Monday, October 11, 2010

Cerita Sebuah Nyawa

BERAT sama dipikul, ringan sama dijinjing - Gambar Hiasan (IndraNte)

DUNIA memang sempit. Memang aneh dan penuh warna warni. Di dalamnya tersimpan seribu kisah. Kisah manusia yang perlukan semangat untuk hidup. Perlukan teman untuk hidup dan perlukan sahabat untuk hidup.

Tiada apa yang penting di dunia ini melainkan kehidupan. Dibina atas dasar kepercayaan yang dimulakan dengan satu permainan. Mahir mengatur permainan, kejayaan dan kerjasama akan dikecapi.

Namun, permainan itu mungkin tidak lama, kerana ia akan berakhir apabila sampai masanya. Akan tetapi, pengakhiran itu nanti pasti meninggalkan kesan. Baik kepada aku, dia dan mereka.

Lupakan segala kenangan kerana semua itu tidak boleh lagi dijadikan fakta. Fakta hakiki kini adalah muktamad. Pendirian yang pastinya dikekalkan demi sebuah maruah. Demi kelangsungan hidup yang akan dibina semula.

Lama juga ia bertahan. Dihiasi permainan emosi daripada beberapa nyawa. Semuanya secara kebetulan, tetapi air itu telah menjadi beku. Zarah-zarah telah bersatu daripada beberapa nyawa sehingga membentuk entiti yang cukup kukuh.

Kukuh dalam erti kata lain mampu menumbangkan sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya. Nyawa-nyawa itu juga cukup menebal sehingga setiap isinya dikongsi. Ia menjadi satu kuasa yang dibentuk atas dasar kepercayaan.

Kepercayaan itu menjadi saluran untuk bernafas. Digunakan oleh beberapa insan yang amat memerlukannya. Namun, satu demi satu nyawa itu berakhir. Satu tradisi yang tidak boleh dielakkan.

Apapun, ia masih bertahan untuk suatu ketika. Dikekalkan oleh beberapa nyawa yang pernah disanjung oleh komuniti manusia-manusia jalang. Saling bertaut demi membawa perjuangan.

Namun, tradisi sekali lagi tidak boleh dielakkan. Pengorbanan perlu dilakukan. Ini bermakna, nyawa itu perlu dileraikan. Biarkan nyawa-nyawa itu membawa haluan masing-masing.

Pengalaman menjadikan nyawa itu dewasa dan kini nyawa itu sudah cukup matang. Tiada lagi kebergantungan. Pendirian dan maruah perlu dikekalkan. Hidup mesti diteruskan.

Kini, semuanya sudah berakhir dan perbezaan pendirian telah membawa kepada satu bencana yang mengejutkan semua. Nyawa itu perlu berdiri sendiri, meneruskan apa yang dinamakan kehidupan.

Tidak kira siapa pun dia, nyawa itu sebenarnya masih ada. Dengan pengalaman dan kekuatan yang ada dalam diri, nyawa itu masih boleh bernafas. Dia mungkin kehilangan semuanya, namun nyawa itu masih punyai maruah.


LELAKI SABAH : Selera mereka biasanya serupa namun rezeki dan nasib mereka pastinya bebeza.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...