Tuesday, October 26, 2010

Wanita dari Ayangan

SEBUAH kehidupan akan sempurna dengan
adanya insan bernama wanita.


Wanita dari Ayangan

Kawan
Kau berikan aku sarapan
Ditatang jauh dari Kota Ayangan
Kau bawa dengan penuh harapan
Tanpa jemu, lesu dan kepenatan
Melayan karenah lelaki kelaparan

Kawan
Disisi mu tersimpan segunung harapan
Kau diam tapi mekar senyuman
Ungu di mataku, merah jambu ditangan
Tanda ikatan sebuah hubungan
Terjalin mekar tanpa sempadan
Antara manusia kaum berlainan

Kekasih
Kau tabah berdoa tanpa bersedih
Dari hatimu yang suci dan bersih
Cinta bertaut tanpa pernah bersilih
Kejayaan diimpi akhirnya diraih
Menara gading tempat kita berlatih
Demi masa depan pasangan kekasih

Tunang
Akhirnya disimpul ikatan hubungan
Rumah biru nun jauh di Kota Ayangan
Sebentuk cincin kuning tanda ingatan
Senaskah Quran buat pedoman
Moga hubungan direstui Tuhan
Dijauhi hasutan iblis dan syaitan
Sehingga terjalin sebuah impian

Isteri
Di bulan Disember disinari mentari
Rombongan bertandang berjalan berlari
Dijulang bak raja penuh tradisi
Diapit rakan harum berseri
Berbaju kuning sepanjang hari

Isteri
Puteri Ayangan berwajah seri
Kau senyum girang inai dijari
Keluar menghadap si raja sehari
Sedih wajahpun penuh bererti
Tanda berakhir sebuah mimpi
Menjadi milik si lelaki misteri

Ibu
Sebulan berlabuh wajahmu lesu
Tanda kehadiran insan yang baru
Berat matamu bebanan di bahu
Berjalan sendiri dengan izin restu

Ibu
Hati gersang menahan rindu
Sehingga September hadir bertamu
Lahirlah insan berwajah melayu
Lengkapkan hidup penuh berliku
Dia, engkau dan juga aku

-mustapa lakawa-
8.32pm, 26 Oktober 2010
Kuala Terengganu

LELAKI SABAH: Semuanya bermula dengan gurauan sehingga tercipta sebuah kehidupan.

Sunday, October 24, 2010

Duhai Si Mata Manusia

Biarkan air mata itu mengalir

DUHAI SI MATA MANUSIA

Tidurlah wahai sang mata
Lenakan kepenatan buat sementara
Manjakan kesengsaraan disudut beranda
Kerana engkau cukup berjasa
Menjadi alat si nafsu manusia

Tidurlah wahai sang mata
Tugasanmu selesai cukup sempurna
Engkau tidak perlu lagi berjaga
Engkau tidak perlu lagi sengsara
Biarlah akal mencari tugasnya

Tidurlah wahai sang mata
Kita di Timur, bukan di ibu kota
Syurga segala lakonan manusia

Di ibu kota
Akan ku biarkan engkau berjaga
Sehingga malam menjadi senja
Saksikan saja si hawa bermaharajalela
Si rempit bangga bertongkat seroda
Yang tua berpeluh bermain tenaga
Bergoyang sakan di disko lama

Tidurlah wahai sang mata
Kasihanlah pada si ibu muda
Mendodoi anak tanpa ayahnya
Siang berjaga, malam derita
Miliki suami bermata buaya

Tidurlah wahai sang mata
Biarkan badan berehat seketika
Kerana esok engkau perlu berjaga
Mencari rezeki kurniaan Allah

Tidurlah wahai sang mata
Di padang Masyhar engkau diguna
Menjawab pertanyaan perbuatan manusia
Dari Pencipta Yang Maha Kuasa
Jika pahala tempatmu syurga
Neraka menanti manusia berdosa

-mustapa lakawa-
5.10pm, 24 Oktober 2010
Kuala Terengganu

LELAKI SABAH: Kelesuan dan kesedihan menjadikan kita lebih peka dengan alam dunia.

Monday, October 11, 2010

Cerita Sebuah Nyawa

BERAT sama dipikul, ringan sama dijinjing - Gambar Hiasan (IndraNte)

DUNIA memang sempit. Memang aneh dan penuh warna warni. Di dalamnya tersimpan seribu kisah. Kisah manusia yang perlukan semangat untuk hidup. Perlukan teman untuk hidup dan perlukan sahabat untuk hidup.

Tiada apa yang penting di dunia ini melainkan kehidupan. Dibina atas dasar kepercayaan yang dimulakan dengan satu permainan. Mahir mengatur permainan, kejayaan dan kerjasama akan dikecapi.

Namun, permainan itu mungkin tidak lama, kerana ia akan berakhir apabila sampai masanya. Akan tetapi, pengakhiran itu nanti pasti meninggalkan kesan. Baik kepada aku, dia dan mereka.

Lupakan segala kenangan kerana semua itu tidak boleh lagi dijadikan fakta. Fakta hakiki kini adalah muktamad. Pendirian yang pastinya dikekalkan demi sebuah maruah. Demi kelangsungan hidup yang akan dibina semula.

Lama juga ia bertahan. Dihiasi permainan emosi daripada beberapa nyawa. Semuanya secara kebetulan, tetapi air itu telah menjadi beku. Zarah-zarah telah bersatu daripada beberapa nyawa sehingga membentuk entiti yang cukup kukuh.

Kukuh dalam erti kata lain mampu menumbangkan sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya. Nyawa-nyawa itu juga cukup menebal sehingga setiap isinya dikongsi. Ia menjadi satu kuasa yang dibentuk atas dasar kepercayaan.

Kepercayaan itu menjadi saluran untuk bernafas. Digunakan oleh beberapa insan yang amat memerlukannya. Namun, satu demi satu nyawa itu berakhir. Satu tradisi yang tidak boleh dielakkan.

Apapun, ia masih bertahan untuk suatu ketika. Dikekalkan oleh beberapa nyawa yang pernah disanjung oleh komuniti manusia-manusia jalang. Saling bertaut demi membawa perjuangan.

Namun, tradisi sekali lagi tidak boleh dielakkan. Pengorbanan perlu dilakukan. Ini bermakna, nyawa itu perlu dileraikan. Biarkan nyawa-nyawa itu membawa haluan masing-masing.

Pengalaman menjadikan nyawa itu dewasa dan kini nyawa itu sudah cukup matang. Tiada lagi kebergantungan. Pendirian dan maruah perlu dikekalkan. Hidup mesti diteruskan.

Kini, semuanya sudah berakhir dan perbezaan pendirian telah membawa kepada satu bencana yang mengejutkan semua. Nyawa itu perlu berdiri sendiri, meneruskan apa yang dinamakan kehidupan.

Tidak kira siapa pun dia, nyawa itu sebenarnya masih ada. Dengan pengalaman dan kekuatan yang ada dalam diri, nyawa itu masih boleh bernafas. Dia mungkin kehilangan semuanya, namun nyawa itu masih punyai maruah.


LELAKI SABAH : Selera mereka biasanya serupa namun rezeki dan nasib mereka pastinya bebeza.

Friday, October 8, 2010

Oktober memang satu tragedi


ADA apa pada Oktober. Bulan kesepuluh dalam kalendar Gregory dan merupakan antara bulan yang mempunyai 31 hari. Dalam bahasa latin, Oktober bererti Octo yakni kelapan dan hakikatnya Oktober merupakan bulan kelapan dalam kalendar Rom.

Bagi aku sendiri, Oktober tidak lebih daripada sebuah bulan seperti mana bulan-bulan lain. Didalamnya ada kisah duka dan didalamnya juga tersimpan seribu kisah gembira.

Tapi bulan Oktober pada tahun 2010 ini aku kategorikan sebagai bulan penuh dugaan. Aku dihambat pelbagai permasalahan yang akhirnya menyebabkan aku terduduk sendirian.

Ada yang pergi dengan tiba-tiba dan ada yang terpaksa berkorban menanggung segala derita.
Ada juga yang terperangkap asbab kebatilan diri sehingga kepercayaan menjadi pertaruhan.

Di akhirnya, Oktober pasti tersenyum kerana mampu meneruskan tradisi sebagai bulan tragedi. Bukan pada semua orang, tapi pada orang-orang yang sombong dan sering lupa diri seperti aku.

LELAKI SABAH: Disember bulan untuk seseorang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...