Wednesday, February 1, 2012

Manusia Petualang



Bismillahirrahmanirrahim

MENDUNG itu lebih banyak nikmatnya. Menutupi sinaran panas dari menembusi kulit si petualang. Dia hanya tahu bercakap. Bijak bermadah. Hebat berlakon. Sisi pakaiannya mahal. Kulit badannya mulus. Ditemani si betina gempal. Berjalan ibarat manusia sempurna.

Tapi jujur, aku suka sangat lihat manusia ini. Permainannya cukup teratur. Disusun setiap rangkap mengikut hukum. Semuanya demi kuasa. Demi wang dan demi kemusnahan hambanya.

Senyumannya juga palsu, gerak badannya dipaksa. Bahkan, niatnya pasti sudah jauh terpesong.

Ahhhh....kau memang binatang. Dan kau lebih jijik dari binatang. Kau perlu ingat. Kuasamu itu bukan milikmu. Hartamu itu bukan milikmu. Milikmu hanyalah sepotongnya nyawa. Yang dipinjamkan dari Tuhan.

Sedarlah. Cukup-cukuplah. Manusia perlukan keadilan. Perlu pertimbangan yang ikhlas. Usah dimatikan semangat manusia. Sekali kau senyum, sejuta rakyatmu menangis. Sekali kau bersuara, sejuta rakyatmu menderita.

Kami mahu pulang. Mahu keluar dari kepompong ini. Terima kasih buatmu sang pemusnah. Matikan saja demokrasi itu, dan julanglah semangat republikan. Itu mungkin kemahuanmu.

LELAKI SABAH : Dunia ini akan bergoncang setiap kali manusia sepertimu menari.

Saturday, January 7, 2012

Berani Berubah


Bismillahirrahmanirrahim

RESAH dalam hati hanya Tuhan yang satu. Tuhan juga tahu nasib yang belum berlaku. Sebagai manusia, aku sedar akan hakikat hukum karma. Juga percaya kepada Qada dan Qadar.

2012 sudah memulakan agenda. Berlari meninggalkan manusia-manusia yang kelaparan dunia. Tidurlah jika itu yang terbaik. Dan bangkitlah jika hidupmu mahu diubah.

Tahun ini adalah fasa penting bagi aku. Di mana segala penentuan akan berlaku. Soal aku berjaya atau tidak, aku sudah berusaha.

Doa aku ringkas, mohon pada Ilahi agar aku diberikan cukup kekuatan untuk hadapinya. Sebagai seorang hamba kepadaNya. Sebagai seorang isteri kepadanya dan sebagai seorang bapa kepadanya.

Moga saja, darah perantau yang ada dalam diri aku akan kekal. Untuk mencari rezeki di tempat orang. Diselamatkan dunia dan akhirat. - Amin

LELAKI SABAH: Jangan bercakap soal kesusahan kerana Tuhan telah berikan kamu nyawa.

Saturday, September 17, 2011

September Itu Indah

Trio Perantau

SEPTEMBER bulan yang diindah. Bulan yang cukup bernyawa dengan pelbagai nilai gembira.

Diawalnya aku bersuka ria. Bersama dua insan tersayang menyambut Syawal. Perjalanan jauh Bangi-Kuala Terengganu menghiasi hari-hari awal Aidilfitri kami. Hidup umpama perantau dan menikmati kehidupan dengan rasa syukur.

Paling indah pastinya 6 September. Tarikh dimana lahirnya zuriat terindah ciptaan Tuhan. Naufal Zafran namanya. Dia berdiri, berlari, bak orang dewasa yang semakin ligat. Setiap percakapan mula disusun dengan gerak badan menampakkan kesungguhan.

Tahun ini tahun keempatnya bersama kami. Terima kasih Allah kerana penjagaanmu kepada zuriat kami. Buat isteri, Noranita Awang..inilah nyawa kita. Peliharalah sebaiknya seperti mana kita dipelihara oleh orang tua kita.

Tuhan. Aku sekali lagi berdoa, moga di tahun ini diberi lebih banyak rezeki dan perlindungan buat kami bertiga. Juga buat keluarga terdekat, sanak saudara, rakan-rakan seperjuangan dan seluruh umat manusia. Peliharalah kami sehingga nyawa kami kembali kepadamu.

1 tahun


2 tahun


3 tahun


Alhamdulillah... Sekarang sudah 4 tahun.

LELAKI SABAH: Salam Lebaran. Salam Hari Lahir dan Salam Hari Malaysia.

Saturday, August 27, 2011

Bila Tiba Hari Raya


HUJAN rintik-rintik malam itu. Orang lain bersujud dengan badan yang suci, sedangkan aku berlari-lari mengejar duniawi. Orang kata, aku sudah lupa. Sudah lupa apa itu ibadah. Sudah lupa apa makna agama.

Aku juga sedar, Ramadan hanya sekali dalam setahun. Lalu, aku begitu takut untuk tinggalkan dosa di bulan ini. Takut aku gagal mendapatkan sesuatu dari bulan ini.

Aku hanya mampu menahan lapar dan dahaga. Dalamanku makin kotor. Permainanku makin menjadi-jadi. Aku sesekali sujud, meminta agar sezarah ibadah yang aku lakukan di bulan ini diterima Allah.

Aku pasti rindukan Ramadan. Moga sahaja Allah pertemukan aku dengan Ramadan yang lain. Dengan harapan, detik itu aku menjadi manusia sebenar. Yang tahu apa itu ibadah, apa itu agama.

Syawal. Hadir dengan cara berbeza. Di situlah detik kegembiraan seorang manusia. Di maafkan segala dosa sesama manusia. Di situ juga wujudkan keinsafan. Betapa perlunya ikatan kasih sayang untuk meraikan Syawal.

Aku mahu habiskan masa bersama mereka. Cukuplah dunia yang aku kejar selama ini. Biarlah aku rebahkan semua tenagaku untuk mereka berdua. Isteri dan Anakku.

Kesempurnaan aku bukan pada harta. Bukan juga pada kebendaan. Kesempurnaan aku adalah bertiga. Aku, dia dan dia. Biarlah kami bersama selamanya. Bergembira di hari mulia dengan cara kami. Doakan kebahagian itu akan kekal.

Seribu kemaafan dari aku dan keluargaku. Buat semua umat bernama manusia. Yang zahir hinggalah yang batin. Ikhlaskan setiap pemberian. Moga Allah merahmati semua manusia di dunia ini. Salam Aidilfitri.

Gembira dan menangis adalah kehidupan kami.


LELAKI SABAH: Kemaafan itu lebih indah dari segalanya.

Wednesday, July 27, 2011

Ramadan Sudah Datang

Bismillahirrahmanirrahim

SYUKURLAH dengan nikmat yang Allah berikan.

PETANG yang sunyi. Letih, sakit badan, tension dan tak ader mood. Tanda manusia mula bermain emosi. Semua yang disajikan tidak dipandang, jauh sekali mendapat perhatian.

Bersabarlah. Bulan Ramadan akan hadir juga. Letih akan menjadi segar. Tiada lagi sakit badan dan tension akan hilang begitu sahaja. Cuma....jaga sahaja mood itu agar Ramadan menjadi indah.

Aku. Buat kesekian kalinya akan menjadi aku. Berpuasa tunggal umpama si bujang telajak. Tiada erti sahur dan jauh sekali menikmati keselesaan berbuka. Apa yang penting, aku sempat berniat untuk berpuasa. Dan berbuka mengikut tempoh. Moga sahaja aku dapat menghabiskan Ramadan ini untuk melihat Syawal yang baru.

Buat isteri yang sabar menjadi 'ibu tunggal', bersabarlah kerana kebahagian sebenar terletak dalam hati. Buat anak yang semakin mengerti, jagalah ibumu seperti mana dia menjagamu.

Kawan-kawan kalian, Ramadan ini bukan semata-mata berpuasa. Inilah detik untuk kita berbaik dan menjernihkan mana-mana yang keruh. Kita berpuasa di alam yang sama dan kita berbuka di waktu yang sama.

Bezanya, kita mempunyai niat yang tidak sama. Di pihak aku, aku terlalu kotor dan biarlah aku dengan cara aku. Moga sahaja, kita sama-sama diberikan pahala. Pahala yang boleh membantu kita untuk berjumpa di dunia sana. Insyallah.

LELAKI SABAH: Yang lapar bukannya perut dan yang haus bukannya tekak. Salam Ramadan buat semua.

Saturday, July 16, 2011

Aku Sudah Penat

Bismillahirrahmanirrahim

MALAM ini malam Nisfu Sya'ban. Malam penuh pengampunan. Dijadikan malam ini buat kita semua. Terutamanya aku sebagai insan kotor.

Aku cukup lemah untuk hidup. Cukup lemah untuk memikirkan semuanya. Semangatku kadang kala hilang, seperti enggan lagi berkawan dengan aku.

Mungkin saja, aku sudah bosan. Atau aku perlu berputus asa dengan apa yang aku kejar. Semua orang ada kehidupannya. Tapi kehidupan yang aku lalui penuh lakonan. Siapa aku dan siapa yang tahu pasal aku?

13 Julai sudah berlalu. Titipkan salam buat semua keluarga dan rakan yang menghulurkan doa. Moga saja apa yang diucapkan itu diterima Allah.

Jujur aku katakan, aku bukanlah manusia yang suka meminta-minta. Jauh sekali untuk dilayan seistimewa orang lain. Cukup bagiku kepercayaan dari orang yang aku sayang. Perhatian dari orang yang aku sayang dan kasih sayang dari orang yang aku sayang.

Iya..mulutku kadang kala bacul. Perangaiku kadang kala umpama pengkhianat. Malah, hatiku busuk dan suka mendengki. Itu kelemahan aku. Dan itu dosa yang perlu aku tanggung.

Tapi percayalah. Hidupku penuh pendirian dan semangatku juga cukup terhad. Buat mereka yang sering dipaksa, hanya kesabaran yang aku minta. Bila mana semangat itu hilang, aku akan pergi juga.

Hari ini, kita masih boleh bernafas. Diizinkan Tuhan, kita akan terus bernafas. Satu udara di bumi Tuhan. Masa itu akan tiba dan pendirian itu juga akan bersuara. Waktu itu, aku lupakan semangatku buat seketika, kerana aku juga manusia biasa.

Berdirilah dengan kehidupan asal masing-masing. Ketawa dan bersedihlah mengikut naluri masing-masing. Kerana apa, kerana dunia aku bukan di sini.

JANGAN biarkan dia jadi sepertiku

Lelaki Sabah: Selendang itu boleh jadi tuala, tapi tuala itu tidak mungkin menjadi baju.

Sunday, July 3, 2011

Semua Tentang Julai



Bismillahirrahmanirrahim

AKU HAMPIR TERLUPA
BAHWA JULAI SUDAH BERMULA
BULAN PENUH MAKNA
ANTARA AKU, DIA DAN MEREKA

DI SINI SEMUA ADA
SUKA DUKA DAN JUGA GEMBIRA
DI SINI SEMUA PENUH BERMAKNA
CERITA AKHIRAT DAN JUGA DUNIA
CERITA JASAD MAHUPUN NYAWA

AKU LAHIR DI BULAN INI
TANGGAL 13 TAHUN MASIHI
SUDAH DEWASA PENUH BERISI
LUAR DALAM AKU TEROKAI
JUMPA MANUSIA YANG INDAH BERSERI

TAPI SAYANG
DI BULAN INI AKU TELAH HILANG
PERGINYA IBU DI USIA MATANG
TINGGALKAN KAMI DI WAKTU TENANG
MALAM SIANG AKAN DIKENANG
IBU...KAMI AKAN SENTIASA SAYANG

JUGA DI BULAN INI
AKU HILANG LAGI SEKALI
SEMANGAT, KEPERCAYAAN PENUH HAKIKI
DARI MANUSIA DIHUJUNG BUMI
BUKAN SEKALI, TAPI BERKALI-KALI
MANUSIA PERGI SELEPAS DIKHIANATI
TINGGAL AKU MENANGIS SENDIRI
ANGKARA PERBUATAN PENUH KEJI
SILAP SIAPA TANYALAH HATI
JANGAN KESALI JANGAN TANGISI
HIDUP KOSONG BERMULA HARI INI

TUHAN
BERIKAN SEDIKIT REZEKI
JUGA HIDAYAH UNTUK BERBUDI
AKU PASRAH DENGAN UJIAN INI
SEMUA DITENTUKAN OLEH ILAHI

TAPI....
DOAKU TAK PUTUS MALAM DAN PAGI
MOGA ADA PELUANG SEKALI
UNTUK JADI MANUSIA SEJATI

TERIMA KASIH JULAI

Lelaki Sabah: Tanpanya...dunia ini kosong

Wednesday, June 15, 2011

Dunia Mula Bersuara

Bismillahirrahmanirrahim

BENAR...
DUNIA AKU BUKAN DI SINI
YANG NYATA DAN JELAS SEGALANYA

TAPI KAWAN
AKU MASIH BERAKAL WARAS
JUGA MASIH PUNYA AKIDAH
AKU BERDIRI DI TANAH ALLAH
DIHUNI MANUSIA BERNAMA TERENGGANU

PASTI
DI TANAH INI REZEKI AKU
DI TANAH INI JUGA DUNIA AKU
AKU TIDAK BOLEH HIPOKRIT

MAKA KAWAN
AKU AKAN BERTARUNG NYAWA UNTUK TANAH INI
DENGAN MODAL PENA DAN FIKIRAN
JADIKAN DARUL IMAN SEHEBAT NAMANYA
BIAR NANTI ANAK DAN CUCUKU BERKATA
DI TANAH INI MOYANGNYA BERJUANG

AKHIRNYA
HITAM PUTIH AKAN MENJADI KEHIDUPAN
HITAM PUTIH JUGA MEMBAWA KEJAYAAN
JANJIKU PADA TANAH INI
SELAGI HAYAT DIKANDUNG BADAN
TANAH INI AKAN KU JULANG

Di bawah runtuhnya stadium ini, kita bina wilayah baru

Lelaki Sabah : Di mana bumi dipijak, disitu langit dijunjung...AllahuAkhbar

Thursday, May 26, 2011

Gua Dah Kata Dah...

INI gambar beberapa minit sebelum berlepas. Saje kaburkan sebab kami sendiri masih kabur dengan peluang untuk menang.

Bismillahirrahmanirrahim

KETIKA itu, jam menunjukkan pukul 6 pagi, dan gua sedang duduk di sebalik tembok batu sambil menunggu seseorang. Lebih kurang setengah jam, dia pun datang. Kami menuju ke lokasi kedua, menjemput dua lagi rakan.

Lengkap berempat. Gua, Jijul, Jaidi dan Pejal menuju ke destinasi utama. Balai Berita NSTP untuk Pencarian Harta Karun Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJ) 2011. Peliknya, kami adalah pasukan pertama yang tiba. Dalam hati gua berkata.." Ini tanda-tanda nak menang lah"...

Pendekkan cerita. Perjalanan sehari dari KL ke Melaka berlanjutan selama tujuh jam. Macam-macam karenah dan perangai gua sajikan. Ada yang bengang, ada yang menyampah. Rileks bro...hidup mesti enjoy..

Malam itu, bertempat di Dewan Besar Hotel Abadi, Melaka Raya, seluruh dewan tergaman. Melihat empat 'ekor' lelaki bersorakkan. Gua memang tak percaya. Jijul lagilah. Jaidi macam mimpi dan Pejal sampai tak boleh bangun.

Selepas hampir sedozen percubaan, inilah kali pertama kitaorang jadi juara. Bukan top 5 dan bukan top 3, tapi No. 1.

Jadi, siapa kata 'budak kampung' macam kami tak pandai Bahasa Inggeris. Sapa kata 'budak mentah' macam kami tak reti cari tresure..Semuanya sudah terbukti. Dan mimpi itu telah menjadi kenyataan. RM3k jadi habuan.

GAYA perlu untuk menjadi juara.

BEBERAPA minit sebelum diumumkan juara.

AKHIRNYA...Penantian itu berakhir di Kota Melaka.

LELAKI SABAH: Tahniah juga buat Zainol and The Geng, Pejal Kajai dan Basir and The Family.

Thursday, May 5, 2011

Kecelakaan Seorang Binatang

Bismillahirrahmanirrahim

PAGI itu gua berjalan. Melihat seorang gelandangan tidur di bangku. Persis manusia wajahnya. Ada segala-galanya. Cuma, terkilan rasa gua melihat nasibnya. Umpama binatang tanpa nama.

Dia menunggu waktu 12 tengahari. Rasanya, mahu masuk ke kandang mencari teman. Pelik gua lihat. Semangat sungguh. Dari belantara datangnya, ke dunia moden milik temannya.

Bertemu teman. Senyum gua melihat binatang itu. Terkelu-kelu lidahnya. Kemaruk juga rasanya. Mungkin ini kali pertama baginya, atau juga, mungkin sudah lama tidak merasa.

Tapi indahnya tidak lama. Gua lihat lagi. Binatang itu berpeleseran. Di ajak menjadi gembala, binatang itu degil berjalan sendirian. Kononya hebat. Dunia moden ini bukan temanmu binatang. Kau mau pergi mana? Kau mau makan di mana? Sudahlah...pergilah ke kandang tempat temanmu.

Hampir 30 jam berlalu. Gua terus melihat. Gelagatnya makan bak binatang kuno. Diketawakan. Disiniskan. Dan mungkin juga dihinakan. Biarlah binatang, dunia mu bukan di sini.

Malam itu, gua sudah mengantuk. Dan episod binatang itu juga bakal berakhir. Kau baliklah ke kandangmu. Tiada restu buatmu.

Kini.....binatang itu bersendirian rasanya. Kejap dunianya putih, kejap menjadi hitam. Salah dirimu binatang. Bersyukurlah dengan apa yang telah diberikan padamu. Dan terimalah kecelakaanmu sebagai seorang binatang.

LELAKI: Dua tanda itu mungkin hilang, tapi "but i'm not" akan kekal selama-lamanya. RIP

JANGAN pandang-pandang, jangan pegang-pegang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...