Thursday, March 25, 2010

Hujung Bulan Yang Derita...

SETIAP manusia telah ditentukan rezekinya.

HARI ini (25 Mac), hatiku girang seketika. Girang kerana akuan bankku yang didaftar atas nama Maybank berisi. Syukur kepada Tuhan kerana masih memberikan rezeki kepadaku.

Aku puas sebab dengan duit inilah aku dapat menyara isteri dan anakku serta keluargaku dikampung. Sekurang-kurangnya kami masih boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna untuk tempoh sebulan ini.

Begitupun, bermulanya hari ini juga bermakna aku akan melalui satu minggu yang memenatkan. Dalam istilah jiwang, hatiku mula derita dan jiwaku akan merana.

Ia akan bermula pada 27 Mac (Sabtu) ini apabila aku bersama keluarga media yang lain menyertai program candat sotong. Baca di sini.

Wah...selama 30 tahun hidup di dunia, inilah kali pertama kelakianku diuji. Bukan apa, aku bukanlah anak laut yang biasa dengan gelora dan permainan ombak..tapi aku hanyalah anak bukit yang hanya mengenali sungai kecil dan bukit bukau.

Aku berharap, mabuk laut yang memang ku jangka akan menimpa diriku tidak akan menganggu rakan-rakan yang lain dalam misi mencandat sotong.

Ikut jadual, program itu akan bermula pada 1 tengah hari dan seperti aku dimaklumlah, ia hanya akan berakhir pada subuh 28hb (Ahad).

ADAKAH aku bernasib baik seperti wanita ini? - Gambar hiasan

Beberapa jam selepas program mencandat sotong itu, aku akan bergegas ke Lapangan Terbang Sultan Mahmod untuk terbang ke Kuala Lumpur. Tujuan ku bukanlah untuk bercuti, tetapi untuk menghadiri jemputan ke Majlis Anugerah Blog4FT pada sebelah malamnya.

Program ini secara dasarnya melibatkan aku dan blogger-blogger lain. Kami sama-sama berjuang untuk mencari kemenangan mutlak selepas hampir lima bulan bertarung. Apa-apapun keputusannya, ia adalah rezeki semata-mata.

ANTARA blogger senior dan junior yang akan menghitung nasib pada malam Grand Final Blog4FT 28 Mac ini. - Ihsan Emila Yusof

Pada paginya iaitu 29hb (Isnin), aku terpaksa lagi bergegas ke Kuala Terengganu untuk kembali bertugas di pejabat Kosmo!. Bukan apa, pada 30hb (Selasa) dan 31hb (Rabu), aku akan menyertai satu rombongan media ke Kerteh atas anjuran Petronas.

Pelbagai program telah diatur untuk kami termasuk melawat loji petronas selain aksi persahabatan boling yang secara kebetulannya dikendalikan oleh legenda lompat jauh dan kijang, Bro Zaki Sadri.

Secara keseluruhannya, program-program yang akan aku lalui sepanjang minggu ini memang best. Tetapi ia memerlukan pengorbanan yang tinggi daripada aku. Namun, jauh di sudut hati aku, aku sentiasa meletakan tugas hakiki aku sebagai wartawan di tempat teratas.

Aku hanya berdoa agar aku dapat melalui setiap program ini dengan selamat tanpa sebarang yang tidak diingini.

LELAKI SABAH: Tidak sabar menanti bulan Jun kerana di bulan itulah segala-galanya akan diketahui. Jun bermakna aku akan kembali ke Sabah bersama teman seperjuanganku, Wan dan Zul. Jun juga bermakna bermulanya sukan lelaki, Piala Dunia 2010 dan Jun juga bakal menentukan sama ada isteri aku akan jadi Orang Terengganu atau terus kekal di perbukitan Bangi.

SIAPA lebih layak menjulang Piala Dunia 2010. Michael Ballack (kapten Jerman), Didier Drogba (kapten Ivory Coast) atau John Terry (kapten atau bekas kapten England).

Saturday, March 20, 2010

Kasih Ibu Membawa ke Syurga

Di bilik inilah ibu mertuaku memperjuangkan semangat dan
kudratnya melawan kesakitan yang dialami.


ISTERIKU tabah menempuh dugaan yang dialaminya saat ini.


AKU cukup kenal dengan isteriku, Noranita Awang. Malah cukup kenal dengan sikap dan perangainya. Air matanya sangat mudah mengalir. Aku tegur, aku marah, aku gembira dan aku sedih, air matanya akan mengalir.

Petang itu, air mata isteriku mengalir lagi. Kali ini, bukan sebab teguran aku ataupun kegembiraan aku, namun air matanya mengalir tanda kesedihan. Kesedihan seorang anak yang melihat kesengsaraan dan kesakitan yang dialami ibu kandungnya.

Sejak dua bulan lalu, ibu mertuaku terlantar di Pusat Jagaan Paliatif bagi menjalani rawatan susulan selepas pembedahan pada bahagian lehernya hujung tahun lalu. Sepanjang itu juga, ibu mertuaku yang biasa ku panggil 'Bu' terpaksa melalui hari-hari penuh menyeksaan.

Namun, ketibaan aku, isteriku dan anakku, Naufal serta kakak iparku, Ziah serta suaminya, Amad dari Kuala Lumpur pada petang Ahad lalu sedikit memberi semangat tambahan kepada ibu mertuaku.

Kesakitan dan kesengsaraan yang selama ini dilaluinya bagaikan hilang tiba-tiba saat melihat anak-anaknya berdiri. Sambil memegang tangan ibu, aku sempat melihat bagaimana air mata isteriku mengalir perlahan-lahan.

Dan pada ketika itulah, aku dapat merasakan bagaimana sayangnya isteriku pada ibunya, iaitu insan yang terpaksa ditinggalkannya sejak tiga tahun lalu untuk korbankan hidupnya bersama aku.

Apa yang pasti, setiap inci perkataan yang keluar dari ibu mertuaku kami amati perlahan-lahan. Setiap nadi dan hembusan nafas dari ibu mertuaku kami hargai sebagai seorang anak. Saat itu juga, aku melihat sifat wanita pada isteriku. Dia bersedih dan menangis setiap kali melihat ibunya.

Aku faham perasaannya sebagai anak kerana aku juga pernah melalui perasaan yang sama. Bezanya, aku tidak sempat berkata-kata dengan arwah ibuku sehinggalah ibuku menghembuskan nafas terakhirnya.

Bagi isteriku dan saudaranya yang lain, mereka masih ada peluang. Masih ada ruang untuk menunjukkan pengorbanan seorang anak kepada ibu yang telah melahirkan lapan insan bernama manusia.

Di saat itu juga, ibu mertuaku tidak memerlukan apa-apa daripada anaknya. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang dan sentuhan daripada setiap darah dagingnya. Kerana apa, kerana itulah kekuatan dan ubat sebenar bagi seorang ibu yang sedang menanggung kesakitan.

Insyallah, pada penghujung bulan Mac ini, ibu mertuaku bakal menghabiskan tempoh rawatannya di pusat tersebut. Ini bermakna, ibuku akan kembali ke rumah impiannya di Keningau.

Dan aku berdoa, kembalinya ibu mertuaku di rumahnya akan membawa semangat baru buat ibu untuk terus cekal dan tabah menempuh dugaannya. Sejujurnya, aku cukup bertuah dan bersyukur kerana telah dianugerahkan seorang ibu mertua yang begitu memahami akan diriku.

Mungkin saja aku boleh anggap yang aku cukup manja dengan ibu mertuaku kerana aku adalah menantu bongsunya. Malah, sejak pemergian ibu kandungku menghadap Ilahi pada tahun 2006, aku tidak punya lagi seorang insan bernama ibu melainkan seorang ibu mertua.

Sebagai lelaki yang dipertanggungjawabkan menjaga anak bongsunya, aku sentiasa berdoa agar ibu mertuaku akan cepat sembuh dan melihat anak serta cucu-cucunya melalui hidup-hidup yang penuh dugaan ini. Amin.


AKU dan isteriku sentiasa berdoa agar anak sulungku akan menjadi anak soleh yang akan menjaga kami suatu hari nanti.


LELAKI SABAH: Pada ketika insan lain bersedih, ada lagi insan di sebelah sana yang bergembira dan berseronok dengan kehidupan mewah bersama ahli keluarganya. Mungkin inilah yang dinamakan takdir kerana tidak semua apa yang kita inginkan akan menjadi milik kita.


KESAKITAN sebenar akan dirasai apabila kita ditinggalkan
berseorangan oleh insan yang kita sayangi.

Friday, March 5, 2010

Persahabatan tiada penghujung

Kalah menang tidak penting, yang penting persahabatan


Datang kosong, pulang pun kosong. Itulah erti persahabatan


HARI itu, semangat aku tiba-tiba memuncak. Memuncak semacam ada sesuatu yang menyeronokkan akan berlaku.

Mungkin bagi orang lain, ia cuma perkara biasa. Tapi bagi aku, hari itu cukup istimewa. Buat pertama kalinya dalam tempoh dua bulan selepas aku menjadi 'anak' Terengganu, aku telah dizairahi oleh sahabat-sahabat seperjuangan di meja sukan.

Ia bukanlah kunjungan yang disengajakan, tetapi nasib mungkin menyebelahi aku apabila perlumbaan le Tour de Langkawi memasuki negeri Kopok Lekor ini.

Ini bermakna, aku berpeluang berjumpa dengan sahabat lamaku, Shahril Nizam dan Fer.


Kisahnya bermula begini...

Petang itu sekitar pukul 5 petang, saudara Radhuan@Veron memberitahuku yang Shahril ingin berjumpa dengan ku di Hotel Primula. Secara kebetulannya pula, Veron telah bertemu Shahril di hotel yang sama ketika membuat liputan majlis MB.

Ahh...hatiku mula girang, Bukan disebabkan ingin mengepau duit kemenangan Shahril, tapi ingin berjumpa dengan sahabat lama. Sahabat yang banyak membantu kerja aku selama aku berada di meja Sukan.

Bagi aku, Shahril bukanlah siapa-siapa, tapi nilai persahabatan itu membuatkan pertemuan kami sangat best. Semua benda diceritakan, semua perkara dikongsi dan setiap pengalaman disatukan.

Kami sempat minum di tepi kolam selama hampir sejam. Satu perkara yang memang tidak pernah aku lakukan bersama Shahril di KL dulu. setiap masa kami diisi dengan gelak tawa dan kutuk mengutuk. Dan perkara inilah yang aku idam-idamkan selama ini...

Habis berbual, Shahril mengajak aku makan malam. Katanya, aku belum lagi merasai hadiah kemenangan yang diperoleh hasil karya menakjubkan ciptaan anak Kelantan ini.

Malam itu, sekitar pukul 9, aku menerima panggilan daripada Shahril. Katanya, "jom lah bro, kuar makan, aku tak makan lagi ni"...

Lantas, aku menuju ke hotel itu dengan semangat persahabatan.

Pengembaraan kami pun bermula bersama seorang lagi sahabat, Fer.
Ia bermula di Batu Burok. Setiap inci pantai ini aku ceritakan kepada dua sahabatku itu. Sambil melayan lagu Bon Jovi, kami bertiga terus pantas mencari lorong-lorong bercahaya.

Dan pada malam itu juga, aku sempat membawa dua sahabatku melihat pejabat utusan sebelum kami meluru ke Taman Tamadun, Masjid Kristal dan seterusnya, monumen stadium runtuh.

Aku seronok kerana dapat membawa mereka berjalan. Walaupun keletihan terpancar di wajah Shahril dan Fer, namun nilai persahabatan berjaya menghilangkannya.

Pergembaraan kami semakin panjang dengan Pantai Kelulut menjadi destinasi. Walaupun jauh dari bandar Terengganu, namun ia berbaloi kerana Shahril sempat merasai tiupan angin laut, sambil menikmati daging masak kunyit, sotong goreng tepung dan ikan siakap tiga rasa.

Mata dan kenyang, perut pun dah kenyang. Kami perlahan-lahan bergerak balik ke hotel kerana jam telah menunjukkan pukul 1.30 pagi.

Ini bermakna, pengembaraan aku bersama sahabatku berakhir. Di akhirnya, persalaman kami dihiasi dengan ucapan terima kasih dari kedua-dua pihak. Aku sempat memesan kepada Shahril dan Fer agar memandu kereta baik-baik.

Tapi, pesanan Shahril agar aku menjaga diri dengan baik di sini masih aku teringat sampai sekarang. Kalau di KL, pesanan itu lebih kepada lawak jenaka, tapi di sini, aku dapat merasai keikhlasan dari seorang sahabat. Sahabat yang tidak pernah berkira dan memandang hina akan kekurangan diriku.

Paling penting, pesanan itu juga pernah aku terima sebelum ini. Dan sehingga ke detik ini, aku masih menunggu pesanan itu.


LELAKI SABAH: Dia pernah menjadi No. 1 suatu ketika dahulu. Tapi kini, dia telah kehilangan status itu. Dia cuba mendapatkannya, tapi terus diletakkan di bawah. Posisi yang tidak pernah terfikir olehnya. Dia telah kehilangan segala-galanya termasuk maruah dan nilai persahabatan.

Kenangan terindah. Dari Sabah, ke negeri Utara dan singgah di Pantai Timur sebelum berpisah di Selatan. Kenapa ia berakhir di Selatan?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...