Tuesday, July 3, 2012

Penalti


Bismillahirrahmanirrahim


PEJAM celik...pejam celik..sudah dua bulan rupanya aku di sini. Dua bulan yang aku rasa seperti anak kecil yang tak tau apa-apa.


Aku sudah dibiasakan dengan gerak kerja bertekanan, malah dibasuh agar dapat menghasilkan sesuatu. Tapi di sini, semuanya agak berbeza. Seolah-olah aku baru belajar memegang buku dan pen.Tapi tak pe, semua ini adalah proses baru kepada kerjayaku.

Di sini kawan, aku dihambat oleh satu situasi berisiko. Berminggu-minggu aku cuba bertahan dan berusaha, akhirnya aku lemas. Pengorbanan itu tidak lagi dihargai, bahkan dibiarkan berlutut meminta-minta.

Lantas, tindakan nekad aku lakukan. Memang kejam, tapi inilah balasannya. Barang yang disayangi, dikembalikan ke asal. Dengan harapan ia akan membuka dimensi baru kepada sebuah kehidupan.

Ahhh...menangis darah sekalipun ia tidak akan mengubah apa-apa. Lihat sahaja betapa tidak endahnya mereka kepada sesuatu usaha. Seolah-olah usaha itu tidak membawa makna.

Kini, aku sudah tidak menyimpan apa-apa. Melainkan sebuah kehidupan yang koma, dan hanya menanti dikapankan. Andai ia berlaku, panjatkan keampunan kepada Illahi atas segala kesalahan lampau.

Aku redha dengan qada dan qadar kerana aku telah melakukan sesuatu atas nama seorang lelaki.

LELAKI SABAH: alif ba ta Duniaku...

Saturday, June 23, 2012

Karma


Bismillahirrahmanirrahim

ALLAH Maha Adil. Menjadikan sesuatu mengikut hukum alam. Bermula sepi, insyallah di akhirnya akan ada sinar.

Zaman aku di sana sudah berakhir. Kini, kembali ke dunia asal untuk meneruskan pencarian. Tidak seperti kebiasan, di sini sangat penuh dengan rintangan. Matahari itu tidak sama, dan sudah pasti bulan juga akan berubah.

Ya. Manusia bisa berubah. Hanya dengan serangkap perkataan jahat..manusia boleh mengubah kehidupan menjadi kematian. Sumpah dan janji itu sudah tidak bermakna. Apa yang ada, adalah keputusan nekad yang membunuh dua nyawa.

Di sini dunia aku. Dan di sini akan aku ubah sesuatu. Mungkin bukan sekarang, tetapi detik itu akan tiba. Aku hanya perlu meneruskan 'salam'...untuk setidak-tidaknya mempertahankan sesuatu yang telah lama aku perjuangkan.

Allah sekali lagi Maha Adil. Dan sejak lahir lagi, aku sangat yakin dengan kekuasaan Allah, yakni Tuhan pencipta segala alam.

Lelaki Sabah: bercerai badan...

Friday, March 23, 2012

Kutuk atau Mengutuk

Bismillahirrahmanirrahim

INI pesanku buat manusia bangang.."Jangan buat benda yang boleh membuatkan orang lain mengumpat sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu".

Kamu ada agama, kamu tinggi sekolah, kamu macam ustazah. Itu bukan lagi jaminan untuk kamu menjadi manusia baik.

Selagi mana hati kamu busuk, mengajak manusia-manusia lain yang tidak tahu apa-apa untuk bersubahat, itu tandanya kamu memang bangang!!!

LELAKI SABAH : Biar putih tulang, jangan putih mata.

Friday, February 24, 2012

Dua Kali Lima


Bismillahirrahmanirrahim

DUNIA sudah bergolak. Memaksa manusia-manusia hipokrit mencari kebenaran. Kebenaran yang dicari hanya dunia. Umpama makan daging saudara sendiri.

Dunia memang sudah bergolak. Sanggup matikan nyawa kaum sendiri. Dihina, difitnah....diajak segreombolan hamba. Berperang atas prinsip. Prinsip pemimpin bersikap binatang.

Memang dua kali lima. Si binatang mencanang seluruh dunia. Taburkan harta kaburi anak-anak kelaparan. Di belakang tabir, rencana disusun. Cukupkah harta haram yang telah diberikan.

Juga dua kali lima. Si haiwan terus megah melawan. Dipasang tembok tanda kekuatan. Menangkis serangan si binatang durjana. Konon atas dasar perjuangan. Jual maruah demi kemegahan.

Wahai binatang dan haiwan. Cukup-cukuplah berperang bodoh. Lihatlah hamba-hambamu. Menderita, terseksa dan menangis darah. Kasihani mereka. Tolong mereka dan bela mereka.

Lupakan soal ego. Matikan semua kesombongan. Beringatlah, nyawa kamu sangat terhad. Jangan sampai mayatmu dipijak. Lebih hina dari seorang binatang.

LELAKI SABAH: Si keparat hanya tahu membatu api.

Saturday, February 4, 2012

Wahai Generasi Dayus


Bismillahirrahmanirrahim

BANGKITLAH dan laungkanlah semangat anak Adam. Jangan hanya tahu berdengkur dan bermain madah. Itu semua budaya manusia-manusia kerdil. Manusia yang tidak pernah pergunakan akal serta kudrat. Asbab dunia kamu yang kecil, ketamadunan kamu telah hilang.

Bicara mungkin keras. Nada juga panas. Tapi aku bercakap soal kejujuran. Soal pengalaman. Aku benci manusia yang suka ketawa kosong. Suka bersekongkol dengan perempuan jalang.

Sedarlah, dunia ini bukanlah kegembiraan. Dunia ini juga bukanlah kemewahan. Wahai manusia dayus, hidupmu sebenarnya telah dikongkong. Dikuasai kejahilan pasukan berkuasa miterial.

Jadi......belajarlah erti susah. Belajarlah erti merantau. Sejarah keturunanmu sudah membuktikan. Hidup tidak akan diubah tanpa kesusahan.

(Pesan buat semua anak berdarah perantau)

LELAKI SABAH : Selawat dan Salam buat junjungan Nabi tercinta, Muhammad s.a.w. Salam Maulidur Rasul.

Wednesday, February 1, 2012

Manusia Petualang



Bismillahirrahmanirrahim

MENDUNG itu lebih banyak nikmatnya. Menutupi sinaran panas dari menembusi kulit si petualang. Dia hanya tahu bercakap. Bijak bermadah. Hebat berlakon. Sisi pakaiannya mahal. Kulit badannya mulus. Ditemani si betina gempal. Berjalan ibarat manusia sempurna.

Tapi jujur, aku suka sangat lihat manusia ini. Permainannya cukup teratur. Disusun setiap rangkap mengikut hukum. Semuanya demi kuasa. Demi wang dan demi kemusnahan hambanya.

Senyumannya juga palsu, gerak badannya dipaksa. Bahkan, niatnya pasti sudah jauh terpesong.

Ahhhh....kau memang binatang. Dan kau lebih jijik dari binatang. Kau perlu ingat. Kuasamu itu bukan milikmu. Hartamu itu bukan milikmu. Milikmu hanyalah sepotongnya nyawa. Yang dipinjamkan dari Tuhan.

Sedarlah. Cukup-cukuplah. Manusia perlukan keadilan. Perlu pertimbangan yang ikhlas. Usah dimatikan semangat manusia. Sekali kau senyum, sejuta rakyatmu menangis. Sekali kau bersuara, sejuta rakyatmu menderita.

Kami mahu pulang. Mahu keluar dari kepompong ini. Terima kasih buatmu sang pemusnah. Matikan saja demokrasi itu, dan julanglah semangat republikan. Itu mungkin kemahuanmu.

LELAKI SABAH : Dunia ini akan bergoncang setiap kali manusia sepertimu menari.

Saturday, January 7, 2012

Berani Berubah


Bismillahirrahmanirrahim

RESAH dalam hati hanya Tuhan yang satu. Tuhan juga tahu nasib yang belum berlaku. Sebagai manusia, aku sedar akan hakikat hukum karma. Juga percaya kepada Qada dan Qadar.

2012 sudah memulakan agenda. Berlari meninggalkan manusia-manusia yang kelaparan dunia. Tidurlah jika itu yang terbaik. Dan bangkitlah jika hidupmu mahu diubah.

Tahun ini adalah fasa penting bagi aku. Di mana segala penentuan akan berlaku. Soal aku berjaya atau tidak, aku sudah berusaha.

Doa aku ringkas, mohon pada Ilahi agar aku diberikan cukup kekuatan untuk hadapinya. Sebagai seorang hamba kepadaNya. Sebagai seorang isteri kepadanya dan sebagai seorang bapa kepadanya.

Moga saja, darah perantau yang ada dalam diri aku akan kekal. Untuk mencari rezeki di tempat orang. Diselamatkan dunia dan akhirat. - Amin

LELAKI SABAH: Jangan bercakap soal kesusahan kerana Tuhan telah berikan kamu nyawa.

Saturday, September 17, 2011

September Itu Indah

Trio Perantau

SEPTEMBER bulan yang diindah. Bulan yang cukup bernyawa dengan pelbagai nilai gembira.

Diawalnya aku bersuka ria. Bersama dua insan tersayang menyambut Syawal. Perjalanan jauh Bangi-Kuala Terengganu menghiasi hari-hari awal Aidilfitri kami. Hidup umpama perantau dan menikmati kehidupan dengan rasa syukur.

Paling indah pastinya 6 September. Tarikh dimana lahirnya zuriat terindah ciptaan Tuhan. Naufal Zafran namanya. Dia berdiri, berlari, bak orang dewasa yang semakin ligat. Setiap percakapan mula disusun dengan gerak badan menampakkan kesungguhan.

Tahun ini tahun keempatnya bersama kami. Terima kasih Allah kerana penjagaanmu kepada zuriat kami. Buat isteri, Noranita Awang..inilah nyawa kita. Peliharalah sebaiknya seperti mana kita dipelihara oleh orang tua kita.

Tuhan. Aku sekali lagi berdoa, moga di tahun ini diberi lebih banyak rezeki dan perlindungan buat kami bertiga. Juga buat keluarga terdekat, sanak saudara, rakan-rakan seperjuangan dan seluruh umat manusia. Peliharalah kami sehingga nyawa kami kembali kepadamu.

1 tahun


2 tahun


3 tahun


Alhamdulillah... Sekarang sudah 4 tahun.

LELAKI SABAH: Salam Lebaran. Salam Hari Lahir dan Salam Hari Malaysia.

Saturday, August 27, 2011

Bila Tiba Hari Raya


HUJAN rintik-rintik malam itu. Orang lain bersujud dengan badan yang suci, sedangkan aku berlari-lari mengejar duniawi. Orang kata, aku sudah lupa. Sudah lupa apa itu ibadah. Sudah lupa apa makna agama.

Aku juga sedar, Ramadan hanya sekali dalam setahun. Lalu, aku begitu takut untuk tinggalkan dosa di bulan ini. Takut aku gagal mendapatkan sesuatu dari bulan ini.

Aku hanya mampu menahan lapar dan dahaga. Dalamanku makin kotor. Permainanku makin menjadi-jadi. Aku sesekali sujud, meminta agar sezarah ibadah yang aku lakukan di bulan ini diterima Allah.

Aku pasti rindukan Ramadan. Moga sahaja Allah pertemukan aku dengan Ramadan yang lain. Dengan harapan, detik itu aku menjadi manusia sebenar. Yang tahu apa itu ibadah, apa itu agama.

Syawal. Hadir dengan cara berbeza. Di situlah detik kegembiraan seorang manusia. Di maafkan segala dosa sesama manusia. Di situ juga wujudkan keinsafan. Betapa perlunya ikatan kasih sayang untuk meraikan Syawal.

Aku mahu habiskan masa bersama mereka. Cukuplah dunia yang aku kejar selama ini. Biarlah aku rebahkan semua tenagaku untuk mereka berdua. Isteri dan Anakku.

Kesempurnaan aku bukan pada harta. Bukan juga pada kebendaan. Kesempurnaan aku adalah bertiga. Aku, dia dan dia. Biarlah kami bersama selamanya. Bergembira di hari mulia dengan cara kami. Doakan kebahagian itu akan kekal.

Seribu kemaafan dari aku dan keluargaku. Buat semua umat bernama manusia. Yang zahir hinggalah yang batin. Ikhlaskan setiap pemberian. Moga Allah merahmati semua manusia di dunia ini. Salam Aidilfitri.

Gembira dan menangis adalah kehidupan kami.


LELAKI SABAH: Kemaafan itu lebih indah dari segalanya.

Wednesday, July 27, 2011

Ramadan Sudah Datang

Bismillahirrahmanirrahim

SYUKURLAH dengan nikmat yang Allah berikan.

PETANG yang sunyi. Letih, sakit badan, tension dan tak ader mood. Tanda manusia mula bermain emosi. Semua yang disajikan tidak dipandang, jauh sekali mendapat perhatian.

Bersabarlah. Bulan Ramadan akan hadir juga. Letih akan menjadi segar. Tiada lagi sakit badan dan tension akan hilang begitu sahaja. Cuma....jaga sahaja mood itu agar Ramadan menjadi indah.

Aku. Buat kesekian kalinya akan menjadi aku. Berpuasa tunggal umpama si bujang telajak. Tiada erti sahur dan jauh sekali menikmati keselesaan berbuka. Apa yang penting, aku sempat berniat untuk berpuasa. Dan berbuka mengikut tempoh. Moga sahaja aku dapat menghabiskan Ramadan ini untuk melihat Syawal yang baru.

Buat isteri yang sabar menjadi 'ibu tunggal', bersabarlah kerana kebahagian sebenar terletak dalam hati. Buat anak yang semakin mengerti, jagalah ibumu seperti mana dia menjagamu.

Kawan-kawan kalian, Ramadan ini bukan semata-mata berpuasa. Inilah detik untuk kita berbaik dan menjernihkan mana-mana yang keruh. Kita berpuasa di alam yang sama dan kita berbuka di waktu yang sama.

Bezanya, kita mempunyai niat yang tidak sama. Di pihak aku, aku terlalu kotor dan biarlah aku dengan cara aku. Moga sahaja, kita sama-sama diberikan pahala. Pahala yang boleh membantu kita untuk berjumpa di dunia sana. Insyallah.

LELAKI SABAH: Yang lapar bukannya perut dan yang haus bukannya tekak. Salam Ramadan buat semua.

Saturday, July 16, 2011

Aku Sudah Penat

Bismillahirrahmanirrahim

MALAM ini malam Nisfu Sya'ban. Malam penuh pengampunan. Dijadikan malam ini buat kita semua. Terutamanya aku sebagai insan kotor.

Aku cukup lemah untuk hidup. Cukup lemah untuk memikirkan semuanya. Semangatku kadang kala hilang, seperti enggan lagi berkawan dengan aku.

Mungkin saja, aku sudah bosan. Atau aku perlu berputus asa dengan apa yang aku kejar. Semua orang ada kehidupannya. Tapi kehidupan yang aku lalui penuh lakonan. Siapa aku dan siapa yang tahu pasal aku?

13 Julai sudah berlalu. Titipkan salam buat semua keluarga dan rakan yang menghulurkan doa. Moga saja apa yang diucapkan itu diterima Allah.

Jujur aku katakan, aku bukanlah manusia yang suka meminta-minta. Jauh sekali untuk dilayan seistimewa orang lain. Cukup bagiku kepercayaan dari orang yang aku sayang. Perhatian dari orang yang aku sayang dan kasih sayang dari orang yang aku sayang.

Iya..mulutku kadang kala bacul. Perangaiku kadang kala umpama pengkhianat. Malah, hatiku busuk dan suka mendengki. Itu kelemahan aku. Dan itu dosa yang perlu aku tanggung.

Tapi percayalah. Hidupku penuh pendirian dan semangatku juga cukup terhad. Buat mereka yang sering dipaksa, hanya kesabaran yang aku minta. Bila mana semangat itu hilang, aku akan pergi juga.

Hari ini, kita masih boleh bernafas. Diizinkan Tuhan, kita akan terus bernafas. Satu udara di bumi Tuhan. Masa itu akan tiba dan pendirian itu juga akan bersuara. Waktu itu, aku lupakan semangatku buat seketika, kerana aku juga manusia biasa.

Berdirilah dengan kehidupan asal masing-masing. Ketawa dan bersedihlah mengikut naluri masing-masing. Kerana apa, kerana dunia aku bukan di sini.

JANGAN biarkan dia jadi sepertiku

Lelaki Sabah: Selendang itu boleh jadi tuala, tapi tuala itu tidak mungkin menjadi baju.

Sunday, July 3, 2011

Semua Tentang Julai



Bismillahirrahmanirrahim

AKU HAMPIR TERLUPA
BAHWA JULAI SUDAH BERMULA
BULAN PENUH MAKNA
ANTARA AKU, DIA DAN MEREKA

DI SINI SEMUA ADA
SUKA DUKA DAN JUGA GEMBIRA
DI SINI SEMUA PENUH BERMAKNA
CERITA AKHIRAT DAN JUGA DUNIA
CERITA JASAD MAHUPUN NYAWA

AKU LAHIR DI BULAN INI
TANGGAL 13 TAHUN MASIHI
SUDAH DEWASA PENUH BERISI
LUAR DALAM AKU TEROKAI
JUMPA MANUSIA YANG INDAH BERSERI

TAPI SAYANG
DI BULAN INI AKU TELAH HILANG
PERGINYA IBU DI USIA MATANG
TINGGALKAN KAMI DI WAKTU TENANG
MALAM SIANG AKAN DIKENANG
IBU...KAMI AKAN SENTIASA SAYANG

JUGA DI BULAN INI
AKU HILANG LAGI SEKALI
SEMANGAT, KEPERCAYAAN PENUH HAKIKI
DARI MANUSIA DIHUJUNG BUMI
BUKAN SEKALI, TAPI BERKALI-KALI
MANUSIA PERGI SELEPAS DIKHIANATI
TINGGAL AKU MENANGIS SENDIRI
ANGKARA PERBUATAN PENUH KEJI
SILAP SIAPA TANYALAH HATI
JANGAN KESALI JANGAN TANGISI
HIDUP KOSONG BERMULA HARI INI

TUHAN
BERIKAN SEDIKIT REZEKI
JUGA HIDAYAH UNTUK BERBUDI
AKU PASRAH DENGAN UJIAN INI
SEMUA DITENTUKAN OLEH ILAHI

TAPI....
DOAKU TAK PUTUS MALAM DAN PAGI
MOGA ADA PELUANG SEKALI
UNTUK JADI MANUSIA SEJATI

TERIMA KASIH JULAI

Lelaki Sabah: Tanpanya...dunia ini kosong

Wednesday, June 15, 2011

Dunia Mula Bersuara

Bismillahirrahmanirrahim

BENAR...
DUNIA AKU BUKAN DI SINI
YANG NYATA DAN JELAS SEGALANYA

TAPI KAWAN
AKU MASIH BERAKAL WARAS
JUGA MASIH PUNYA AKIDAH
AKU BERDIRI DI TANAH ALLAH
DIHUNI MANUSIA BERNAMA TERENGGANU

PASTI
DI TANAH INI REZEKI AKU
DI TANAH INI JUGA DUNIA AKU
AKU TIDAK BOLEH HIPOKRIT

MAKA KAWAN
AKU AKAN BERTARUNG NYAWA UNTUK TANAH INI
DENGAN MODAL PENA DAN FIKIRAN
JADIKAN DARUL IMAN SEHEBAT NAMANYA
BIAR NANTI ANAK DAN CUCUKU BERKATA
DI TANAH INI MOYANGNYA BERJUANG

AKHIRNYA
HITAM PUTIH AKAN MENJADI KEHIDUPAN
HITAM PUTIH JUGA MEMBAWA KEJAYAAN
JANJIKU PADA TANAH INI
SELAGI HAYAT DIKANDUNG BADAN
TANAH INI AKAN KU JULANG

Di bawah runtuhnya stadium ini, kita bina wilayah baru

Lelaki Sabah : Di mana bumi dipijak, disitu langit dijunjung...AllahuAkhbar

Thursday, May 26, 2011

Gua Dah Kata Dah...

INI gambar beberapa minit sebelum berlepas. Saje kaburkan sebab kami sendiri masih kabur dengan peluang untuk menang.

Bismillahirrahmanirrahim

KETIKA itu, jam menunjukkan pukul 6 pagi, dan gua sedang duduk di sebalik tembok batu sambil menunggu seseorang. Lebih kurang setengah jam, dia pun datang. Kami menuju ke lokasi kedua, menjemput dua lagi rakan.

Lengkap berempat. Gua, Jijul, Jaidi dan Pejal menuju ke destinasi utama. Balai Berita NSTP untuk Pencarian Harta Karun Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJ) 2011. Peliknya, kami adalah pasukan pertama yang tiba. Dalam hati gua berkata.." Ini tanda-tanda nak menang lah"...

Pendekkan cerita. Perjalanan sehari dari KL ke Melaka berlanjutan selama tujuh jam. Macam-macam karenah dan perangai gua sajikan. Ada yang bengang, ada yang menyampah. Rileks bro...hidup mesti enjoy..

Malam itu, bertempat di Dewan Besar Hotel Abadi, Melaka Raya, seluruh dewan tergaman. Melihat empat 'ekor' lelaki bersorakkan. Gua memang tak percaya. Jijul lagilah. Jaidi macam mimpi dan Pejal sampai tak boleh bangun.

Selepas hampir sedozen percubaan, inilah kali pertama kitaorang jadi juara. Bukan top 5 dan bukan top 3, tapi No. 1.

Jadi, siapa kata 'budak kampung' macam kami tak pandai Bahasa Inggeris. Sapa kata 'budak mentah' macam kami tak reti cari tresure..Semuanya sudah terbukti. Dan mimpi itu telah menjadi kenyataan. RM3k jadi habuan.

GAYA perlu untuk menjadi juara.

BEBERAPA minit sebelum diumumkan juara.

AKHIRNYA...Penantian itu berakhir di Kota Melaka.

LELAKI SABAH: Tahniah juga buat Zainol and The Geng, Pejal Kajai dan Basir and The Family.

Thursday, May 5, 2011

Kecelakaan Seorang Binatang

Bismillahirrahmanirrahim

PAGI itu gua berjalan. Melihat seorang gelandangan tidur di bangku. Persis manusia wajahnya. Ada segala-galanya. Cuma, terkilan rasa gua melihat nasibnya. Umpama binatang tanpa nama.

Dia menunggu waktu 12 tengahari. Rasanya, mahu masuk ke kandang mencari teman. Pelik gua lihat. Semangat sungguh. Dari belantara datangnya, ke dunia moden milik temannya.

Bertemu teman. Senyum gua melihat binatang itu. Terkelu-kelu lidahnya. Kemaruk juga rasanya. Mungkin ini kali pertama baginya, atau juga, mungkin sudah lama tidak merasa.

Tapi indahnya tidak lama. Gua lihat lagi. Binatang itu berpeleseran. Di ajak menjadi gembala, binatang itu degil berjalan sendirian. Kononya hebat. Dunia moden ini bukan temanmu binatang. Kau mau pergi mana? Kau mau makan di mana? Sudahlah...pergilah ke kandang tempat temanmu.

Hampir 30 jam berlalu. Gua terus melihat. Gelagatnya makan bak binatang kuno. Diketawakan. Disiniskan. Dan mungkin juga dihinakan. Biarlah binatang, dunia mu bukan di sini.

Malam itu, gua sudah mengantuk. Dan episod binatang itu juga bakal berakhir. Kau baliklah ke kandangmu. Tiada restu buatmu.

Kini.....binatang itu bersendirian rasanya. Kejap dunianya putih, kejap menjadi hitam. Salah dirimu binatang. Bersyukurlah dengan apa yang telah diberikan padamu. Dan terimalah kecelakaanmu sebagai seorang binatang.

LELAKI: Dua tanda itu mungkin hilang, tapi "but i'm not" akan kekal selama-lamanya. RIP

JANGAN pandang-pandang, jangan pegang-pegang

Thursday, April 28, 2011

Dibuang atau Membuang

Bismillahirrahmanirrahim

CIKGU gua kata, jangan buang sampah merata-rata.
USTAZ gua kata, jangan membuang sampah merata-rata.
KAWAN gua kata, jangan dibuang sampah merata-rata.

dan

GUA pun berkata, gua tak pernah membuang tetapi sering dibuang.

LELAKI SABAH: "jangan datang sini.............."

Saturday, April 16, 2011

Lu Jadi Mangsa Demokrasi

Bismillahirrahmanirrahim

WAKTU itu sudah malam. Dia hanya menguap dengan nada sedikit letih. Tapi Jantan itu terus mengasak. Bertubi-tubi hingga temannya berdiam diri. Jantan itu tidak berputus asa. Sedikit lagi, usahanya akan berjaya.

Gua dari jauh hanya memerhati. Melihat kisah dua manusia berbeza pendirian. Si Jantan penuh mustlihat. Bermain kata-kata dengan nada penuh kesedihan. Modalnya cuma ihsan. Modalnya juga istilah kesian.

Memang kesianla gua lihat. Muka hensem tapi hati penuh taman. Dalam hati gua sempat berkata.."Wei bengong...lu cari je yang lain. Jangan dipaksa orang yang ada prinsip.."

Tapi Jantan tu enggan mengalah. Ditukar taktik secara tiba-tiba. Kononnya umpan akan mengena. Alasan terbaru disuarakan. Katanya, biar terima dimulut...di hati tidak perlu"

Hahaha..gua boleh agak...kejap lagi Jantan tu akan kena..

Tup..Tup...Tup...Jantan tu kena tampar. Jatuh kelakiannya. Tuah yang dicari, sebaliknya bala datang menimpa. Gua perhatikan saja, sambil menangis, Jantan tu berpaling. Dia pergi tanpa menoleh ke belakang.

Gua tahu..maruahnya sudah tercalar. Prinsipnya sudah tergadai. Rendah dirinya kerana sikap sendiri. Inilah nasib mu Jantan. Lu memang BENGONG!!!!


PERCAYALAH...Insan ini tahu apa yang dibacanya.

LELAKI SABAH : Jangan malu jadi orang bengong yang kuat berusaha.

Tuesday, April 5, 2011

Kenyir Itu Bernyawa

Apabila Petronas bertemu Media.

Bismillahirrahmanirrahim

MASA gua kecil-kecil dulu, ada dua tempat di Malaya ini yang gua mau jejaki. Pertamanya, puncak Kinabalu. Dan kedua, pastinya Tasik Kenyir.

Memandangkan Kinabalu terletak di negeri gua, maka hajat itu sudah lama tercapai. Dan Kenyir, sebuah tasik penuh lagenda baru sahaja gua jejaki. Terima kasih Petronas. Terima kasih Kawat dan terima kasih semua.

Kenyir. Penuh lagenda. Kedalamannya menjangkau 150 meter. Orang kata, ada naga di Tasik Kenyir. Orang juga kata, ada puteri di pulau-pulau di Tasik Kenyir. Benarkah?

Semalaman gua di Kenyir. Merentasi gelombang air yang tenang. Menjejaki pulau yang masih bernyawa. Melihat air terjun ciptaan Ilahi. Dan meneroka pesona penghuni misteri.

Gua tak jumpa naga. Jauh sekali puteri. Apa yang gua jumpa adalah kehidupan. Kehidupan sebuah dunia penuh peraturan. Setiap perjalanan perlu dirancang. Setiap perbualan perlu diperlahan. Dan buanglah egomu tak kala merentasi dunia Kenyir.

Buka matamu. Sejukkan mindamu. Lihatlah.....inilah sebenarnya sebuah dunia. Di dalamnya tersimpan seribu misteri. Siapa berani menghancurkannya. Siapa berani menerokanya. Ia adalah milik Tuhan.

Ingat...nikmati sahaja apa yang dilihat. Dan lupakan niat merompak yang tersirat.

Gua sentiasa terfikir. Bagaimana boleh manusia bertindak sehebat ini. Mengumpul berjuta-juta billion air. Disatukan di sebuah tasik sehingga bukit dan gunung menjadi lemah. Subahanallah. Maha Suci Allah. Pencipta Langit dan Bumi dan segala isinya.










LELAKI SABAH : Gambar-gambar adalah milik Telusuri Terengganu dan Kak Sham. Terima Kasih.

Monday, April 4, 2011

Muka Legend...Hati Ciut

BERDIRI sama tinggi, duduk sama rendah

Bismillahirrahmanirrahim

MALAM itu hujan turun renyai-renyai. Gua berjalan berdua. Bersama seorang teman dari Utara. Masuk stadium, duduk tempat biasa. Mata bersedia melihat pergerakkan di atas padang. 22 pendekar bersiap sedia. Dan wisel pun berbunyi. Pertempuran bermula - T-Team menentang Sabah.

Minit berlalu. Tuan rumah di hadapan. Bersorak empunya lapangan. Tanda meraikan gol pertama. Hati gua berdebar. Berselang minit kemudian, empunya lapangan bersorak lagi. Gol kedua dicipta. Gua bertambah berdebar. Di penghujung babak pertama, lagi bersorak segenap stadium. Kali ini, untuk gol ketiga. Hancur harapan gua.

Gua tetap senyum. Rakan-rakan ditepi juga tersenyum. Bezanya adalah niat. Niat gua sudah lari. Senyuman gua juga tidak ikhlas. Melihat negeri kelahiran gua dijinakkan. Mau menangis, lelaki jadi penghalang. Tugasan perlu diteruskan. Yang kalah tetap kalah. Yang tewas, perlu cuba lagi.

Sedih. Hiba. Kecewa. Semuanya bersatu dalam hati. Membuatkan gua pening seketika. Perjalanan jauh disudahi dengan kekecewaan. Tiga berbalas kosong. Kena terima seadanya.

Tapi gua ada semangat patriotik. Berdoa terus berdoa. Moga di hari lain rezeki menyebelahi gua. Menyebelahi negeri gua. Membalas kecewa di lapangan orang. Di depan gua sendiri. Moga akhirnya, gua ikhlas membuat kerja.

Percayalah..badan gua memang di sini, tapi hati gua bersama kamu. Kita berjuang di negeri orang. Demi maruah dan harga diri.

SABAH Tanah Airku. Negeri Kita Yang Tercinta


JANGAN pandang belakang kerna duniamu ada di hadapan

LELAKI SABAH : Menang bukan kerana kamu menang, tapi menang kerana kamu pernah kalah

Saturday, April 2, 2011

Basikal oh Basikal

GUA tak suka biru, sebab hati gua tetap bersama Hijau


Bismillahirrahmanirrahim

BUDAK di kampung semua sudah ada basikal. Gua ngan abang gua hanya mampu menengok. Sekali sekala, bolehlah pinjam. Tapi tak brapa best sebab bukan hak milik.

Mungkin sebab kesian, bapa gua belikan satu basikal. Colour hitam. Harga time tu dalam RM150. Maknanya, gua kena kongsi ngan abang gua. Kalau dia tiada, baru gua dapat main. Tapi tulah, basikal kongsi. Mana best. Lama kelamaan, basikal itu bertukar hijau. Gua cat sendiri. Guna cat rumah. Memang hancur.

Itu kenangan 20 tahun lalu. Gua pun tak sure basikal tu masih ada or tak. Tapi setahu gua, basikal tu mungkin masih tersimpan dalam stor di kampung lama. Bercampur barang-barang lusuh dengan reban ayam.

Sekarang gua ada di negeri orang. Negeri yang penuh dengan bakat-bakat hebat dalam lumba basikal. Sini ada Azizulhasni. Ada Anuar Manan. Ada Fatehah. Semua ada. Team basikal pun ada kat sini.

Di sini, gua selalu nampak budak-budak main basikal. Orang panggil basikal nyamuk. Macam-macam colour ada. Hitam, kuning, merah...hijau pun ada.

Satu hari tu. Gua dijemput penganjur untuk hadiri satu program. Program berbasikal kata mereka. Gua datang dengan selamber. Bawa jurugambar bersama. Dengan niat, ada cerita yang boleh ditulis.

Tup...tup...Gua sudah kena panggil. Ingat nak buat sesi wawancara. Tau-tau, gua kena suruh lepaskan bebudak. Maknanya, gua kena pegang bendera negeri ini. Hitam putih warnanya. Sedia.....1...2...3.

Mereka pun berlumba. Ada yang jatuh. Ada yang kepenatan dan ada yang gembira. Bagi gua, gua puas hati. Dapat lihat dari dekat bebudak lumba basikal.

Gua rasa bertuah. Mungkin saja bebudak yang gua lepaskan tu akan jadi macam Azizulhasni. Jadi macam Anuar Manan. Kalau dorang berjaya kelak, gua boleh tumpang gembira.

BASIKAL bukan kegemaran utama gua


GUA anak Keningau, tapi gua boleh pegang bendera Hitam Putih

LELAKI SABAH: Rindu kenangan di kampung. Bapa gua berpeluh ajar gua naik basikal sehingga gua boleh berkayuh. Terima kasih Pak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...