Thursday, January 27, 2011

Dia Darah Dagingku

HITAM putih sebuah kehidupan bernama keluarga


"MU ambiklah gambar puas-puas", luah seorang tertuduh ketika beberapa rakan media merakamkan gambarnya. Dia sempat melemparkan senyuman pada ketika pergelangan tangannya digari. Dengan berbaju ungu tanda dirinya Orang Kena Tuduh (OKT), lelaki itu berjalan sambil diiringi beberapa anggota polis.

Aku yang datang sejak pagi tadi hanya memerhatikan kisah itu. Aku duduk dikerusi bersama beberapa manusia lain. Semuanya berpakaian formal walaupun kerja hakiki manusia-manusia itu hanyalah nelayan dan petani.

Seketika kemudian, aku terdengar suara seorang wanita di tepiku. Sambil berloghat tempatan, dia cuba meluru ke arah lelaki yang digari itu. Dengan wajah sedih, dia seakan-akan mahu memeluk lelaki itu. Aku terpegun dan terkejut dengan tindakan wanita itu.

Dalam hati aku berkata, siapalah wanita ini. Aku cuba keluar dari kepompong tugasanku sebagai seorang wartawan untuk seketika. Aku mahu menjadi manusia biasa pada hari itu. Sambil cuba merapatkan diri dengan wanita itu, aku sempat mendengar beberapa ayat yang keluar dari mulutnya.

Malangnya, aku tidak ingin dedahkan apa yang dikatakan oleh wanita itu. Cuma apa yang aku ingin kongsi adalah perasaan wanita itu. Sayu aku mendengarnya dan baru aku tahu betapa besarnya nilai perasaan wanita yang ku lihat itu.

Aku juga sempat melihat 'benda' yang dipegangnya dari tadi. Rupa-rupaya 'benda' itu adalah sebungkus plastik mengandungi kuih muih dan minuman yang telah dibungkus.

Ahhh....apa lagi yang aku ingin katakan. Aku sudah tahu jawapan kepada tindakan wanita itu. Dia adalah anak kepada lelaki yang digari. Dan tujuannya datang ke mahkamah itu adalah untuk memberikan makanan dan minuman kepada ayahnya.

Sejujurnya, wanita itu tahu ayahnya adalah seorang pesalah jenayah, tetapi hati nuraninya tidak pernah menganggap ayahnya seorang pesalah. Apa yang dia tahu, lelaki itulah yang pernah memberikannya makanan. Membesarkannya dan menjadikan dirinya manusia.

Dan apa yang aku boleh katakan, wanita itu memiliki tanggungjawab sebagai seorang anak. Anak yang tidak mahu perut ayahnya kosong dan anak yang rindukan ayahnya.

Mungkin saja wanita itu lega kerana berpeluang menatap wajah ayahnya, namun jauh di sudut hatinya, dia tetap menangis kerana bekalan makanan yang dibawanya tadi langsung tidak dapat disentuh oleh lelaki bergelar ayah itu.


LELAKI SABAH: Siapa pun dia, jahat sekalipun dia, dia adalah darah dagingku.

KEBAHAGIAN bukan untuk dinikmati tetapi untuk dihargai

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...