Monday, August 30, 2010

Bersatu di bumi Terengganu

ISTERIKU sempat melihat 'kampung kelahiran' ayahnya, Kampung Pak Sabah.

DUA minggu pertama pada bulan Ramadan ini aku banyak habiskan bersama rakan-rakan. Berbuka bersama dan bersahur bersama. Seolah-olah aku tidak mempunyai sesiapa lagi di dunia ini.

Hakikatnya, aku sudah mempunyai isteri dan keluarga. Aku ada kakak dan adik untuk temankan aku. Namun, demi mencari rezeki, aku terpaksa membiarkan diriku bersendirian. Menghabiskan masa-masa yang ada bersama rakan seperjuangan.

Begitupun, kehadiran Nuzul Quran baru-baru ini sedikit mengubah landskap kehidupan aku di Terengganu. Aku berbuka berteman, bersahur berteman dan tidur pun berteman. Aku habiskan masa yang ada bersama seseorang di Terengganu. Seseorang yang halal bagi aku sebagai lelaki.

Isteriku, Noranita Awang secara tiba-tiba mahu menghabiskan masa cutinya selama tiga hari untuk bersamaku di Terengganu. Alasannya, mahu menemankan aku selain merasai nasi dagang ciptaan Terengganu. Paling penting, Pasar Payang telah menantinya.

Kehadirannya di sini pada ketika aku sedang bekerja. Maknanya, dia tidak bebas untuk bergerak. Perlu mengikut setiap langkah aku, perlu menyertai setiap tugasan aku dan perlu menunggu keputusan daripada aku.

Tapi, dia tetap tenang. Bahagia melihat suaminya bekerja untuk sesuap nasi. Dia sedikit keboringan, tetapi disembunyikan demi suaminya. Sampai waktunya, kami sama-sama 'berselerakan' di Bazar Ramadan.

Memang indah, dapat melihat juadah dan memilih makanan untuk berbuka. Tiga hari aku lalui bersamanya. Umpama mimpi yang diberikan Tuhan kepada aku pada bulan Ramadan ini.

Kini, aku kembali bersendirian. Kembali kepada landskap lama. Berbuka bersama rakan-rakan dan bersahur..mungkin bersendirian. Isteriku kembali ke Bangi, kembali melepaskan rindunya pada anak lelaki kami yang ditinggalkan buat seketika.

Apa yang ada bersama aku ketika ini adalah memori. Memori berbuka bersama sang isteri. Dan sampai bila-bila pun, aku akan ingat betapa nikmatnya dapat berbuka bersama orang tersayang....biarpun hanya berbekalkan air suam.



SEHARI bersama Mustapa Lakawa.

LELAKI SABAH: Kita akan rindukan seseorang apabila dia sudah tiada, tetapi kita sering leka ketika dia berada di depan mata.

Thursday, August 19, 2010

Derita Anak Jalanan

MEREKA bukan anak nakal, tapi mereka adalah
anak yang tahu nilai sesuap nasi.


AKU tidak mahu menulis banyak kali ini. Aku hanya mahu memaparkan gambar-gambar derita seorang manusia. Derita seorang anak kecil yang tidak mempunyai keluarga dan derita manusia-manusia yang sering menagih simpati.

Aku rasa, kita semua ada hati. Ada perasaan dan ada naluri. Bagi aku, aku boleh katakan yang aku adalah manusia yang mudah tersentuh. Mudah tersentuh dan mudah kasihan pada sesuatu yang malang. Anak-anak yatim, orang-orang tua mahupun keluarga susah.

Aku sendiri tidak pasti, mengapa aku begitu dekat dengan mereka. Iya, mungkin kerana aku adalah anak yang telah kehilangan ibu. Atau mungkin juga sebab aku dibesarkan dalam hidupan susah.

Apapun, aku tetap bersyukur kerana aku diberi sedikit kemudahan berbanding mereka. Aku tidak perlu meminta-minta. Tidak perlu menagih simpati. Aku hanya perlu gunakan kudrat dan akal aku untuk mencari rezeki.

Namun, jauh di sudut hati, aku juga sentiasa berdoa agar anak-anak kecil dan keluarga-keluarga malang ini akan mendapat kemudahan suatu hari nanti. Moga mereka dapat merasai nikmat kehidupan dunia sebelum mata tertutup buat selama-lamanya.









KEHADIRAN mereka melengkapkan 'kasta-kasta' gila ciptaan manusia BONGKAK.

LELAKI SABAH: Poket mereka memang kosong, tapi hati mereka dipenuhi nilai kemanusiaan yang cukup tinggi. Nilai yang tidak ada pada hati-hati orang berada.

Thursday, August 12, 2010

Puasa Cara Lelaki Sabah

INDAHNYA hidup sebagai umat Islam - Gambar Hiasan

AKU kehilangan sesuatu di bulan Ramadan ini. Kehilangan yang memang telah aku jangkakan sejak kali pertama tiba di Terengganu.

Malam 1 Ramadan aku duduk berseorangan di meja pejabat. Aku lihat kelibat kawan-kawan yang bersilih ganti membuka pintu. Mereka ingin balik untuk bersama keluarga. Bersembahyang terawih bersama, bersahur bersama dan berbuka bersama.

Aku seperti tahun-tahun sebelumnya terus kekal di sini. Dengan dunia ku yang memang sudah sebati. Aku pernah berpuasa 30 hari tanpa keluarga. Tanpa ibu bapa dan adik beradik. Aku juga pernah berpuasa tanpa isteri dan anak.

Namun, kesunyian tetap wujud. Suara azan menandakan waktu berbuka cukup indah didengari. Aku tersenyum setiap kali Ramadan menjelma. Aku perlu kuatkan hati untuk menahan daripada lapar dan dahaga. Kuatkan iman untuk menahan daripada melakukan perkara-perkara tak baik. Dan aku juga perlu kuatkan mental untuk melalui satu lagi bulan Ramadan yang cukup unik.

Ini adalah Ramadan pertama aku di Terengganu. Terawih pertama aku di Terengganu dan sahur pertama aku di Terengganu. Dan aku berharap dapat melengkapkan Ramadan istimewa aku di negeri ini.

Syukur juga aku panjatkan kerana golongan perantau seperti aku masih ada di negeri ini. Masih boleh berkongsi kesunyian ketika berbuka dan bersahur. Boleh bergelak dan kongsi pengalaman.

Salam Ramadan Al Mubarak buat semua..

LELAKI SABAH: Aku jarang mendapat peluang untuk berterawih pada malam 1 Ramadan dan kali ini aku berpeluang melakukannya. Alhamdulillah.

Lelaki Sabah bersama rakan sepejabat ketika berbuka puasa pada 1 Ramadan

Sunday, August 1, 2010

Naufal Sudah Mengerti

NAUFAL ZAFRAN

BEBERAPA hari sebelum Aidilfitri menjelma pada September ini, Naufal Zafran akan menjangkau usia 3 tahun. Usia yang bagi aku sudah cukup untuk menilai kemahuan dan naluri anak kecil ini.

Aku suka perhatikan gerak geri Naufal pada setiap kali kami bersama. Aku lihat keinginannya dan aku ikuti kemahuannya. Aku juga memberi kebebasan kepadanya untuk menentukan apa yang ada di fikirannya.

Naufal cukup ringkas. Cerewet tapi mudah dipujuk. Pada ketika aku masih dibuai mimpi, Naufal akan baring disebelahku. Dia melihat pergerakan mataku. Menanti-nanti bilakah masanya aku akan membuka mata. Aku tahu, dia cukup rindukan aku.

Peluang bersamanya aku gunakan sebaik mungkin. Aku uruskan segala kehidupannya dan aku menjadi teman kepadanya. Aku gembira dapat 'bersembang' dengan Naufal. Cerita pasal pengalaman aku bersamanya.

Kami akan makan bersama, mandi bersama dan lebih penting boleh berjalan bersama. Tidak seperti dahulu, setiap kali cuti, aku akan kebosanan. Kini, aku sudah akan kawan. Kawan yang cukup kerdil tetapi amat besar maknanya kepadaku.

Aku cukup senang dengan kehidupan sekarang. Ada Naufal yang suka meminta-minta. Suka mengada-ngada dan suka cari pasal. Aku suka melihat cara hidup Naufal kerana aku tahu, aku juga sepertinya suatu ketika dahulu.

Apa yang aku harapkan agar Naufal dapat memahami kehidupan ini dan belajar daripada apa yang telah aku lalui sebagai seorang anak suatu ketika dahulu.

AKU SAYANG NAUFAL....

LELAKI SABAH: Aku pernah rasai kesusahan sebagai anak dan aku juga pernah merasai kekurangan sebagai anak. Itulah yang membeza aku dengan Naufal.



DETIK terbaik dalam hidup aku adalah ketika bersama anak kecil ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...