Tiada lagi derai tawamu
Hanya kesepian
Yang kian mencengkam
Jiwaku
Malam-malam dingin membeku
Hari-hari kian kelabu
Dalam doa kudus
Ku sebut nama mu
Cinta ku
Oh sayang
Damailah Kau di sana
Di sisi Tuhan yang Esa
Sangat indah apabila dapat berjalan bersama emak. Berkongsi cerita dan pengalaman antara seorang emak dan anak. Gambar ini adalah gambar terakhir aku bersama emak pada Disember 2005.
HARI itu pada tanggal 19 Julai 2006, semuanya berjalan seperti biasa. Tiada apa yang pelik dalam kehidupan aku. Aku pergi ke pejabat dengan gembira dan aku balik juga dengan gembira.
Pada malamnya sekitar jam 3 pagi, aku cuba lelapkan mata. Memikirkan apa yang berlaku hari itu dan memikirkan rasa rindu aku dengan keluarga di kampung. Ahh..inilah perasaan sama aku rasai sejak mula aku merantau di bumi Semenanjung ini pada tahun 1999.
Siangnya, ketika aku masih diulit mimpi, aku tiba-tiba mendapat sms dari adikku. Dalam sms itu, mengatakan yang emak pengsan ketika sedang bersiap-siap ke kebun. Aku mula risau dan aku cuba membalasnya. Dua kali aku berbalas sms, dan jawapan terakhir yang aku dapat mengatakan emak tak apa-apa. Pengsan sebab keletihan kata mereka.
Tapi, sebagai anak yang dibesarkan dengan segala kasih sayang seorang emak, aku tetap merasakan sesuatu. Aku cuba menelefon ke kampung, tapi tiada seorangpun yang menjawab. Aku cuba tenangkan hati dan tidak memikirkan apa-apa.
Jam 3 petang, aku pergi ke MSN untuk satu temubual bersama atlet lawan pedang, Ivy James. semuanya berjalan lancar sehinggalah aku mendapat panggilan telefon daripada abangku. Dalam nada keras, abangku mengarahkan aku mencari kakak dan dua adikku di Klang dan segera kembali ke Sabah.
Ahhh..apa sudah jadi. Apa yang sebenarnya berlaku kepada emak. Aku mula memikir benda yang tak patut difikirkan. Ampunkan aku mak...dalam hatiku berulang kali.
Malam itu, aku, kakakku dan dua adikku berangkat pulang ke Sabah dengan penerbangan MAS. Dalam kapal, hanya ada sepuluh penumpang dan kami pula masing-masing melayan diri. Cuba memikirkan apa yang berlaku kepada emak dan cuba untuk memohon keampunan andai kami tidak kesempatan.
Jam 2 pagi, kami sampai juga di Hospital Keningau. Apa yang kami disajikan, adalah tubuh emak yang masih bernafas dalam keadaan tidak sedar. Tanpa membuang masa, aku dan kakak ku cuba membisikan sesuatu ke telinga emak, dengan harapan emak akan sedar.
Aku tau, emak terlalu rindukan kami dan aku tau emak dengar bisikan kami. Tapi, emak tiada kudrat untuk membuka matanya. Untuk melihat empat anaknya yang baru balik.
Pagi itu juga, aku bertemu doktor yang merawat emak, dan doktor memaklumkan yang emak perlu dihantar ke Hospital Kota Kinabalu. Kata doktor, emak terlalu kritikal dan perlu diperiksa oleh pakar.
Jantungku jadi lemah. Segala tenaga yang ku bina selama 26 tahun ketika itu bagaikan hilang. Adakah emak akan tinggalkan kami?
Ayahku yang sejak dari kelmarin tidak bersuara tiba-tiba berkata sesuatu kepadaku.
"Tapa, kamu saja yang pegi KK ya. Sebab doktor cakap satu orang jak boleh ikut," kata ayahku.
Aku tidak memikirkan panjang sebab aku tau ini adalah tanggungjawab aku. Aku menemankan emak di dalam kereta ambulans sepanjang perjalanan ke KK. Tapi, hati aku sayu melihat tubuh emak yang tidak bermaya. Dua jam perjalanan menuju ke KK, akhirnya kami sampai. Tapi aku kesian, sepanjang berada di hospital itu, tubuh emak yang masih bernafas seperti tidak dihargai. Hanya diletakkan di sisi bilik selepas doktor menjalani pemeriksaan.
Tanpa sebarang jawapan, doktor seolah-olah membiarkan aku bertanya sendiri. Seperti takut memberitahu akan keadaan sebenar emakku.
Lantas, aku pun bertanya dan hanya satu yang doktor katakan kepadaku, "emakmu sangat kritikal dan kamu pulanglah ke Keningau selagi masih sempat."
Aku bagaikan orang gila. Baju kerja yang ku pakai ketika pergi ke MSN kelmarin masih berada di tubuhku. Sudah dua hari rupanya aku tidak tanggalkan baju itu.
Tanpa memikirkan apa-apa, aku menuju ke kaki emak. Memegang kuat dan menciumnya.
"Mak, jangan tinggalkan mus..jangan tinggalkan adik-adik mus..Siapa mahu jaga kami mak...." aku menangis sekuatnya. Tiada lagi kejantanan aku ketika itu.
Sepanjang perjalanan menuju ke Keningau, aku hanya memegang tangan emak. Tangan wanita yang telah menjadikan aku manusia. Tangan wanita yang pernah mencubitku dan tangan wanita yang pernah memulas telingaku...
Sepanjang itu juga aku mengenang segala pengorbanan emak kepadaku. Hanya air mata yang mampu menceritakan kesedihan aku ketika itu.
Sampai sahaja di Keningau, aku maklumkan kepada keluarga yang emak tidak boleh diselamatkan lagi. Pendarahan otak yang emak hadapi terlalu serius dan sangat kritikal.
Akhirnya, kami adik beradik sepakat untuk membawa tubuh emak yang masih bernafas ke rumah. Walaupun kami tahu emak akan pergi buat selama-lamanya, tapi kami mahu melihat emak menghembuskan nafas terakhirnya di rumah..
Jam 12.45 pagi pada tanggal 21 Julai 2006, emak menghembuskan nafas terakhirnya. Aku yang berada disisi emak sempat melihat air mata terakhir emak sebelum nyawanya diserahkan kepada Allah. Al-Fatihah buat ibunda tercinta, Sannung Pawakka..
Keluarga bahagia kami hilang serinya dengan pemergian emak. Inilah kenangan terindah lima adik perempuanku ketika menyambut Aidilifitri bersama emak dan ayah pada tahun 2001.
Sejujurnya, aku bukan mahu mengenang kisah sedih ini. Tetapi episod sedih yang menimpa keluarga Utusan baru-baru ini dengan perginyaAllayhyarham Nazudeen Mahmud menghadap Ilahi mengingatkan aku kepada kisah emak.
Dan setiap kali aku mendengar berita sedih tentang kematian, aku akan terbayangkan wajah emak. Terbayangkan kesedihan emak yang aku tinggalkan semata-mata untuk sesuap nasi.
Al-Fatihah buat semua yang telah meninggalkan kita. Moga mereka ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. AMIN.
Al-Fatihah sahabat......
ReplyDelete