AKU cukup kenal dengan isteriku, Noranita Awang. Malah cukup kenal dengan sikap dan perangainya. Air matanya sangat mudah mengalir. Aku tegur, aku marah, aku gembira dan aku sedih, air matanya akan mengalir.
Petang itu, air mata isteriku mengalir lagi. Kali ini, bukan sebab teguran aku ataupun kegembiraan aku, namun air matanya mengalir tanda kesedihan. Kesedihan seorang anak yang melihat kesengsaraan dan kesakitan yang dialami ibu kandungnya.
Sejak dua bulan lalu, ibu mertuaku terlantar di Pusat Jagaan Paliatif bagi menjalani rawatan susulan selepas pembedahan pada bahagian lehernya hujung tahun lalu. Sepanjang itu juga, ibu mertuaku yang biasa ku panggil 'Bu' terpaksa melalui hari-hari penuh menyeksaan.
Namun, ketibaan aku, isteriku dan anakku, Naufal serta kakak iparku, Ziah serta suaminya, Amad dari Kuala Lumpur pada petang Ahad lalu sedikit memberi semangat tambahan kepada ibu mertuaku.
Kesakitan dan kesengsaraan yang selama ini dilaluinya bagaikan hilang tiba-tiba saat melihat anak-anaknya berdiri. Sambil memegang tangan ibu, aku sempat melihat bagaimana air mata isteriku mengalir perlahan-lahan.
Dan pada ketika itulah, aku dapat merasakan bagaimana sayangnya isteriku pada ibunya, iaitu insan yang terpaksa ditinggalkannya sejak tiga tahun lalu untuk korbankan hidupnya bersama aku.
Apa yang pasti, setiap inci perkataan yang keluar dari ibu mertuaku kami amati perlahan-lahan. Setiap nadi dan hembusan nafas dari ibu mertuaku kami hargai sebagai seorang anak. Saat itu juga, aku melihat sifat wanita pada isteriku. Dia bersedih dan menangis setiap kali melihat ibunya.
Aku faham perasaannya sebagai anak kerana aku juga pernah melalui perasaan yang sama. Bezanya, aku tidak sempat berkata-kata dengan arwah ibuku sehinggalah ibuku menghembuskan nafas terakhirnya.
Bagi isteriku dan saudaranya yang lain, mereka masih ada peluang. Masih ada ruang untuk menunjukkan pengorbanan seorang anak kepada ibu yang telah melahirkan lapan insan bernama manusia.
Di saat itu juga, ibu mertuaku tidak memerlukan apa-apa daripada anaknya. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang dan sentuhan daripada setiap darah dagingnya. Kerana apa, kerana itulah kekuatan dan ubat sebenar bagi seorang ibu yang sedang menanggung kesakitan.
Insyallah, pada penghujung bulan Mac ini, ibu mertuaku bakal menghabiskan tempoh rawatannya di pusat tersebut. Ini bermakna, ibuku akan kembali ke rumah impiannya di Keningau.
Dan aku berdoa, kembalinya ibu mertuaku di rumahnya akan membawa semangat baru buat ibu untuk terus cekal dan tabah menempuh dugaannya. Sejujurnya, aku cukup bertuah dan bersyukur kerana telah dianugerahkan seorang ibu mertua yang begitu memahami akan diriku.
Mungkin saja aku boleh anggap yang aku cukup manja dengan ibu mertuaku kerana aku adalah menantu bongsunya. Malah, sejak pemergian ibu kandungku menghadap Ilahi pada tahun 2006, aku tidak punya lagi seorang insan bernama ibu melainkan seorang ibu mertua.
Sebagai lelaki yang dipertanggungjawabkan menjaga anak bongsunya, aku sentiasa berdoa agar ibu mertuaku akan cepat sembuh dan melihat anak serta cucu-cucunya melalui hidup-hidup yang penuh dugaan ini. Amin.
AKU dan isteriku sentiasa berdoa agar anak sulungku akan menjadi anak soleh yang akan menjaga kami suatu hari nanti.
LELAKI SABAH: Pada ketika insan lain bersedih, ada lagi insan di sebelah sana yang bergembira dan berseronok dengan kehidupan mewah bersama ahli keluarganya. Mungkin inilah yang dinamakan takdir kerana tidak semua apa yang kita inginkan akan menjadi milik kita.
No comments:
Post a Comment