Tuesday, November 9, 2010
15 November..realiti atau fantasi
INI bukan cerita pasal 'November Rain', lagu yang diterbitkan pada Jun 1992 dan dinyanyikan oleh kumpulan hard rock dari Amerika, Guns N' Roses.
Ini adalah cerita pasal penantian. Penantian seorang lelaki yang dilahirkan pada Julai 1980 dan dibesarkan oleh kumpulan masyarakat bugis dari Sabah, Mus N' Tapa.
Setiap detik dikira satu persatu. Penuh agenda dengan otak fikiran bercelaru membuat ramalan. Memang best, tapi naluri itu tidak mungkin bertahan lama menjelang detik 12.01 pada 15 November ini.
Ahhhh...akan ku tunggu detik itu dengan seribu harapan, moga segala kekurangan selama ini dapat dibalas. Moga segala kejangkalan dapat diubah menjadi rasional.
15 November itu pada hakikatnya bukanlah hari aku, tapi hari bagi dia. Dia perlukan hari itu untuk menjadi sempurna seperti orang lain.
Apapun, andai hari itu bertukar menjadi kelam, maka ia benar-benar akan menjadi November Rain. Bulan yang gemar membasahi bumi Pantai Timur.
Maka dengan itu, plan B akan menyusul dengan doa. Semoga Tuhan permudahkan segala urusanku di dunia ini. Amin.
LELAKI SABAH : Juga menanti Aidiladha untuk satu pengorbanan.
Tuesday, October 26, 2010
Wanita dari Ayangan
Wanita dari Ayangan
Kawan
Kau berikan aku sarapan
Ditatang jauh dari Kota Ayangan
Kau bawa dengan penuh harapan
Tanpa jemu, lesu dan kepenatan
Melayan karenah lelaki kelaparan
Kawan
Disisi mu tersimpan segunung harapan
Kau diam tapi mekar senyuman
Ungu di mataku, merah jambu ditangan
Tanda ikatan sebuah hubungan
Terjalin mekar tanpa sempadan
Antara manusia kaum berlainan
Kekasih
Kau tabah berdoa tanpa bersedih
Dari hatimu yang suci dan bersih
Cinta bertaut tanpa pernah bersilih
Kejayaan diimpi akhirnya diraih
Menara gading tempat kita berlatih
Demi masa depan pasangan kekasih
Tunang
Akhirnya disimpul ikatan hubungan
Rumah biru nun jauh di Kota Ayangan
Sebentuk cincin kuning tanda ingatan
Senaskah Quran buat pedoman
Moga hubungan direstui Tuhan
Dijauhi hasutan iblis dan syaitan
Sehingga terjalin sebuah impian
Isteri
Di bulan Disember disinari mentari
Rombongan bertandang berjalan berlari
Dijulang bak raja penuh tradisi
Diapit rakan harum berseri
Berbaju kuning sepanjang hari
Isteri
Puteri Ayangan berwajah seri
Kau senyum girang inai dijari
Keluar menghadap si raja sehari
Sedih wajahpun penuh bererti
Tanda berakhir sebuah mimpi
Menjadi milik si lelaki misteri
Ibu
Sebulan berlabuh wajahmu lesu
Tanda kehadiran insan yang baru
Berat matamu bebanan di bahu
Berjalan sendiri dengan izin restu
Ibu
Hati gersang menahan rindu
Sehingga September hadir bertamu
Lahirlah insan berwajah melayu
Lengkapkan hidup penuh berliku
Dia, engkau dan juga aku
-mustapa lakawa-
8.32pm, 26 Oktober 2010
Kuala Terengganu
LELAKI SABAH: Semuanya bermula dengan gurauan sehingga tercipta sebuah kehidupan.
Sunday, October 24, 2010
Duhai Si Mata Manusia
DUHAI SI MATA MANUSIA
Tidurlah wahai sang mata
Lenakan kepenatan buat sementara
Manjakan kesengsaraan disudut beranda
Kerana engkau cukup berjasa
Menjadi alat si nafsu manusia
Tidurlah wahai sang mata
Tugasanmu selesai cukup sempurna
Engkau tidak perlu lagi berjaga
Engkau tidak perlu lagi sengsara
Biarlah akal mencari tugasnya
Tidurlah wahai sang mata
Kita di Timur, bukan di ibu kota
Syurga segala lakonan manusia
Di ibu kota
Akan ku biarkan engkau berjaga
Sehingga malam menjadi senja
Saksikan saja si hawa bermaharajalela
Si rempit bangga bertongkat seroda
Yang tua berpeluh bermain tenaga
Bergoyang sakan di disko lama
Tidurlah wahai sang mata
Kasihanlah pada si ibu muda
Mendodoi anak tanpa ayahnya
Siang berjaga, malam derita
Miliki suami bermata buaya
Tidurlah wahai sang mata
Biarkan badan berehat seketika
Kerana esok engkau perlu berjaga
Mencari rezeki kurniaan Allah
Tidurlah wahai sang mata
Di padang Masyhar engkau diguna
Menjawab pertanyaan perbuatan manusia
Dari Pencipta Yang Maha Kuasa
Jika pahala tempatmu syurga
Neraka menanti manusia berdosa
-mustapa lakawa-
5.10pm, 24 Oktober 2010
Kuala Terengganu
LELAKI SABAH: Kelesuan dan kesedihan menjadikan kita lebih peka dengan alam dunia.
Tidurlah wahai sang mata
Lenakan kepenatan buat sementara
Manjakan kesengsaraan disudut beranda
Kerana engkau cukup berjasa
Menjadi alat si nafsu manusia
Tidurlah wahai sang mata
Tugasanmu selesai cukup sempurna
Engkau tidak perlu lagi berjaga
Engkau tidak perlu lagi sengsara
Biarlah akal mencari tugasnya
Tidurlah wahai sang mata
Kita di Timur, bukan di ibu kota
Syurga segala lakonan manusia
Di ibu kota
Akan ku biarkan engkau berjaga
Sehingga malam menjadi senja
Saksikan saja si hawa bermaharajalela
Si rempit bangga bertongkat seroda
Yang tua berpeluh bermain tenaga
Bergoyang sakan di disko lama
Tidurlah wahai sang mata
Kasihanlah pada si ibu muda
Mendodoi anak tanpa ayahnya
Siang berjaga, malam derita
Miliki suami bermata buaya
Tidurlah wahai sang mata
Biarkan badan berehat seketika
Kerana esok engkau perlu berjaga
Mencari rezeki kurniaan Allah
Tidurlah wahai sang mata
Di padang Masyhar engkau diguna
Menjawab pertanyaan perbuatan manusia
Dari Pencipta Yang Maha Kuasa
Jika pahala tempatmu syurga
Neraka menanti manusia berdosa
-mustapa lakawa-
5.10pm, 24 Oktober 2010
Kuala Terengganu
LELAKI SABAH: Kelesuan dan kesedihan menjadikan kita lebih peka dengan alam dunia.
Monday, October 11, 2010
Cerita Sebuah Nyawa
DUNIA memang sempit. Memang aneh dan penuh warna warni. Di dalamnya tersimpan seribu kisah. Kisah manusia yang perlukan semangat untuk hidup. Perlukan teman untuk hidup dan perlukan sahabat untuk hidup.
Tiada apa yang penting di dunia ini melainkan kehidupan. Dibina atas dasar kepercayaan yang dimulakan dengan satu permainan. Mahir mengatur permainan, kejayaan dan kerjasama akan dikecapi.
Namun, permainan itu mungkin tidak lama, kerana ia akan berakhir apabila sampai masanya. Akan tetapi, pengakhiran itu nanti pasti meninggalkan kesan. Baik kepada aku, dia dan mereka.
Lupakan segala kenangan kerana semua itu tidak boleh lagi dijadikan fakta. Fakta hakiki kini adalah muktamad. Pendirian yang pastinya dikekalkan demi sebuah maruah. Demi kelangsungan hidup yang akan dibina semula.
Lama juga ia bertahan. Dihiasi permainan emosi daripada beberapa nyawa. Semuanya secara kebetulan, tetapi air itu telah menjadi beku. Zarah-zarah telah bersatu daripada beberapa nyawa sehingga membentuk entiti yang cukup kukuh.
Kukuh dalam erti kata lain mampu menumbangkan sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya. Nyawa-nyawa itu juga cukup menebal sehingga setiap isinya dikongsi. Ia menjadi satu kuasa yang dibentuk atas dasar kepercayaan.
Kepercayaan itu menjadi saluran untuk bernafas. Digunakan oleh beberapa insan yang amat memerlukannya. Namun, satu demi satu nyawa itu berakhir. Satu tradisi yang tidak boleh dielakkan.
Apapun, ia masih bertahan untuk suatu ketika. Dikekalkan oleh beberapa nyawa yang pernah disanjung oleh komuniti manusia-manusia jalang. Saling bertaut demi membawa perjuangan.
Namun, tradisi sekali lagi tidak boleh dielakkan. Pengorbanan perlu dilakukan. Ini bermakna, nyawa itu perlu dileraikan. Biarkan nyawa-nyawa itu membawa haluan masing-masing.
Pengalaman menjadikan nyawa itu dewasa dan kini nyawa itu sudah cukup matang. Tiada lagi kebergantungan. Pendirian dan maruah perlu dikekalkan. Hidup mesti diteruskan.
Kini, semuanya sudah berakhir dan perbezaan pendirian telah membawa kepada satu bencana yang mengejutkan semua. Nyawa itu perlu berdiri sendiri, meneruskan apa yang dinamakan kehidupan.
Tidak kira siapa pun dia, nyawa itu sebenarnya masih ada. Dengan pengalaman dan kekuatan yang ada dalam diri, nyawa itu masih boleh bernafas. Dia mungkin kehilangan semuanya, namun nyawa itu masih punyai maruah.
LELAKI SABAH : Selera mereka biasanya serupa namun rezeki dan nasib mereka pastinya bebeza.
Friday, October 8, 2010
Oktober memang satu tragedi

ADA apa pada Oktober. Bulan kesepuluh dalam kalendar Gregory dan merupakan antara bulan yang mempunyai 31 hari. Dalam bahasa latin, Oktober bererti Octo yakni kelapan dan hakikatnya Oktober merupakan bulan kelapan dalam kalendar Rom.
Bagi aku sendiri, Oktober tidak lebih daripada sebuah bulan seperti mana bulan-bulan lain. Didalamnya ada kisah duka dan didalamnya juga tersimpan seribu kisah gembira.
Tapi bulan Oktober pada tahun 2010 ini aku kategorikan sebagai bulan penuh dugaan. Aku dihambat pelbagai permasalahan yang akhirnya menyebabkan aku terduduk sendirian.
Ada yang pergi dengan tiba-tiba dan ada yang terpaksa berkorban menanggung segala derita.
Ada juga yang terperangkap asbab kebatilan diri sehingga kepercayaan menjadi pertaruhan.
Di akhirnya, Oktober pasti tersenyum kerana mampu meneruskan tradisi sebagai bulan tragedi. Bukan pada semua orang, tapi pada orang-orang yang sombong dan sering lupa diri seperti aku.
LELAKI SABAH: Disember bulan untuk seseorang
Friday, September 17, 2010
Aidilfitri Cara Aku
Warna ungu disatukan daripada warna dingin dan warna hangat.Tiga insan di hari lebaran.
Salam Aidilfitri.
Indah, menarik dan memang menyeronokkan. Aku dapat bersahur dan berbuka selama dua hari di Keningau. Juga dapat berterawih di sana selama dua hari. Aku puas, setidak-tidaknya aku masih mampu merasai suasana indah yang telah lama aku tinggalkan.
Aidilfitri cara aku dan keluarga aku cukup sederhana. Tanpa kehadiran ibu yang telah pergi meninggalkan kami, aku, abangku dan adik-adikku masih mampu meraikannya bersama-sama.
Kami bermula dari bawah. Menyiapkan segala keperluan sehinggala tibanya 1 Syawal. Aku cukup bersyukur, bersyukur kerana kami bersaudara masih mampu bersama-sama.
Paling aku gembira, sepanjang berAidilfitri di Keningau, aku sentiasa bersama anak lelakiku, Naufal Zafran. Kami pergi menziarah bersama-sama. Pergi ke pusara ibu dan ibu mertuaku bersama.
Aku cukup bersyukur kerana akhirnya aku dapat menikmat Aidilfitri dengan sempurna sebagai seorang bapa. Juga sebagai seorang suami kepada seorang wanita.
Alhamdullilah....
Sejujurnya, memang banyak yang ingin aku ceritakan, tapi biarlah aku simpan sahaja cerita itu. Apa yang aku ingin katakan, aku cukup gembira dengan kehidupan keluargaku. Kesederhanan keluargaku dan keakraban saudara-saudaraku.
Kami bukan mewah, bukan juga keluarga susah. Tapi kami masih mampu bersama untuk meraikan hari kemenangan umat Islam.
LELAKI SABAH : Kehidupan ini akan indah jika wujudnya kasih sayang. Salam Aidilfitri.
Berkongsi rezeki bersama sepupu paling rapat sehari sebelum terbang ke Sabah.Selamat hari Jadi Naufal...
Monday, August 30, 2010
Bersatu di bumi Terengganu
DUA minggu pertama pada bulan Ramadan ini aku banyak habiskan bersama rakan-rakan. Berbuka bersama dan bersahur bersama. Seolah-olah aku tidak mempunyai sesiapa lagi di dunia ini.
Hakikatnya, aku sudah mempunyai isteri dan keluarga. Aku ada kakak dan adik untuk temankan aku. Namun, demi mencari rezeki, aku terpaksa membiarkan diriku bersendirian. Menghabiskan masa-masa yang ada bersama rakan seperjuangan.
Begitupun, kehadiran Nuzul Quran baru-baru ini sedikit mengubah landskap kehidupan aku di Terengganu. Aku berbuka berteman, bersahur berteman dan tidur pun berteman. Aku habiskan masa yang ada bersama seseorang di Terengganu. Seseorang yang halal bagi aku sebagai lelaki.
Isteriku, Noranita Awang secara tiba-tiba mahu menghabiskan masa cutinya selama tiga hari untuk bersamaku di Terengganu. Alasannya, mahu menemankan aku selain merasai nasi dagang ciptaan Terengganu. Paling penting, Pasar Payang telah menantinya.
Kehadirannya di sini pada ketika aku sedang bekerja. Maknanya, dia tidak bebas untuk bergerak. Perlu mengikut setiap langkah aku, perlu menyertai setiap tugasan aku dan perlu menunggu keputusan daripada aku.
Tapi, dia tetap tenang. Bahagia melihat suaminya bekerja untuk sesuap nasi. Dia sedikit keboringan, tetapi disembunyikan demi suaminya. Sampai waktunya, kami sama-sama 'berselerakan' di Bazar Ramadan.
Memang indah, dapat melihat juadah dan memilih makanan untuk berbuka. Tiga hari aku lalui bersamanya. Umpama mimpi yang diberikan Tuhan kepada aku pada bulan Ramadan ini.
Kini, aku kembali bersendirian. Kembali kepada landskap lama. Berbuka bersama rakan-rakan dan bersahur..mungkin bersendirian. Isteriku kembali ke Bangi, kembali melepaskan rindunya pada anak lelaki kami yang ditinggalkan buat seketika.
Apa yang ada bersama aku ketika ini adalah memori. Memori berbuka bersama sang isteri. Dan sampai bila-bila pun, aku akan ingat betapa nikmatnya dapat berbuka bersama orang tersayang....biarpun hanya berbekalkan air suam.


LELAKI SABAH: Kita akan rindukan seseorang apabila dia sudah tiada, tetapi kita sering leka ketika dia berada di depan mata.
Thursday, August 19, 2010
Derita Anak Jalanan
AKU tidak mahu menulis banyak kali ini. Aku hanya mahu memaparkan gambar-gambar derita seorang manusia. Derita seorang anak kecil yang tidak mempunyai keluarga dan derita manusia-manusia yang sering menagih simpati.
Aku rasa, kita semua ada hati. Ada perasaan dan ada naluri. Bagi aku, aku boleh katakan yang aku adalah manusia yang mudah tersentuh. Mudah tersentuh dan mudah kasihan pada sesuatu yang malang. Anak-anak yatim, orang-orang tua mahupun keluarga susah.
Aku sendiri tidak pasti, mengapa aku begitu dekat dengan mereka. Iya, mungkin kerana aku adalah anak yang telah kehilangan ibu. Atau mungkin juga sebab aku dibesarkan dalam hidupan susah.
Apapun, aku tetap bersyukur kerana aku diberi sedikit kemudahan berbanding mereka. Aku tidak perlu meminta-minta. Tidak perlu menagih simpati. Aku hanya perlu gunakan kudrat dan akal aku untuk mencari rezeki.
Namun, jauh di sudut hati, aku juga sentiasa berdoa agar anak-anak kecil dan keluarga-keluarga malang ini akan mendapat kemudahan suatu hari nanti. Moga mereka dapat merasai nikmat kehidupan dunia sebelum mata tertutup buat selama-lamanya.






LELAKI SABAH: Poket mereka memang kosong, tapi hati mereka dipenuhi nilai kemanusiaan yang cukup tinggi. Nilai yang tidak ada pada hati-hati orang berada.
Thursday, August 12, 2010
Puasa Cara Lelaki Sabah
INDAHNYA hidup sebagai umat Islam - Gambar HiasanAKU kehilangan sesuatu di bulan Ramadan ini. Kehilangan yang memang telah aku jangkakan sejak kali pertama tiba di Terengganu.
Malam 1 Ramadan aku duduk berseorangan di meja pejabat. Aku lihat kelibat kawan-kawan yang bersilih ganti membuka pintu. Mereka ingin balik untuk bersama keluarga. Bersembahyang terawih bersama, bersahur bersama dan berbuka bersama.
Aku seperti tahun-tahun sebelumnya terus kekal di sini. Dengan dunia ku yang memang sudah sebati. Aku pernah berpuasa 30 hari tanpa keluarga. Tanpa ibu bapa dan adik beradik. Aku juga pernah berpuasa tanpa isteri dan anak.
Namun, kesunyian tetap wujud. Suara azan menandakan waktu berbuka cukup indah didengari. Aku tersenyum setiap kali Ramadan menjelma. Aku perlu kuatkan hati untuk menahan daripada lapar dan dahaga. Kuatkan iman untuk menahan daripada melakukan perkara-perkara tak baik. Dan aku juga perlu kuatkan mental untuk melalui satu lagi bulan Ramadan yang cukup unik.
Ini adalah Ramadan pertama aku di Terengganu. Terawih pertama aku di Terengganu dan sahur pertama aku di Terengganu. Dan aku berharap dapat melengkapkan Ramadan istimewa aku di negeri ini.
Syukur juga aku panjatkan kerana golongan perantau seperti aku masih ada di negeri ini. Masih boleh berkongsi kesunyian ketika berbuka dan bersahur. Boleh bergelak dan kongsi pengalaman.
Salam Ramadan Al Mubarak buat semua..
LELAKI SABAH: Aku jarang mendapat peluang untuk berterawih pada malam 1 Ramadan dan kali ini aku berpeluang melakukannya. Alhamdulillah.
Sunday, August 1, 2010
Naufal Sudah Mengerti
BEBERAPA hari sebelum Aidilfitri menjelma pada September ini, Naufal Zafran akan menjangkau usia 3 tahun. Usia yang bagi aku sudah cukup untuk menilai kemahuan dan naluri anak kecil ini.
Aku suka perhatikan gerak geri Naufal pada setiap kali kami bersama. Aku lihat keinginannya dan aku ikuti kemahuannya. Aku juga memberi kebebasan kepadanya untuk menentukan apa yang ada di fikirannya.
Naufal cukup ringkas. Cerewet tapi mudah dipujuk. Pada ketika aku masih dibuai mimpi, Naufal akan baring disebelahku. Dia melihat pergerakan mataku. Menanti-nanti bilakah masanya aku akan membuka mata. Aku tahu, dia cukup rindukan aku.
Peluang bersamanya aku gunakan sebaik mungkin. Aku uruskan segala kehidupannya dan aku menjadi teman kepadanya. Aku gembira dapat 'bersembang' dengan Naufal. Cerita pasal pengalaman aku bersamanya.
Kami akan makan bersama, mandi bersama dan lebih penting boleh berjalan bersama. Tidak seperti dahulu, setiap kali cuti, aku akan kebosanan. Kini, aku sudah akan kawan. Kawan yang cukup kerdil tetapi amat besar maknanya kepadaku.
Aku cukup senang dengan kehidupan sekarang. Ada Naufal yang suka meminta-minta. Suka mengada-ngada dan suka cari pasal. Aku suka melihat cara hidup Naufal kerana aku tahu, aku juga sepertinya suatu ketika dahulu.
Apa yang aku harapkan agar Naufal dapat memahami kehidupan ini dan belajar daripada apa yang telah aku lalui sebagai seorang anak suatu ketika dahulu.
AKU SAYANG NAUFAL....
LELAKI SABAH: Aku pernah rasai kesusahan sebagai anak dan aku juga pernah merasai kekurangan sebagai anak. Itulah yang membeza aku dengan Naufal.

Subscribe to:
Posts (Atom)





























