,"....
Sms daripada Zul kepada aku pada pagi 5hb Jun 2010 itu sebagai tanda bermulanya pengembaraan kami ke Sabah. Pengembaraan yang disertai oleh tiga keluarga kecil yang diketuai oleh aku, Zul dan Wan.

Pengembaraan itu adalah sesuatu yang dirancang selepas kami bertiga masing-masing dihadiahkan tiket percuma oleh AirAsia. Tempoh pengembaraan kami hanyalah tiga hari dua malam, namun jadual padat yang telah dirancang oleh aku sebelum disusun oleh Zul telah menjadikan ia pengembaraan yang luar biasa.

HARI PERTAMA

7-9 pagi (LCCT) : Zul dan keluarganya seperti biasa tiba lebih awal di LCCT dengan hanya berbekalkan satu beg besar. 20 minit kemudian ketibaan aku bersama Eta dan Naufal. 30 minit kemudian, Wan muncul dengan muka sedikit marah dan nampak kelam kabut membawa dua beg tariknya untuk berbaris sebelum check in. Sempat tanya wan kenapa masam-masam, dan ini jawapannya; "Mamat teksi tu buat hal..selambe je datang lambat"....

9-9.30 pagi (Balai Berlepas) : Segala urusan check in sudah selesai dan bermulalah 'perbahasan' antara aku, Zul dan Wan dengan disaksikan oleh Alida dan Waziha. Eta plak sibuk melayan Naufal. Intipati perbahasan kami sudah pastinya pasal "SUKAN dan MEJA SUKAN"....

9.30-12.30 th (Dalam Kapal) : Aku sekeluarga duduk betul-betul di hadapan keluarga Zul di barisan belakang sementara Wan sekeluarga diberikan sedikit penghormatan untuk duduk di barisan hadapan. Suasana dalam kapal cukup tenang dan semua berjalan lancar.

12.30 th (Terminal 2) : Gara-gara masalah komunikasi, petugas imigresen 'mempermainkan' aku hanya kerana aku jarang balik Sabah. Rupa-rupanya, petugas tu marah sebab aku cakap 'sleng semenanjung"....hahahaha

1 th (Terminal 2) : Zul menerima sebuah kunci Unser berwarna merah dan sebulat suara telah dipilih sebagai driver tetap sepanjang pengembaraan ni...Kiranya mamat Taiping ni cipta sejarah apabila menjadi warga Semenanjung Malaysia yang pertama memandu Unser di bumi Sabah pada kunjungan sulung..Macam biasa, aku jalankan tugas aku sebagai jurupandu dengan Eta, Alida, Danish dan Naufal di baris kedua diikuti keluarga Wan di belakang sekali.

Dari Terminal, kami terus menuju ke Deeleton Hotel, iaitu penginapan rasmi kepada pengembaraan kami. Dari luar, nampak usang, tapi sekali masuk, fuhhh..macam hotel 5 bintang. Seperti kata Zul, bilik hotel ni lebih baik dari yang kat Melaka....hahahahaha

Tidak sampai 5 minit kami masuk bilik, Zul mula bertegas dengan jadualnya. Apa lagi, kami 3 sekeluarga terus menuju ke Centre Point yang terletak betul-betul di hadapan hotel untuk makan tengah hari.

1.30 th (Centre Point) : Aku, Zul dan Waziha order ABC spesial sementara yang lain hanya minum minuman jus dan air manis. Makanan yang kami nikmati pula kebanyakkannya mengikut citarasa masing-masing. Namun, sedang asyik menikmati santapan, keluarga Zul dan Wan dikejutkan dengan kehadiran 'Sup Kosong'...Aku bagitau mereka, kat Sabah ni, makan apa sekalipun termasuklah mee goreng, wajib ada Sup Kosong....

2-4 ptg (Deeleton): Duduk hotel masing-masing sambil kemaskan barang untuk program seterusnya iaitu mandi laut. Tunggu punya tunggu, tetiba hujan lebat pulak. Tapi atas dasar kesepakatan, maka kami redahi hujan menuju ke Tanjung Aru.

5-7 ptg (Tanjung Aru): Kehadiran kami di pantai Tanjung Aru dijemput dengan hujan rahmat daripada Ilahi. Mungkin ada hikmahnya kerana kalau tidak hujan, mungkin saja kami gagal untuk menikmati sayap@kepak bakar buatan Sabah. Macam biasa, Zul dan Wan sentiasa mencari modal untuk memerli aku dan modal mereka hari itu adalah bekas polistrin yang digunakan untuk meletakan sayap bakar..."memang kat sabah pakai polistrin ke...hahahah", gelak mamat taiping. Lepas makan, kami pun balik bilik masing-masing untuk mandi dan solat.

9-12 mlm (Jesselton Point): Aku saja membawa rombongan ini untuk menikmati suasana ceria di Jesselton Point, iaitu salah satu tempat makan dan riadah yang sedikit eksklusif di bandar raya Kota Kinabalu. Kami makan beramai-ramai dengan hidangan yang berbeza-beza.

Bagaimanapun, topik perbicaraan adalah tentang "ISU KERJA" kerana itu sahaja perkara yang hebat untuk diceritakan. Selain itu, isu yang dibincangkan ialah bagaimana Zul dengan sombongnya 'memakingkan' unser merahnya sehingga ke bahu kedai..

1 mlm (Deeleton): Memandangkan semua keletihan selepas melalui penerbangan selama dua jam setengah, maka malam itu kami masing-masing berehat di bilik sambil bermain-main ngan anak dan bermanja-manja dengan isteri....(bukan apa, sebab keesokan harinya kami akan melalui satu pengembaraan yang hebat iaitu menawan puncak Kinabalu. Ceritanya dalam Siri 2).

Naufal yang sangat complicated


Danish sentiasa cool macam ayahnya


Adriana ceria tidak kira masa


Zul seperti seorang kontraktor bersama Unser Merahnya


Rezeki pertama kami di Centre Point


Sambil makan kepak@sayap ayam di Tanjung Aru, Zul dan Wan tetap memantau perjalanan unit sukan di Kuala Lumpur


Kesederhaan membuat kami sentiasa puas dengan apa yang
dihidangkan di Jesselton Point

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...