Friday, July 9, 2010
Cerita Dari Penjara
HARI ini hari Jumaat. Hari untuk aku berehat. Hari untuk aku melayan perasaan lebih-lebih lagi selepas balik dari Penjara Marang.
Aku tersenyum girang. Alangkah nikmatnya ruang yang diberikan oleh Allah kepadaku. Aku dapat melakukan apa sahaja. Aku boleh baring, aku boleh duduk dan aku boleh berjalan. Kepenatan yang akui rasai sejak beberapa minggu lalu bagaikan hilang sekelip mata.
Namun, selepas hampir sejam melayan perasaan, aku mula kebosanan. Tanpa isteri dan anak yang dirindui, kebosanan itu semakin tinggi. Otak fikiranku meronta-ronta untuk mencari kebebasan di luar sana. Akan tetapi, kudrat serta tenagaku begitu keletihan untuk melakukannya.
Maka aku mula terfikir sesuatu, terkenang cerita-cerita yang ku perolehi di penjara tadi. Mungkin lebih baik aku coretkan dan jadikannya sebuah cerita. Cerita yang mungkin dekat dengan aku dan cerita yang mungkin menjadi kenangan aku.
Begini ceritanya...
"Ya, aku bersalah dalam hal ini. Aku yang mulakan semuanya. Aku tidak tahu menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Aku egois dan aku sombong. Aku wajar terima hukuman ini," luah hati lelaki itu.
Dengan muka kesedihan, lelaki itu duduk termenung sambil melihat lampu neon yang berada di hadapannya. Hatinya berkata, lampu seperti inilah yang menjadi saksi kepada hubungannya dengan seorang wanita. Katanya, lampu itu juga telah merakam segala yang berlaku antara dirinya dan seorang wanita.
Aku faham perasaan lelaki itu. Aku perlahankan rentak percakapan ku agar dia boleh ceritakan apa sebenarnya yang berlaku. Aku tidak mahu dia berada dalam tekanan atau rasa bersalah dengan keputusan yang telah dibuat olehnya.
Maka, si lelaki itu pun mula bercerita.
"Malam itu sungguh tenang. Aku telah berjanji kepadanya untuk menuju ke satu destinasi yang sangat indah bagi kami. Aku menantinya dengan tenang dan selepas bertemu, kami mulakan perjalanan.
Kami bercerita, mengusik dan mengenang setiap inci perhubungan kami. Dengan kasih sayang yang ada, kami menjadi sangat ikhlas. Ikhlas dalam setiap apa yang kami lakukan. Namun, perjalanan itu tidak lama dan kami harus berpisah. Sebelum dia meninggalkan aku, aku sempat menitipkan nasihat..."take care ya, hati-hati kalau berjalan," kata lelaki itu dengan perlahan.
Aku pun berlalu pergi dalam hati yang penuh hiba. Bilakah lagi semua ini akan berlaku. Aku rindukan kenangan ini.
Hari pun terus berlalu. Maka aku sekali lagi bertemu dengannya. Kami lalui perkara yang sama dan berada di destinasi yang sama. Di akhirnya, perkara sama aku ucapkan..."take care ya, jaga diri bebaik,"..
Jujur aku kata, aku cukup bangga dapat menitipkan nasihat itu. Ditujukan buat seorang insan yang sangat istimewa. Dalam doa, dalam perbualan dan dalam segala-galanya, aku akan buat perkara yang sama. Selama hampir 10 tahun aku lakukannya.
Kami pernah berjanji akan jaga hubungan ini dengan baik. Biar apa yang berlaku, kami akan jaga ia sampai ke akhir hayat.
Namun, apa yang kami janjikan itu tiba-tiba gagal ditepati. Tidak tahu di mana silapnya. Apa yang aku tahu, ia berakhir hanya disebabkan perkara kecil. Ketika itu, dia telah ditimpa masalah yang baginya satu masalah yang sukar untuk diterima.
Aku cuba menjadi wira untuk mengetahui apakah masalahnya. Aku juga telah memberi sedikit teguran kepadanya. Namun, niatku itu telah disalahtafsir. Dianggap sebagai satu kritikan tidak berasas dan menjatuhkan air mukanya. Dan akhirnya, segala bentuk rasa tidak puas hati diungkit semula yang mana telah membawa kepada pertengkaran.
Perbicaraan kami tidak lagi sebagai kekasih. Tetapi perbicaraan kami hanya untuk mencari kesalahan. Dia menganggap aku sebagai lelaki yang tidak tahu menolong, lelaki yang tidak pandai memberi sokongan. Baginya juga, aku hanya lelaki yang suka mengkritik.
Aku cuba pertahankan namun ia semakin memuncak. Segala bentuk ketidakpuasahan hati tiba-tiba ditimbulkan. Sebagai lelaki, aku rasa tercabar. Memang aku bukan lelaki yang baik, tapi aku telah lakukan apa yang sepatutnya aku lakukan.
Emosi terus bergelora dan segala bentuk pertimbangan sudah dilupakan. Dia terus dengan pendiriannya dan menganggap aku sebagai seorang yang tidak tahu menjaga hati.
Tanpa memikirkan apa-apa, aku terus bertindak demi mempertahankan kedudukanku. Walaupun dalam hati, aku tahu aku akan menjadi mangsa kepada keputusan itu.
Aku terus hilang pertimbangan dan akhirnya, aku telah melakukan sesuatu yang memang tidak boleh dimaafkan. Aku telah membunuhnya. Membunuh insan yang aku sayangi. Membunuh hubungan yang sekian lama terjalin. Membunuh segala-galanya.
Aku tergaman seketika. Terkejut dan mula berfikir. Namun, nasi sudah menjadi bubur, terlajak perahu boleh ditarik, terlajak kata buruk padahnya. Aku mula menyesal dan menangis tanpa henti. Aku telah kehilangan seseorang. Kehilangan yang sukar untuk aku terima.
Begitupun, di saat-saat terakhirnya, aku sempat ucapkan sesuatu. Ucapan yang mungkin mampu menahan nyawanya daripada pergi..."aku tidak pernah sebut nama orang lain dalam doa, melainkan nama kamu...dan kalaulah kamu boleh dihidupkan semula, maka aku akan jaga kamu dengan baik...sebab aku begitu mengasihi kamu........"
TAMAT
Begitulah ceritanya. Ahhhhh....hilanglah sikit kebosanan aku. Tapi, aku sendiri pening dengan apa yang aku ceritakan ni. Tak tahu dimana plotnya, tak tahu di mana klimaksnya...Sangat pening....apapun, aku tetap gembira kerana aku sudah tunaikan kewajipan aku untuk merakam setiap apa yang telah aku lalui.
LELAKI SABAH: Benda kecil boleh jadi besar dan benda yang besar boleh diselesaikan dengan cara yang cukup kecil.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment