Wednesday, February 1, 2012

Manusia Petualang



Bismillahirrahmanirrahim

MENDUNG itu lebih banyak nikmatnya. Menutupi sinaran panas dari menembusi kulit si petualang. Dia hanya tahu bercakap. Bijak bermadah. Hebat berlakon. Sisi pakaiannya mahal. Kulit badannya mulus. Ditemani si betina gempal. Berjalan ibarat manusia sempurna.

Tapi jujur, aku suka sangat lihat manusia ini. Permainannya cukup teratur. Disusun setiap rangkap mengikut hukum. Semuanya demi kuasa. Demi wang dan demi kemusnahan hambanya.

Senyumannya juga palsu, gerak badannya dipaksa. Bahkan, niatnya pasti sudah jauh terpesong.

Ahhhh....kau memang binatang. Dan kau lebih jijik dari binatang. Kau perlu ingat. Kuasamu itu bukan milikmu. Hartamu itu bukan milikmu. Milikmu hanyalah sepotongnya nyawa. Yang dipinjamkan dari Tuhan.

Sedarlah. Cukup-cukuplah. Manusia perlukan keadilan. Perlu pertimbangan yang ikhlas. Usah dimatikan semangat manusia. Sekali kau senyum, sejuta rakyatmu menangis. Sekali kau bersuara, sejuta rakyatmu menderita.

Kami mahu pulang. Mahu keluar dari kepompong ini. Terima kasih buatmu sang pemusnah. Matikan saja demokrasi itu, dan julanglah semangat republikan. Itu mungkin kemahuanmu.

LELAKI SABAH : Dunia ini akan bergoncang setiap kali manusia sepertimu menari.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...