Friday, October 30, 2009

Labuan: Duniaku, Syurgaku, Wilayahku



Labuan pernah dikenali dengan nama Pulau Victoria dan Pulau Maeda

SENJA kian berlabuh dan kelihatan sekumpulan anak-anak kecil terpaku melihat keindahan mentari ciptaan Tuhan. Sambil menanti kepulangan sang nelayan, si anak kecil pun berlari-lari anak merentasi titian kayu menuju ke Kampung Air.

Di sudut lain pula, sekumpulan golongan cerdik pandai terus memeras otak di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan. Tidak mengira waktu dan situasi, golongan ini tetap nekad dengan matlamat mereka mencari segulung ijazah demi masa depan yang cerah.

Tidak jauh dari syurga ilmu itu, kelihatan kelompok pelabur asing sedang sibuk berurusniaga. Tujuan mereka adalah mencari keuntungan hasil daripada keistimewaan yang dimiliki Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa (IOFC) atau kini dikenali dengan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC).

Semuanya berlaku pada detik yang sama. Dan biarpun berbeza cara, si anak kecil, golongan cerdik pandai dan pelabur asing ini tetap berpijak di tanah yang sama dan berteduh di langit yang sama.

Dunia mereka hanya satu dan wilayah mereka juga satu. Mereka bersatu atas nama Wilayah Persekutuan Labuan.

Kampung Air miliki keistimewaan tersendiri.


Universiti Malaysia Sabah Kampung Antarabangsa Labuan menjadi tumpuan golongan cerdik pandai mencari ilmu.


Apa yang pasti, pulau indah berkeluasan 98 kilometer persegi ini menyimpan 1001 sejarah. Sejarah yang mungkin tidak terfikir oleh generasi masa kini.

Di sinilah keringat daripada pelbagai bangsa mengalir. Siapa sangka, Labuan yang didiami oleh majoriti orang Melayu dari suku kaum Kedayan dan Brunei ini telah diktiraf sebagai wilayah persekutuan kedua di Malaysia selepas Kuala Lumpur pada 1 Februari 1984.

Sejak detik itu, Labuan melalui transformasi yang cukup ketara. Dari sebuah pulau yang tidak berpenghuni yang dijadikan tapak operasi menentang lanun pada 1846, Labuan kini boleh bermegah dengan status sebagai destinasi perdagangan terhebat di rantau ini menerusi pengiktirafannya sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa pada Oktober 1990.

Mengikut sejarah, Labuan mempunyai pelabuhan yang dalam dan besar, yang merupakan punca asal namanya iaitu "Pelabuhan" atau "Labuhan".

Ia pada asalnya adalah sebahagian daripada jajahan Kesultanan Brunei, sebelum diserahkan kepada British pada 1846 untuk menjadi Tanah Jajahan Mahkota British. Ketika itu, Labuan dikenali dengan nama Pulau Victoria.

Kemudiannya pada 1890, ia digabungkan dengan Borneo Utara. Namun, pada 1 Januari 1906, Labuan telah diserahkan kembali kepada British dan menjadi sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat pada 30 Oktober 1906 bersama-sama Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

Pada Disember 1941 hingga Jun 1945, Labuan telah diperintah oleh Jepun. Labuan telah ditukar namanya menjadi Pulau Maeda sempena nama Komander tentera Jepun di Borneo ketika itu, Marquis Toshinari Maeda.

Selepas pengunduran Jepun dan pentadbiran tentera British tamat, Labuan digabungkan ke dalam Borneo Utara pada 1946. Seterusnya pada 1963, ia bersama-sama Sabah bergabung ke dalam Malaysia sebelum menjadi Wilayah Persekutuan Labuan pada 1 Februari 1984.

Perjalanan dan perjuangan anak tempatan ke atas pulau ini cukup panjang dan kini ia telah membuahkan hasilnya. Tiada lagi penjajahan dan tiada lagi peperangan.

Apa yang tinggal kini adalah peninggalan sejarah silam seperti Taman Damai. Di lokasi inilah menyaksikan Jepun menyerah kalah kepada British. Dan disini jugalah kubur askar asing yang terkorban semasa berperang dengan tentera Jepun disemadikan.

Taman Damai menyimpan 1001 sejarah Labuan.


Pesisir pantai Labuan yang indah juga telah melalui kemodenan. Jika dahulunya, ia dibanjiri dengan bot-bot nelayan, kini Labuan terkenal dengan aktiviti sukan laut peringkat antarabangsa. Pelbagai aktiviti diperkenalkan seperti pertandingan memancing laut dalam, jet ski dan kayak mengelilingi pulau.

Semuanya cukup indah untuk diceritakan. Keunikkan budaya masyarakatnya sehinggalah kepada keaslian bahasa pertuturannya. Di sebalik kemodenan yang ada, masih tersimpan juga rasa rendah diri masyarakatnya sebagai masyarakat berbudaya.

Maka, tidak hairanlah mengapa si anak-anak kecil, golongan cerdik pandai dan para pelabur asing cukup gembira menamatkan hari yang penuh bermakna di pulau ini. Kerana bagi mereka, Labuan adalah duniaku, syurgaku dan wilayahku.



4 comments:

  1. Hi there,

    Congratulations on your win for BlogForFT :)

    Regards,
    David
    Malaysia Asia

    ReplyDelete
  2. congrats on ur winning =)

    ReplyDelete
  3. Hebat juga blog kau mus. Moga cerita-cerita mus tidak berakhir di lokap. selamat berjuang.

    ReplyDelete
  4. hai,saya dapat UMSKAL untuk tahun ni..
    UMSKAL ok tak? best tak?...
    btw, i'm from semenanjung.. =)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...