Bismillahirrahmanirrahim
MALAM ini malam Nisfu Sya'ban. Malam penuh pengampunan. Dijadikan malam ini buat kita semua. Terutamanya aku sebagai insan kotor.
Aku cukup lemah untuk hidup. Cukup lemah untuk memikirkan semuanya. Semangatku kadang kala hilang, seperti enggan lagi berkawan dengan aku.
Mungkin saja, aku sudah bosan. Atau aku perlu berputus asa dengan apa yang aku kejar. Semua orang ada kehidupannya. Tapi kehidupan yang aku lalui penuh lakonan. Siapa aku dan siapa yang tahu pasal aku?
13 Julai sudah berlalu. Titipkan salam buat semua keluarga dan rakan yang menghulurkan doa. Moga saja apa yang diucapkan itu diterima Allah.
Jujur aku katakan, aku bukanlah manusia yang suka meminta-minta. Jauh sekali untuk dilayan seistimewa orang lain. Cukup bagiku kepercayaan dari orang yang aku sayang. Perhatian dari orang yang aku sayang dan kasih sayang dari orang yang aku sayang.
Iya..mulutku kadang kala bacul. Perangaiku kadang kala umpama pengkhianat. Malah, hatiku busuk dan suka mendengki. Itu kelemahan aku. Dan itu dosa yang perlu aku tanggung.
Tapi percayalah. Hidupku penuh pendirian dan semangatku juga cukup terhad. Buat mereka yang sering dipaksa, hanya kesabaran yang aku minta. Bila mana semangat itu hilang, aku akan pergi juga.
Hari ini, kita masih boleh bernafas. Diizinkan Tuhan, kita akan terus bernafas. Satu udara di bumi Tuhan. Masa itu akan tiba dan pendirian itu juga akan bersuara. Waktu itu, aku lupakan semangatku buat seketika, kerana aku juga manusia biasa.
Berdirilah dengan kehidupan asal masing-masing. Ketawa dan bersedihlah mengikut naluri masing-masing. Kerana apa, kerana dunia aku bukan di sini.
No comments:
Post a Comment