Tuesday, January 18, 2011
Kalah Tapi Menang
ADA kawan kata, "takda erti sapa menang sapa kalah". Aku tidak pasti apa maksud sebenarnya, tapi aku letakkan ia sebagai ayat bersifat berperibadi.
Siapa menang siapa kalah. Jawapannya, kita sudah kalah.
Kita sentiasa kalah walaupun kita mahu menang. Kita kalah walaupun kita hampir menang. Dan kita juga disahkan kalah walau kita lawan pasukan kalah.
Siapa peduli dengan kekalahan. Aku, dia, hang dan lu....tiada siapa peduli. Sebabnya, kita sentiasa senyum pada ketika kita kalah dan kita sentiasa bersorak walaupun kita telah kalah.
Tapi.....
Pernahkah kita mengaku kalah. Jawapannya tidak. Biar sekalipun kita dibawah, kita tidak mengaku kalah. Biar sekalipun kita ditindas, kita tidak mengalah. Kita tetap melawan dengan cara kita, hingga akhirnya kita menang.
LELAKI SABAH : Terima kasih Azizul sebab tumpangkan pergi dan balik, terima kasih Wan Fakhrul sebab pinjamkan kasut dan terima kasih kawan-kawan kerana akhirnya kita 'menang'.
Saturday, January 8, 2011
Siapa Menang Siapa Kalah
ISTIHARKAN sahaja darurat di wilayah itu. Pecahkan tembok yang menghalang. Keluarkan semua askar-askar serta seluruh penghuninya. Baru kamu akan lihat kerosakan yang telah dicipta.
Memang kesian. Malah aku simpati melihat nyawa-nyawa itu berpeleseran. Hari-hari menghitung masalah. Kepada yang sedar, luahkan sahaja di alam maya. Bagi yang tidak sedar, teruskan dengan lakon layarmu. Tunggu sahaja kepada jawapan siapa menang, siapa kalah?
Aku sudah belajar untuk tidak menjadi 'petualang'. Tidak mahu terlibat secara langsung. Kerana bagi aku, semua ini tiada kesudahan. Biarlah mereka yang berada di dalam menguruskannya. Semua sudah matang. Bertaraf profesional dan jaguh dalam bidang masing-masing.
Sudahlah. Lupakan dulu kisah askar-askar itu. Ini cerita aku. Cerita aku di bulan Januari.
Insyallah, pada pertengahan bulan ini aku akan balik ke Lembah Klang. Ikut perancangan awal, aku hanya ingin bertemu cikgu Nita dan anaknya.
Namun, beberapa hari lalu, ada sahabat yang mempelawa aku untuk bermain bola sepak di Kuala Lumpur. Persoalannya, bolehkah aku turun ke padang dalam keadaan kesihatan aku belum pulih?
Tidak mengapa. Andai belum bersedia turun ke padang, aku masih boleh berjumpa dengan rakan-rakanku. Bukan apa, mereka adalah insan-insan hebat dalam dunia masing-masing. Dan satu kerugian jika tidak menyertai mereka.
Apapun, semua itu belum pasti. Sama ada aku hadir atau tidak, ia masih kabur. Tapi, jujur aku katakan, memang aku ingin berjumpa mereka. Bercerita tentang kehidupan masing-masing.
Dengan harapan, aku tidak ketinggalan daripada mengetahui kisah sebenar askar-askar di tembok besar sana.
LELAKI SABAH : Tahniah buat anak buah aku yang menang dalam peperangan baru-baru ini. Habuannya, makan malam di tingkat 2.
Tuesday, January 4, 2011
Ikut Landasan Sendiri
IYA. Cepat sungguh masa itu berlalu.
Seperti baru semalam aku tiba di sini, walhal aku sudah melepasi 365 hari tanggungjawabku di negeri orang.
Aku bermula dengan 1 Januari 2010 di Terengganu. Dan sekarang, sudah empat hari aku tinggalkan 1 Januari 2011. Ini bermakna, aku perlu melalui 361 hari lagi sebelum memasuki tahun ketiga.
Sejujurnya, aku belum sempurna untuk berpijak di negeri ini. Banyak kelompangan yang perlu aku isi. Sekali pun ditemani insan-insan berhati mulia, masih ada kekurangan yang aku rasai. Mungkin saja aku perlu berjalan dan terus berjalan. Melihat sendiri kehidupan manusia Terengganu.
2011, tahun bagi Masihi. Dalam tahun Hijrah, ketika ini kita sudah memasuki hari ke 29. Ramai meramalkan tahun 2011, tahun permulaan kepada dekad kedua bagi kurun kedua puluh satu sebagai tahun penuh mencabar.
Pasangan warga emas Britain dengan status pakar ramalan dunia, Craig dan Jane ada menyenarikan beberapa isu besar yang bakal menggemparkan dunia tahun ini. Paling menarik perhatianku adalah ramalannya tetap berlakunya bencana nuklear di India.
Turut diramal adalah tragedi nahas kapal terbang melibatkan pemimpin besar dunia. Dalam sukan, C&J meramalkan pasukan penuh tradisi, Liverpool akan menjuarai gelaran Piala FA.
Apapun, itu cuma ramalan. Seorang penganalisis ramalan pernah menyatakan, hanya 10 peratus daripada ramalan kaji cuaca yang disiarkan dalam televisyen tempatan tepat. 90 peratus lagi tidak menjadi.
Bagi aku sendiri, tahun 2011 umpama tahun pemutihan. Pemutihan daripada segala kekotoran yang aku cipta pada 2010. Aku hanya inginkan kesihatan yang baik. Inginkan kondusi pekerjaan yang tenang dan inginkan ikatan ikhlas sesama insan.
2010 memang mengajar aku erti sebenar takdir. Erti sebenar Qada dan Qadar serta erti sebenar Hukum Karma. Aku banyak melalui detik sedih asbab kealpaan aku sendiri. Aku telah diuji sedikit demi sedikit hanya kerana ketaksuban aku.
Insyallah, tahun 2011 ini, seperti tahun sebelumnya dimana aku tetap bersendirian, meninggalkan anak bini sejauh 500km, aku mahu terus hidup.
Terus hidup untuk melihat anak aku membaca Alif, Ba, Ta dengan penuh lancar. Terus hidup untuk melihat isteri aku merotan anak muridnya. Dan terus hidup untuk mencari tiket ke Padang Mashar.
Berdoa pada Tuhan, lindungilah aku, keluargaku, saudara-saudaraku dan insan-insan di sisi ku. Bukan hanya untuk tahun ini, tapi untuk selama-lamanya.
LELAKI SABAH: Kereta api itu baru bergerak, mengikut landasan buatan manusia.
Saturday, November 20, 2010
Berkorbankah Aku
Jangan takut dengan kekalahan kerana itulah permulaan kepada kemenanganBerkorban Demi Pengabdian
Berkorban Demi Perjuangan
Berkorban Demi Cita-cita
Bahkan Berkorban Demi Cinta
Pengorbanan Dengan Keikhlasan
Sungguh Suatu Kemuliaan
Pengorbanan Harus Diniatkan
Dalam Mencapai Redha Tuhan
PEGANG dadamu, tutup matamu dan tenangkan jiwamu....fikir apa yang telah kau lakukan atas nama pergorbanan.
Fikirkan juga, berapa banyak yang telah kau lakukan demi kebahagian seseorang. Cukupkah!!
Dunia kita tidak pernah sama. Ada yang suka bermain api sehingga membakar diri. Ada juga yang gemar bermain hati sehingga membunuh naluri. Apa pun, itulah prisip hidup. Prinsip aku, kau dan mereka. Kita berjuang atas identiti diri. Cara kau, cara aku dan cara mereka.
Aku bukanlah manusia hijau yang berani menghunus senapang di medan perang, aku juga bukan pendekar sejati yang tegar mencabar si pengkhianat. Aku hanya manusia biasa yang hanya berani berkorban atas diri sendiri.30 tahun diberi ruang untuk bernafas, masih banyak kelemahan untuk aku berkorban. Mungkin saja aku layak dilabel 'penakut' kerana sukar untuk berkorban.
Tapi, sejak kebelakangan ini, aku mula belajar apa itu pengorbanan. Pengorbanan pada hakikatnya tidak perlu dipampang di khalayak ramai. Tidak perlu disanjung dan tidak perlu dibanggakan.
Pengorbanan itu mungkin sahaja bermakna kekalahan. Kekalahan demi kemenangan orang lain. Itu satu pengorbanan.
Aku tidak pernah menyusahkan sesiapa. Tidak pernah mengharapkan balasan daripada siapa-siapa. Baik orang yang dekat dengan aku ataupun orang yang jauh dengan aku.
Namun, apa yang aku peroleh selama ini mungkin atas pengorbanan picisan yang tidak sengaja aku lakukan. Yang aku lakukan atas nama maruah dan tanggungjawab.
Tuhanku,
WajahMu membayang di kota terbakar
Dan FirmanMu terguris di atas ribuan kuburan yang dangkal
Anak menangis kehilangan bapak
Tanah sepi kehilangan lelakinya
Bukannya benih yang disebar di bumi subur ini
Tapi bangkai dan wajah mati yang sia-sia
(WS.Rendra)
WajahMu membayang di kota terbakar
Dan FirmanMu terguris di atas ribuan kuburan yang dangkal
Anak menangis kehilangan bapak
Tanah sepi kehilangan lelakinya
Bukannya benih yang disebar di bumi subur ini
Tapi bangkai dan wajah mati yang sia-sia
(WS.Rendra)
Tuesday, November 9, 2010
15 November..realiti atau fantasi
INI bukan cerita pasal 'November Rain', lagu yang diterbitkan pada Jun 1992 dan dinyanyikan oleh kumpulan hard rock dari Amerika, Guns N' Roses.
Ini adalah cerita pasal penantian. Penantian seorang lelaki yang dilahirkan pada Julai 1980 dan dibesarkan oleh kumpulan masyarakat bugis dari Sabah, Mus N' Tapa.
Setiap detik dikira satu persatu. Penuh agenda dengan otak fikiran bercelaru membuat ramalan. Memang best, tapi naluri itu tidak mungkin bertahan lama menjelang detik 12.01 pada 15 November ini.
Ahhhh...akan ku tunggu detik itu dengan seribu harapan, moga segala kekurangan selama ini dapat dibalas. Moga segala kejangkalan dapat diubah menjadi rasional.
15 November itu pada hakikatnya bukanlah hari aku, tapi hari bagi dia. Dia perlukan hari itu untuk menjadi sempurna seperti orang lain.
Apapun, andai hari itu bertukar menjadi kelam, maka ia benar-benar akan menjadi November Rain. Bulan yang gemar membasahi bumi Pantai Timur.
Maka dengan itu, plan B akan menyusul dengan doa. Semoga Tuhan permudahkan segala urusanku di dunia ini. Amin.
LELAKI SABAH : Juga menanti Aidiladha untuk satu pengorbanan.
Tuesday, October 26, 2010
Wanita dari Ayangan
Wanita dari Ayangan
Kawan
Kau berikan aku sarapan
Ditatang jauh dari Kota Ayangan
Kau bawa dengan penuh harapan
Tanpa jemu, lesu dan kepenatan
Melayan karenah lelaki kelaparan
Kawan
Disisi mu tersimpan segunung harapan
Kau diam tapi mekar senyuman
Ungu di mataku, merah jambu ditangan
Tanda ikatan sebuah hubungan
Terjalin mekar tanpa sempadan
Antara manusia kaum berlainan
Kekasih
Kau tabah berdoa tanpa bersedih
Dari hatimu yang suci dan bersih
Cinta bertaut tanpa pernah bersilih
Kejayaan diimpi akhirnya diraih
Menara gading tempat kita berlatih
Demi masa depan pasangan kekasih
Tunang
Akhirnya disimpul ikatan hubungan
Rumah biru nun jauh di Kota Ayangan
Sebentuk cincin kuning tanda ingatan
Senaskah Quran buat pedoman
Moga hubungan direstui Tuhan
Dijauhi hasutan iblis dan syaitan
Sehingga terjalin sebuah impian
Isteri
Di bulan Disember disinari mentari
Rombongan bertandang berjalan berlari
Dijulang bak raja penuh tradisi
Diapit rakan harum berseri
Berbaju kuning sepanjang hari
Isteri
Puteri Ayangan berwajah seri
Kau senyum girang inai dijari
Keluar menghadap si raja sehari
Sedih wajahpun penuh bererti
Tanda berakhir sebuah mimpi
Menjadi milik si lelaki misteri
Ibu
Sebulan berlabuh wajahmu lesu
Tanda kehadiran insan yang baru
Berat matamu bebanan di bahu
Berjalan sendiri dengan izin restu
Ibu
Hati gersang menahan rindu
Sehingga September hadir bertamu
Lahirlah insan berwajah melayu
Lengkapkan hidup penuh berliku
Dia, engkau dan juga aku
-mustapa lakawa-
8.32pm, 26 Oktober 2010
Kuala Terengganu
LELAKI SABAH: Semuanya bermula dengan gurauan sehingga tercipta sebuah kehidupan.
Sunday, October 24, 2010
Duhai Si Mata Manusia
DUHAI SI MATA MANUSIA
Tidurlah wahai sang mata
Lenakan kepenatan buat sementara
Manjakan kesengsaraan disudut beranda
Kerana engkau cukup berjasa
Menjadi alat si nafsu manusia
Tidurlah wahai sang mata
Tugasanmu selesai cukup sempurna
Engkau tidak perlu lagi berjaga
Engkau tidak perlu lagi sengsara
Biarlah akal mencari tugasnya
Tidurlah wahai sang mata
Kita di Timur, bukan di ibu kota
Syurga segala lakonan manusia
Di ibu kota
Akan ku biarkan engkau berjaga
Sehingga malam menjadi senja
Saksikan saja si hawa bermaharajalela
Si rempit bangga bertongkat seroda
Yang tua berpeluh bermain tenaga
Bergoyang sakan di disko lama
Tidurlah wahai sang mata
Kasihanlah pada si ibu muda
Mendodoi anak tanpa ayahnya
Siang berjaga, malam derita
Miliki suami bermata buaya
Tidurlah wahai sang mata
Biarkan badan berehat seketika
Kerana esok engkau perlu berjaga
Mencari rezeki kurniaan Allah
Tidurlah wahai sang mata
Di padang Masyhar engkau diguna
Menjawab pertanyaan perbuatan manusia
Dari Pencipta Yang Maha Kuasa
Jika pahala tempatmu syurga
Neraka menanti manusia berdosa
-mustapa lakawa-
5.10pm, 24 Oktober 2010
Kuala Terengganu
LELAKI SABAH: Kelesuan dan kesedihan menjadikan kita lebih peka dengan alam dunia.
Tidurlah wahai sang mata
Lenakan kepenatan buat sementara
Manjakan kesengsaraan disudut beranda
Kerana engkau cukup berjasa
Menjadi alat si nafsu manusia
Tidurlah wahai sang mata
Tugasanmu selesai cukup sempurna
Engkau tidak perlu lagi berjaga
Engkau tidak perlu lagi sengsara
Biarlah akal mencari tugasnya
Tidurlah wahai sang mata
Kita di Timur, bukan di ibu kota
Syurga segala lakonan manusia
Di ibu kota
Akan ku biarkan engkau berjaga
Sehingga malam menjadi senja
Saksikan saja si hawa bermaharajalela
Si rempit bangga bertongkat seroda
Yang tua berpeluh bermain tenaga
Bergoyang sakan di disko lama
Tidurlah wahai sang mata
Kasihanlah pada si ibu muda
Mendodoi anak tanpa ayahnya
Siang berjaga, malam derita
Miliki suami bermata buaya
Tidurlah wahai sang mata
Biarkan badan berehat seketika
Kerana esok engkau perlu berjaga
Mencari rezeki kurniaan Allah
Tidurlah wahai sang mata
Di padang Masyhar engkau diguna
Menjawab pertanyaan perbuatan manusia
Dari Pencipta Yang Maha Kuasa
Jika pahala tempatmu syurga
Neraka menanti manusia berdosa
-mustapa lakawa-
5.10pm, 24 Oktober 2010
Kuala Terengganu
LELAKI SABAH: Kelesuan dan kesedihan menjadikan kita lebih peka dengan alam dunia.
Monday, October 11, 2010
Cerita Sebuah Nyawa
DUNIA memang sempit. Memang aneh dan penuh warna warni. Di dalamnya tersimpan seribu kisah. Kisah manusia yang perlukan semangat untuk hidup. Perlukan teman untuk hidup dan perlukan sahabat untuk hidup.
Tiada apa yang penting di dunia ini melainkan kehidupan. Dibina atas dasar kepercayaan yang dimulakan dengan satu permainan. Mahir mengatur permainan, kejayaan dan kerjasama akan dikecapi.
Namun, permainan itu mungkin tidak lama, kerana ia akan berakhir apabila sampai masanya. Akan tetapi, pengakhiran itu nanti pasti meninggalkan kesan. Baik kepada aku, dia dan mereka.
Lupakan segala kenangan kerana semua itu tidak boleh lagi dijadikan fakta. Fakta hakiki kini adalah muktamad. Pendirian yang pastinya dikekalkan demi sebuah maruah. Demi kelangsungan hidup yang akan dibina semula.
Lama juga ia bertahan. Dihiasi permainan emosi daripada beberapa nyawa. Semuanya secara kebetulan, tetapi air itu telah menjadi beku. Zarah-zarah telah bersatu daripada beberapa nyawa sehingga membentuk entiti yang cukup kukuh.
Kukuh dalam erti kata lain mampu menumbangkan sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya. Nyawa-nyawa itu juga cukup menebal sehingga setiap isinya dikongsi. Ia menjadi satu kuasa yang dibentuk atas dasar kepercayaan.
Kepercayaan itu menjadi saluran untuk bernafas. Digunakan oleh beberapa insan yang amat memerlukannya. Namun, satu demi satu nyawa itu berakhir. Satu tradisi yang tidak boleh dielakkan.
Apapun, ia masih bertahan untuk suatu ketika. Dikekalkan oleh beberapa nyawa yang pernah disanjung oleh komuniti manusia-manusia jalang. Saling bertaut demi membawa perjuangan.
Namun, tradisi sekali lagi tidak boleh dielakkan. Pengorbanan perlu dilakukan. Ini bermakna, nyawa itu perlu dileraikan. Biarkan nyawa-nyawa itu membawa haluan masing-masing.
Pengalaman menjadikan nyawa itu dewasa dan kini nyawa itu sudah cukup matang. Tiada lagi kebergantungan. Pendirian dan maruah perlu dikekalkan. Hidup mesti diteruskan.
Kini, semuanya sudah berakhir dan perbezaan pendirian telah membawa kepada satu bencana yang mengejutkan semua. Nyawa itu perlu berdiri sendiri, meneruskan apa yang dinamakan kehidupan.
Tidak kira siapa pun dia, nyawa itu sebenarnya masih ada. Dengan pengalaman dan kekuatan yang ada dalam diri, nyawa itu masih boleh bernafas. Dia mungkin kehilangan semuanya, namun nyawa itu masih punyai maruah.
LELAKI SABAH : Selera mereka biasanya serupa namun rezeki dan nasib mereka pastinya bebeza.
Friday, October 8, 2010
Oktober memang satu tragedi

ADA apa pada Oktober. Bulan kesepuluh dalam kalendar Gregory dan merupakan antara bulan yang mempunyai 31 hari. Dalam bahasa latin, Oktober bererti Octo yakni kelapan dan hakikatnya Oktober merupakan bulan kelapan dalam kalendar Rom.
Bagi aku sendiri, Oktober tidak lebih daripada sebuah bulan seperti mana bulan-bulan lain. Didalamnya ada kisah duka dan didalamnya juga tersimpan seribu kisah gembira.
Tapi bulan Oktober pada tahun 2010 ini aku kategorikan sebagai bulan penuh dugaan. Aku dihambat pelbagai permasalahan yang akhirnya menyebabkan aku terduduk sendirian.
Ada yang pergi dengan tiba-tiba dan ada yang terpaksa berkorban menanggung segala derita.
Ada juga yang terperangkap asbab kebatilan diri sehingga kepercayaan menjadi pertaruhan.
Di akhirnya, Oktober pasti tersenyum kerana mampu meneruskan tradisi sebagai bulan tragedi. Bukan pada semua orang, tapi pada orang-orang yang sombong dan sering lupa diri seperti aku.
LELAKI SABAH: Disember bulan untuk seseorang
Friday, September 17, 2010
Aidilfitri Cara Aku
Warna ungu disatukan daripada warna dingin dan warna hangat.Tiga insan di hari lebaran.
Salam Aidilfitri.
Indah, menarik dan memang menyeronokkan. Aku dapat bersahur dan berbuka selama dua hari di Keningau. Juga dapat berterawih di sana selama dua hari. Aku puas, setidak-tidaknya aku masih mampu merasai suasana indah yang telah lama aku tinggalkan.
Aidilfitri cara aku dan keluarga aku cukup sederhana. Tanpa kehadiran ibu yang telah pergi meninggalkan kami, aku, abangku dan adik-adikku masih mampu meraikannya bersama-sama.
Kami bermula dari bawah. Menyiapkan segala keperluan sehinggala tibanya 1 Syawal. Aku cukup bersyukur, bersyukur kerana kami bersaudara masih mampu bersama-sama.
Paling aku gembira, sepanjang berAidilfitri di Keningau, aku sentiasa bersama anak lelakiku, Naufal Zafran. Kami pergi menziarah bersama-sama. Pergi ke pusara ibu dan ibu mertuaku bersama.
Aku cukup bersyukur kerana akhirnya aku dapat menikmat Aidilfitri dengan sempurna sebagai seorang bapa. Juga sebagai seorang suami kepada seorang wanita.
Alhamdullilah....
Sejujurnya, memang banyak yang ingin aku ceritakan, tapi biarlah aku simpan sahaja cerita itu. Apa yang aku ingin katakan, aku cukup gembira dengan kehidupan keluargaku. Kesederhanan keluargaku dan keakraban saudara-saudaraku.
Kami bukan mewah, bukan juga keluarga susah. Tapi kami masih mampu bersama untuk meraikan hari kemenangan umat Islam.
LELAKI SABAH : Kehidupan ini akan indah jika wujudnya kasih sayang. Salam Aidilfitri.
Berkongsi rezeki bersama sepupu paling rapat sehari sebelum terbang ke Sabah.Selamat hari Jadi Naufal...
Subscribe to:
Posts (Atom)





























