Saturday, August 27, 2011

Bila Tiba Hari Raya


HUJAN rintik-rintik malam itu. Orang lain bersujud dengan badan yang suci, sedangkan aku berlari-lari mengejar duniawi. Orang kata, aku sudah lupa. Sudah lupa apa itu ibadah. Sudah lupa apa makna agama.

Aku juga sedar, Ramadan hanya sekali dalam setahun. Lalu, aku begitu takut untuk tinggalkan dosa di bulan ini. Takut aku gagal mendapatkan sesuatu dari bulan ini.

Aku hanya mampu menahan lapar dan dahaga. Dalamanku makin kotor. Permainanku makin menjadi-jadi. Aku sesekali sujud, meminta agar sezarah ibadah yang aku lakukan di bulan ini diterima Allah.

Aku pasti rindukan Ramadan. Moga sahaja Allah pertemukan aku dengan Ramadan yang lain. Dengan harapan, detik itu aku menjadi manusia sebenar. Yang tahu apa itu ibadah, apa itu agama.

Syawal. Hadir dengan cara berbeza. Di situlah detik kegembiraan seorang manusia. Di maafkan segala dosa sesama manusia. Di situ juga wujudkan keinsafan. Betapa perlunya ikatan kasih sayang untuk meraikan Syawal.

Aku mahu habiskan masa bersama mereka. Cukuplah dunia yang aku kejar selama ini. Biarlah aku rebahkan semua tenagaku untuk mereka berdua. Isteri dan Anakku.

Kesempurnaan aku bukan pada harta. Bukan juga pada kebendaan. Kesempurnaan aku adalah bertiga. Aku, dia dan dia. Biarlah kami bersama selamanya. Bergembira di hari mulia dengan cara kami. Doakan kebahagian itu akan kekal.

Seribu kemaafan dari aku dan keluargaku. Buat semua umat bernama manusia. Yang zahir hinggalah yang batin. Ikhlaskan setiap pemberian. Moga Allah merahmati semua manusia di dunia ini. Salam Aidilfitri.

Gembira dan menangis adalah kehidupan kami.


LELAKI SABAH: Kemaafan itu lebih indah dari segalanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...